Pages

Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Friday, August 13, 2021

Bertahan atau Menyerang?

     Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang disebabkan keadaan pandemik global yang membimbangkan, ramai terkesan dengan bencana yang melanda. Kerajaan melancarkan pelbagai subsidi demi membantu meringankan beban rakyat namun bencana kali ini begitu panjang. Kita masih tidak pasti bila ianya akan berakhir dengan kehadiran varian-varian virus baru Covid19 seperti varian Delta dan Lambda.

    Begitu ramai rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja dan tidak boleh bekerja secara normal. Kita sudah belajar daripada keadaan ini. Mungkin kita boleh mula bersiap menghadapi bencana yang lebih teruk pada masa akan datang.

Sediakan "Financial Sponge"

    Ya, boleh kita panggil ini sebagai dana kecemasan. Paling kurang 3 bulan gaji. Disyorkan setiap orang ada simpanan 6 bulan gaji. Semakin hampir nak pencen, sediakan 12 bulan gaji. Simpanan kecemasan ni jangan pula kita guna untuk beli rumah atau bayar ansuran tahunan kereta. Kecemasan yang dimaksudkan itu ialah hanya apabila kita hilang sumber pendapatan. Sementara mencari sumber pendapatan yang baru, bolehlah kita gunakan dana kecemasan ini. Ini kita letakkan sebagai sistem pertahanan.

Gandakan Duit

    Buat kerja tambahan, dapatkan dividen simpanan, lakukan pelaburan dan simpan aset merupakan beberapa cara supaya duit yang kita ada dapat dikembangkan. Itu semua terbahagi kepada pendapatan aktif dan pasif. Pelbagaikan teknik menggandakan duit supaya setiap satunya dapat berjalan seiring. Jika tersekat salah satu, yang lain masih boleh berjalan. Ini kita letak dalam sistem serangan kita.

Wujudkan "Income Replacement"

    Apa jadi jika sesuatu musibah terjadi dalam masa kita sediakan simpanan kecemasan dan mengekalkan sumber pelaburan kita? Hayat kita mungkin tidak lama. Kesihatan kita mungkin bukan sentiasa baik. Hari yang cerah mungkin tiba-tiba akan datang hujan. Jadi, pastikan kita sediakan takaful sakit kritikal, hilang upaya kekal dan kematian sebanyak 10 tahun gaji. Kalau benar-benar tidak mampu pun, sediakan semampu yang boleh. Boleh tambah lagi bila mampu kemudian.

    Jadi, nak pilih mana satu? Bertahan atau menyerang? Jawapannya dua-dua. Segera menyerang apabila telah wujud sistem pertahanan. Namun apa yang paling perlu disegerakan? Hah ni yang paling penting. Mulakanlah dengan melabur dalam ilmu pelaburan. Itu dia pelaburan yang pasti menguntungkan. Ilmu yang betul pasti membuatkan pengalaman kita lebih indah bak kata orang Perancis.


    

Tuesday, February 16, 2021

Wahai Pencinta Wanita

~Aku memang pencinta wanita~

~Namun ku bukan buaya~

~Yang setiap pada seribu gadis~

~Ku hanya mencintai dia~


Lain macam ni bro..Bukan main ye..Berbunga-bunga nampak. Muka ganas hati jiwang.

Kehadiran cinta sangat membahagiakan setiap orang. Lagi-lagi cinta ketika remaja di mana rata-rata fikiran remaja tidak tertumpu ke banyak arah. Masing-masing berlumba untuk menjadi pasangan paling romantik dan sentiasa memberikan komitmen. Walau komitmen tersebut hanyalah dibuat-buat lantas terhapus apabila sudah hilang nikmat dan kehangatannya.

Hakikatnya, apabila cinta bertandang sama ada sebelum berkahwin atau selepasnya, ia datang bersama ujian. Ujian apakah itu?

Ujian ke atas tanggung jawab kita memelihara kesucian cinta. Andaikata keadaan semasa memerlukan kita menumpukan kepada sesuatu perkara, contohnya belajar, sebaiknya elakkan daripada terjerumus ke dalam cinta yang tidak pasti. Bawa diri kita kepada cinta yang pasti iaitu dengan menuntut ilmu. Allah pasti mencintai orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Yang mana ilmu tersebut akan digunapakai dalam mengharungi kehidupan dan menemui cinta sejati nanti. Cinta sejati berupa jodoh di kemudian hari.

Wahai pemuda-pemuda,

Apa benar kita mencintai seseorang wanita andai kita membawa dia khayal dilamun cinta dan membelakangkan tanggungjawab semasa? Sungguh itu tidaklah sikap pencinta wanita. 

Wanita-wanita ini rapuh hatinya. Mudah tersentuh dengan bait-bait cinta. Jika benar pencinta wanita, kelemahan wanita ini jangan kita persenda. Bantu mereka mengenal cinta walau mereka yang datang menyapa.

Sudah pasti pencinta wanita sebaik mungkin menjaga maruah wanita.

Pencinta wanita sudah pasti mendorong wanita menggapai tujuan hidup yang utama.

Pencinta wanita pasti tidak menabur kata-kata dusta dan harapan tidak bertuju hala.

Wahai pemuda-pemuda,

Tidak ada yang rugi jika hilang cinta manusia. Cinta manusia boleh jadi menjauh dari cinta Pencipta. Sedangkan cinta Pencipta pasti datang bersama cinta manusia. Itulah kebenaran cinta.

Pabila nanti kau sudah berkeluarga, pasti wanita yang diamanahkan untuk hidup bersama denganmu itu adalah sebaik-baik anugerah. Walau tidak pernah bercinta, walau tidak pernah duduk berdua, kini bahtera dilayari bersama. Belayar dengan tujuan yang sama lalu menggapai syurga.

Semoga dengan cinta, mudah jalan kita ke syurga bukan mendekatkan kita ke neraka. Mari jadi pencinta yang benar-benar membawa cinta! Ayuh!

Wednesday, January 6, 2021

Wahai Lelaki, Nafkah Kita ke Mana?

 


    Sebagai ketua keluarga, nafkah merupakan satu perkara penting yang perlu dititik beratkan. Benar, ketaatan seorang lelaki tidak berubah selepas berkahwin. Masih perlu mengutamakan ketaatan kepada ibu bapa terlebih dahulu. Namun, dari segi nafkah isteri merupakan yg paling utama selepas diri sendiri.

    Kita kadang-kadang lupa isteri kita bila nak beli sport rim kereta. Kita lupa kasut isteri kita dah rosak. Kasut kereta yang tak rosak kita beli. Beli dua-dua la baru macho. Beli dahulu kasut isteri, baru beli sport rim kereta. Kan macho gitu.

    Rezeki dalam sesebuah keluarga tu insyaAllah pasti akan bertambah jika kita mengutamakan yang utama. Berilah keutamaan kepada yang utama, kerana itu ciri-ciri orang berjaya. Tak caya? Boleh selidik kisah-kisah insan berjaya seperti Ibn Taimiyah, tokoh ekonomi Islam, Ibnu Sina dan Al-Khawarizmi, ilmuan Islam. Moga bermanfaat.

Tuesday, November 24, 2020

Hidup Untuk Memberi, Bukan Untuk Meminta-minta

 Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Amat banyak kurniaan Allah ke atas diri kita ini. Sering kita terlupa saat ditimpa musibah. Saat diri bersedih. Saat perjalanan hidup tidak seperti yang didambakan.

Apabila bersedih, mari kita gembirakan hati orang. InsyaAllah kita bakal gembira dengan membahagiakan orang lain. 

Pernah cuba tidak bila kita beri sesuatu kepada orang lain, dia tersenyum gembira menunjukkan rasa syukur. Itu sangat membahagiakan. Ianya berbeza dengan kita menerima sesuatu dan rasa gembira mendapatkannya.

Dalam banyak perkara, kita perlu membuatkan orang lain bahagia terlebih dahulu sebelum kita benar-benar bahagia. Membuat orang lain berasa selesa dengan kita. Membina kepercayaan terhadap kita. Menyemai kasih-sayang dalam diri setiap ahli keluarga. Natijahnya setiap yang berada di sekeliling kita akan bahagia. Ini yang menimbulkan susasana yang bahagia.

Nah. Apa kita tidak dapat lagi bagaimana menyemai bahagia? Mulakan dengan memberi. Bukan hanya meminta-minta. 

Saturday, September 26, 2015

Teruskan Azammu. Usah Berhenti Pada Kejayaan Kecil.

"Allah..Allah..Allah..Aku bersyukur ya, Allah. Di sebalik kepahitan yang tercalit, membuatkan aku lebih tabah. Tetapkanlah aku atas jalan-Mu ya, Allah."

Dingin suasana pagi menghamburkan rasa kenikmatan. Kita masih lagi kuat berdiri. Matlamat semalam masih digenggam erat. Usah gelincir lagi.

Mehnah-mehnah kehidupan menanam pasak dalam jiwa muslim. Tidakkah kita sedar? Begitu hati berpegang pada takrifan ubudiyyah membawa kepada kejituan rohani.

"Yeeeehaaa!! Aku berjaya. Aku gembira."
Ya, bergembiralah. Namun, usah lalai dengan kejayaan kecil itu. Anggaplah ia motivasi untuk mencapai kejayaan yang hakiki.

Semalam..Jika kelakuanmu batil, perbetulkan..Simpan dalam hati. Itu aibmu kerana kesalahan kamu sendiri.

Semalam..Jika kelakuanmu benar, namun kamu tetap gagal. Usah disesalkan. Mungkin caramu tidak sesuai dengan keadaan. Di sini kita belajar daripada kesilapan.

Teruskan melangkah. Perjalanan masih jauh, namun tidak mustahil untuk digapai..


Wednesday, April 8, 2015

Bila Saatnya Kita Kecapi Bahagia?


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?

Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?

Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?

Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.

Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent  berbanding suka dan duka.

Persoalannya, bilakah kita bahagia?

"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.

Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?

"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."

"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.

Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?

Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.

Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.

Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.

Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?

Ianya SEKARANG!

Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.

Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.


Monday, February 16, 2015

Kepentingan Membaca di Kalangan Kanak-kanak

Iqra'.

Perkataan pertama yang disampaikan pada detik permulaan Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasulullah. Apakah yang dapat kita belajar dari situ?

Okay, betul. Tapi bukan hanya sejarah dan hukum tajwid sahaja. Fikirkan.

Permulaan al-Quran itu adalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk membaca. Bukan solat, puasa atau zakat yang disampaikan kepada nabi. Baca! Itu yang pertama.

Benar pepatah Melayu mengatakan membaca itu jambatan ilmu. Memang benar ilmu itu boleh dicari dengan menuntut di bawah guru yang ahlinya, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Saya akui keberkesanan membaca ini lebih daripada sekadar dengar. Jika dengar pun kita perlu menulis untuk dibaca di kemudian hari. Kemudian, kita baca lagi. Dan baca lagi dan lagi. Sampailah kita ingat sesuatu ilmu itu.

Kelebihan membaca ini, kita boleh pilih masa kita sendiri tanpa terikat dengan masa orang lain. Feel membaca ni lain. Macam kad raya dan ucapan raya. Lain jugak feel dia. Betul kan? Eleh tak mau mengaku. Kalau tak kenapa la kad raya masih lagi laku sampai sekarang ni.

Di Malaysia ini sebenarnya masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak tahu membaca walaupun sudah berganjak ke sekolah menengah. Dah masuk alam remaja itu. Saya memandang ini sebagai satu kerugian. Rugi pabila mereka kurang upaya mendapatkan ilmu daripada sumber bacaan. Lihatkan di mana-mana pun konsep belajar itu perlu ada kemahiran membaca dan memahami.

Sungguh rugi bukan? Khususnya kepada anak-anak sebangsa dan seagama dengan kita.

Berapa ramai antara mereka yang sudi menghadirkan diri ke majlis ilmu. Ceramah agama? Perdebatan isu semasa?

Tidak ramai...

Mereka ini kadang-kala senyap-senyap membeli sumber bacaan untuk mendapatkan ilmu. Itu bagi yang boleh membaca. Bagaimana mereka...mereka yang tidak pandai membaca? Ini suatu perbincangan yang besar.

Kanak-kanak perlu diajar untuk membaca. Sampai lancar. Sampai faham apa yang mereka baca. Ibu bapa jika tidak tahu menasihatkan anak, tidak pandai berleter, malu menegur takut dilabel tidak sporting sila dengan senyap hadiahkan anak dengan buku-buku keagamaan dan pendidikan.

Itu usaha kita. Biarlah sedikit usaha itu, usaha yang seakan tidak nampak itu dapat membuahkan satu individu yang celik. Bukan individu yang tidak terbimbing oleh kerana kealpaan kita.

Membaca boleh dijadikan sebagai hobi. Jika kita berjaya menjadikan membaca ini hobi di kalangan kanak-kanak, lebih mudah untuk kita menyampaikan maklumat yang berguna. Bila sudah pandai membaca lebih-lebih lagi sumber bacaannya elok-elok dan bermanfaat, saya yakin mereka akan lebih terbuka untuk mendengar pula. Mendengar isu perbincangan yang sama dalam versi suara. Saya yakin!

Tuesday, February 10, 2015

Berikan Aku Masa Lalu

Masa lalu. 

Sesuatu yang selalu manusia sesali akannya. Kalau boleh, mereka akan meminta kembali ke masa lalu dan membetulkan kesilapan. Begitulah keadaannya manusia di akhirat nanti. Mereka memohon kembali ke dunia setelah mereka yakin dengan azab Allah.

Sedari di dunia lagi, manusia yang menghabiskan waktunya dengan sia-sia berasa sesal atas usianya. Mereka menyesal kudrat dah tenaga ketika muda dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak bermanfaat.

Namun, itu masa lalu.

Kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Jadi bagi pemuda yang sedar, rancanglah setiap tingkah-lakumu. Usah gagal merancang kerana gagal dalam merancang sudah tentu gagal sejak dari awal lagi.

Menyesali masa lalu bukan bermakna kita sudah tiada harapan lagi. Yang sudah itu biarkan ia berlalu. Tiada lagi daya yang mampu kita lakukan untuk mengubahnya. Fokus kepada masa hadapan, sesuatu yang dapat kita ubah dan berusaha jadikan ia terbaik.

Jangan bilang tidak mampu.

Haih. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Jika kita benar-benar mahu yang terbaik, mengapa tidak kita berusaha sebaik mungkin. Jika dahulu kita gagal, dengan usaha maka masa hadapan pasti ada peratusan untuk lebih berjaya. Tidakkah begitu?

Lihat pada diri sendiri. Insan lain mempunyai kudrat yang sama dengan kita malah ada yang boleh dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya. Dia masih mampu berusaha. Dia boleh pula capai yang lebih baik daripada kita. Masih lagi mahu berkata tidak?

Duduklah sebentar seusai solat. Renungi tajam tempat sujud. Fikir sedalamnya menghembus nafas berselang istighfar. Kemudian, tanyakan pada diri ",Bagaimana aku sekarang ini?"

"Bertindak!!," gema hati berteriak.



Jangan terlalu memikirkan
masa lalu, tak ada apa yang mampu dilakukan untuk mengubahnya. Berikan yang terbaik saat ini, kecapi masa depan yang lebih baik.
 

Friday, February 6, 2015

Mengejar Sempurna

"Ayah mahu anak ayah semuanya pandai kemudian sihat, baik dan sopan-santun. Jangan ada sorang pun yang gagal ketika periksa hujung tahun ini."
Anak-anak mendengar dengan penuh hemat. Risau kalanya jika mereka tidak memenuhi piawaian bapa mereka.

Sungguh tegas En. Kamil mendidik anak-anaknya. Tidak hairanlah anak-anaknya turut sahaja segala arahannya. Sesuai dengan namanya, memang En. Kamil mementingkan kesempurnaan.

Hakikatnya, kesempurnaan tidak mungkin dicapai oleh manusia. Kerana hanya Allah bersifat dengan sifat sempurna. Bagaimanapun, menjadi lebih baik dari sehari ke sehari sudah merupakan tanggungjawab manusia itu sendiri. Bukan mengejar kesempurnaan, namun keutuhan diri dalam sentiasa beramal soleh itu matlamat kita.

Tegas yang ada pada diri pendidik memang patut ada. Namun, adakalanya sifat penyayang juga perlu diserlahkan. Natijahnya, insan-insan didikan akan berasa selesa untuk meluahkan masalah. Mereka lebih mudah membuka bicara. Penyayang. Jangan sekali ia diabaikan.

Memang kita kiranya mahukan semuanya terbaik. Namun, manusia ini selalu khilaf. Berhikmah dalam mendidik adalah satu timbangan berat dalam sesebuah neraca kehidupan. Hikmah bukan bermakna hanya berlemah-lembut. Hikmah itu di mana kita menyesuaikan cara didikan kita mengikut keadaan. Tegas, agresif dan keras pada waktunya. Lembut, sabar dan dingin pada waktu lainnya.

Diri kita ini, mungkinkan kita tidak pernah melakukan kesilapan? Jangan bohong kepada diri sendiri. Kita boleh berbohong kepada keadaan tetapi kita tidak dapat berbohong kepada hati kita. Kerana hati adalah pusat segala tindak-tanduk kita. Maka, bukan sempurna yang kita cari. Keutuhan hati mengejar kebaikan yang kita perlu selami.

Mari sematkan ke dasar. Dasar Hati!

Tuesday, December 30, 2014

Gerakkan Masa Hadapanmu

"Alhamdulillah, ya Allah. Kau berikan nikmat atas segala yang aku usahakan selama ini. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin-Mu, ya Allah," Ahmad mengucapkan syukur seusai solat qiam. Hujan menitis menyelusuri celahan batuan. Ikan-ikan bermain di dasar kolam kecil inspirasi sang pemuda itu. Tenang wajahnya melihat landskap hujung ruang solat itu.

Ahmad. Dahulunya seorang pemuda kampung yang mengembara ke bandar. Beberapa kali ditipu oleh jiwa-jiwa manusia yang dihimpit kegelapan. Namun, dari situ Ahmad belajar. Belajar memperbaiki persepsi terhadap orang sekeliling dan dirinya sendiri. Diri sendiri? Manakan tidak. Dia terus memperbaiki persepsi yang dihambat atas dirinya..

Seperti sukar diterjemah. Bagaimana pula jika kita lihat diri kita dari cermin? Apakah persepsi kita terhadap diri kita sendiri? Cantik? Lawa? Hensem? Alhamdulillah. Kita dikurnikan kecantikan. Tetapi mana kekurangan kita? Sudah kita temui?

Setiap insan pasti ada kekurangan. Tidak boleh tidak jika kita tak dapat jumpa kurangnya kita. Ini masalah ni. Teliti kembali. Pasti kita temui.

Setiap bermulanya tahun baru, hampir setiap manusia ada target tertentu untuk tahun tersebut. Salah kita pada tahun lepas kita buktikan yang kita dapat perbaikinya tahun ini. Mana yang kita tak tercapai tahun lepas, kita bayar pada tahun ini.

Bagunlah. Jangan duduk lagi. Masa tidak menunggu kita. Orang beriman sentiasa peka dengan kekurangan diri. Jika tiada usaha untuk menjadi lebih baik, lama-lama diri kita menjadi kurang peka. Semua perkara dianggap remeh-temeh. Kok bisa begitu dong. Bangunlah...

Menyesal bukan bila suatu masa nanti kita tidak punyai kekuatan untuk bertindak namun keinginan itu ada? Dimanakah masa muda kita? Dimanakah kita sumbangkan tenaga kita? 

Oh, aku telah bazirkannya. Izinkan aku kembali semula. 

Tidak mahu begitu bukan?

Usaha. Bukan hanya tercetus pabila bibir berbicara. Kudrat perlu dikerah. Wah, kerah tu nampak macam berat. Sebenarnya sedikit usaha pun sudah mampu menghasilkan sesuatu yang berbeza. Percayalah, kerana itu kita perlu berusaha. Tak caya. Hah! Cubalah. Cuba..Cuba..

30 Disember 2014. Jam 1.45 pagi. Aku telah mengambil sedikit waktu rehat tubuh badanku. Hanya ada lebih kurang 46 jam untuk aku merancang perjalanan tahun seterusnya. Mungkin agak terlewat kerana perlukan sedikit masa untuk terbiasa. 

"Tidak mengapa, Yang penting engkau gerakkan usaha," Ahmad's soul whispers.

Saturday, December 13, 2014

Membuat Kebaikan Itu Tidak Bersyarat

Kenapa kita ini, selalu me-limit-kan sesuatu kebaikan itu? Kita ambil dari aspek sedekah contohnya. Kerana kita tidak kaya, kita tidak boleh menolong orang miskin. Bukankah banyak cara dan benda lain yang boleh kita gunakan. 


Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang bisa kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?"


Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).


Nampak tak? Banyak cara untuk kita bersedekah. Begitu jua dengan perkara-perkara makruf yang lain. Ianya tidak terhad kepada tempat, bahan, suasana, dan individu. Jika perkara baik itu hanya pada sesuatu tempat, kita akan lihat dunia ini bagai ada tompok-tompok hitam dan tompok-tompok putih yang jelas. Bukan juga hanya terhad kepada benda ini dan benda itu yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk melakukan kebaikan. Apatah lagi hanya melihat suasana. Pabila sedang bergembira mungkin tidak perlu dan apabila sedih sangat perlu. Tidak juga terhad kepada individu-individu tertentu ataupun terhad kepada bilangan individu sama ada berkumpulan ataupun berseorangan.

Kita ini, jika terniat untuk melakukan kebaikan perlu kita cari pelbagai jalan untuk melakukannya. Seperti juga kita inginkan hasrat kita tercapai. Kita berusaha separuh mati untuk mencapainya. Jika kita merasai nikmatnya melakukan kebaikan itu pasti kita akan bersungguh-sungguh. Tidak terasakah kita betapa nikmatnya melihat orang lain gembira? Kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa gembira dan positif fikirannya. Itu sungguh mendatangkan kebahagiaan.

Cuba kita ini bila mengetahui masyarakat kita sedang menghadapi masalah, kita tidak menuding jari kepada pemimpin sahaja. Kita bilang mereka tidak menjalankan tugas memakmurkan pemerintahan sebaiknya. Sedangkan tugas memastikan kebaikan sentiasa terlaksana itu terletak di bahu setiap insan. Kerana itu konsep jati diri yang teguh dalam Islam itu bermula daripada individu. Kemudian membawa kepada keluarga, kawasan dan daulah. Lihat, ianya perlu bermula daripada diri setiap individu.

Allah itu Maha Pemurah. Dia tidak meletakkan syarat untuk kebaikan. Jenis kebaikan apa dan bagaimana semuanya tidak terlepas dari perhitungan Allah. Jadi, mengapa kita perlu meletakkan batas dalam melakukan kebaikan. Ini satu sentimen yang rosak.

Bagaimana anda sekarang? Masih lagi ragu dalam bertindak? Ya, benar. Mungkin ada juga yang berkata kita tidak mampu bertidak pada dua tempat dalam satu masa. Jadi, konsep keutamaan kita gunakan di sini. Kita boleh mengutamakan kebaikan di kawasan-kawasan sendiri contohnya. Apa gunanya kita biarkan kawasan yang kita huni ini dalam masalah dan pergi menyelesaikan masalah di tempat lain. Itu juga perlu kita pertimbangkan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jangan tunggu orang lain bertindak. Boleh jadi tindakan tidak kunjung tiba jika kita sendiri tidak memulakannya. Mari, sahabat!

Tuesday, December 9, 2014

Istiqamahkah Kita?


Semalam kita bersalaman dengan ibu bapa sebelum ke sekolah. Hari ini kita terus pergi tanpa sepatah bicara. Begitulah lazimnya manusia. Itu hanya satu contoh bagaimana kita menilai kelakuan kita dari hari ke hari. Adakah kita semakin baik, sama atau merosot nilainya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa kita seringkali tidak tetap dalam kelakuan kita. Izin saya sebutkan. Ianya Matlamat!

Ya, Matlamat!

Cukup. Sudah cukup kuat rasanya berteriak. Benar, jika dari awal lagi kita tidak menetapkan matlamat yang perlu kita capai, kita pasti terhenti di tengah jalan. Semuanya menjadi sia-sia apatah lagi apa yang kita lakukan hanya untuk suka-suka.

"Ya, aku ingin mencuba. Macam best je."

Dengan ayat "Aku ingin mencuba," memang bagus sekali. Cubalah dengan tujuan meraih matlamat. Tetapi tatkala ayat itu dilengkapkan dengan "Macam best je" sudah tergambar matlamat yang tidak jelas. Apakah ini akan membawa kepada istiqamah bermula saat langkah pertama dicetuskan?

Memang ada masa-masa kita jatuh. Namun, itu bukan bermakna kita perlu padamkan matlamat kita. Melainkan telah diketahui matlamat itu tidak baik untuk kita. Jarang sekali kita merancang untuk matlamat yang tidak baik bukan? Maka, itu boleh dikatakan tidak akan terjadi.

Ketika saya bekerja dalam jabatan kualiti di sebuah syarikat, semua staff dilatih untuk konsisten dalam tindakan dan bicara. Apa yang dilontarkan pada awalnya akan sentiasa sama hingga selesai satu-satu masalah itu. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pekerja berlainan organisasi. Jika awalnya betul, maka akan sentiasa betul sampai akhir. Tetapi masalahnya bila salah, akan salah sampai tiba satu peluang untuk melakukan pembetulan.

Mungkin terpaksa menipu tetapi yang baiknya semua yang dibicarakan akan konsisten sehingga masalah selesai. Kita ambil yang jernih daripada situ. Jika tidak mahu melakukan perkara yang tidak-tidak jadi perlulah bercakap yang benar tetapi tidak memberikan impak kepada syarikat sejak awal lagi.

Begitulah juga kehidupan kita.

Kita merancang dengan rapi sekali. Sudah pasti apa sahaja yang kita ingin lakukan ada objektifnya. Kemudian, langkah-langkahnya. Seperti mana pelajar aliran Sains sekolah menyediakan report kajiannya:

1) Tajuk
2) Objektif (Matlamat)
3) Pemboleh ubah (Kekangan dan alternatif)
4) Prosedur (Langkah-langkah)
5) Analisis data (Muhasabah semasa)
6) Keputusan (Pencapaian)

Lebih kurang begitulah jika kita kaitkan dengan kehidupan ini. Kerana itulah kita digalakkan memandang seluruh alam dan berfikir. Ilmu yang kita ada walaupun sedikit, kita gunakan sebaiknya bukan kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Jadi, istiqamahkan kita dalam setiap kelakuan kita? Mari kita ukur di mana kita bermula dan di mana kita sekarang. Bagaimana pula dengan matlamat kita? Hah, sudah timbul satu tanda tanya.


Tuesday, October 7, 2014

Antara Membina Rasa dan Membina Jiwa

Di sana di sini kita melihat anak-anak muda berpacaran, bergurau-senda malah bertepuk tampar umpama tiada batasan dan etika. Ya, mereka bukan bersamaan jantina. Inilah yang melemahkan. Benar-benar melemahkan remaja kita. Mereka leka dibuai cinta.

Jarang sekali kita membualkan isu cinta manusia di ruangan ini. Tetapi sedar atau tidak perkara ini amat penting dalam membentuk jiwa remaja yang mampan dan tampan. Tampan bukan sekadar di mata, malah terasa gah di jiwa. Semoga nanti remaja-remaja ini mampu mengemudi insan-insan lain demi membentuk insan perkasa. Itulah insan-insan yang mereka dakwa sebagai keluarga.

Kini mereka lupa. Lupa membina jiwa kerana asyik membina rasa. 

Remaja kita gundah pabila rindu tidak bersahut, terasa cinta semakin pudar. Jadi, setiap saat dihabiskan dengan membina rasa. Adakah rasa itu akan diterjemah kepada ikatan suci bernama keluarga? Mungkin tidak dan mungkin ya itulah jawapannya.

Biasanya remaja ini lebih sibuk membina rasa. Sesaat tidak berhubung umpama 1000 tahun terpisah jua. Ada juga yang bergerak dengan kedua-dua jiwa dan rasa. Juga ada yang lebih sibuk membina jiwa. Pada saya ianya mempunyai turutannya. Silapnya remaja kita terus menerjah pada membina rasa.

Bina jiwa, kemudian begitu juga rasa.

Remaja perlu sedar saat mereka teruji dengan cinta manusia, mereka perlu segera membina jiwa. Kerana kita tidak tahu saat bila benar-benar tersedia untuk memikul tugasan berkeluarga. Perkara pertama yang perlu disematkan dalam remaja kini ialah cinta perlu menjurus kepada pembentukan keluarga. Jika tidak punyai matlamat itu, sila berlari dengan sejauh-jauhnya. Datang kembali apabila tiba masanya.

Bersyukur kerana kita diberikan rasa cinta. Namun, rasa cinta itu perlu dikawal dengan kekuatan jiwa. Perlu sedar siapa yang menganugerahkannya. Jiwa perlu kuat mengawalnya. Hingga nanti tiba saatnya cinta dapat diterjemah kepada rasa. Itulah aturannya. Jangan sesekali rasa melangkawi jiwa sebelum tiba saatnya.

Jiwa dan rasa. Suatu yang perlu difahami dalam skop yang sedikit berbeza tetapi mempunyai pertalian di antaranya. Semoga remaja kita hari ini gah dengan jiwa-jiwa yang penuh rasa cinta beretika.



Saturday, September 27, 2014

Kesenangan Itu Melalaikan, Ujian Membersih Jiwa

Seringkali kita manusia ini bila dikelilingi kesenangan, kita jadi alpa. Kita menjauh daripada Yang Maha Pemberi. Lihatlah bila kita berada dalam keadaan selesa. Kita sentiasa lalai dalam dunia kita sendiri. Kita mensia-siakan masa. Lagi-lagi jarang sekali kita bermuhasabah diri dan merasakan kita sudah memiliki kejayaan yang lebih tinggi daripada insan lain.

Jangan begitu. Kesenangan itu bukan kita penciptanya. Ada juga orang yang berusaha tetapi tidak dapat mencapai kesenangan. Seperti pahlawan-pahlawan Islam dahulu yang gugur di medan perang. Tidak sempat merasa kemenangan di dunia, tetapi kesenangan di akhirat sudah menanti.

Kita juga pernah jatuh bukan?

Cuba kenang kembali saat ketika ujian melanda diri. Tanpa dipaksa terus sahaja kita menyebut, "Allah." Kita berharap pertolongan Allah segera sampai kepada kita. Kita tidak sedar ketika senang sukar sekali kita mengadu kepada Allah dan bersyukur pada setiap detik. Detik-detik selagi mana rezeki tersebut dilimpahkan.

Itulah manusia. Hakikat kesenangan itu memang tidak dapat diukur di dunia ini. Setiap ujian itu juga merupakan satu peluang untuk kita menjadi lebih senang dan tenang pada masa akan datang. Kita menjadi semakin kuat serta tabah. Lalu, ujian yang sama terasa kecil.

Bukan kesenangan itu perlu dielakkan. Tetapi, kita perlu sentiasa ingat kepada Pemberi kesenangan tersebut. Tidak lalai dan kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Itu yang perlu kita didik.

Benar. Ujian itu seringkali membersihkan jiwa.

Apabila kita lalai dengan kesenangan, tiba-tiba terjerumus jatuh ke dalam lubang yang dalam. Kita mencari-cari jalan keluar. Pada masa itu, Allah sahaja tempat kita mengadu. Kita kembali kepada fitrah iaitu rasa hidup bertuhan. Kerdil pula rasa ketika itu. Begitulah jiwa kita dibersihkan dengan hidayah Allah.

Hidup ini perlu banyak belajar daripada kesilapan insan sekeliling dan kita sendiri. Ujian yang ditimpa membawa pengajaran. Jangan dirintih kekurangan yang ada, perbaiki selagi mampu dan fokus kepada kelebihan. Semoga kita lebih bersyukur. Jelas, tiada manusia yang sempurna mengikut acuan kita dan tiada manusia yang selamanya ditimpa kesukaran. Make life easy but life wisely. Itu macam baru bagusssss.

Tuesday, September 16, 2014

Penat

Sudah penat? Penat bekerja? Penat belajar? Penat memikul tanggungjawab? Penat mengharungi luka duka dunia? Sabarlah wahai akak-akak, abang-abang. Dunia ni memang tempat berpenat-penat. Supaya di akhirat nanti kita merasa nikmat. Lagipun, selepas berpenat-penat, selalunya hasil baiknya kita dapat sejak di dunia lagi. Dengan itu kita dapat menghargai usaha sebelumnya.

Memang asam garam hidup di dunia. Bukan semua yang kita rancang, kita dapat. Sebaik-baik mana pun kita rancang, jika tidak Allah izinkan kita takkan mampu mermperolehinya. Tapi, kita masih lagi dapat. Dapat belajar bersyukur dan menerima. Malah, perancangan kita diganti dengan perancangan Allah yang lebih baik lagi.

Biasalah. Tidak semua orang di dunia ini sependapat dengan kita. Kadang-kala kita memandang orang lain dengan pandangan kita. Kita rasa orang lain juga sama pemikiran dengan kita. Itu tidak mungkin terjadi dalam semua kes. Relaks brader. Relaksss. Kita kona sikit je. Syukur jika pendapat kita pendapat yang baik. Syukur juga jika pemikiran orang lain berarah kepada kebaikan. Apa mau gaduh. Sama-sama baik kan...

Dalam dunia ini, apa yang paling susah dicapai ialah rasa senang hati semua orang terhadap kita. Buat perkara yang baik pun ada yang membenci, apatah lagi perkara jahat. Move on.  Pada masa ini, pandangan manusia tak perlu lagi diambil kira jika baik pun salah bagi mereka. Hanya teruskan dengan apa yang Allah suka. Pandangan Allah itu lebih utama.

Letakkan apa sahaja pandangan terhadap kita. Usah goyah dek mereka. Kita bukan hidup kerana manusia. Banyak perkara yang tidak perlu kita jelaskan kepada manusia. Namun, jika diberi peluang memang perlu kita jelaskan. Menghadapi manusia, makhluk yang mempunyai akal dan emosi memang memenatkan. Yakinlah suatu hari Allah akan buka hati mereka mungkin dengan penjelasan kita atau pun mungkin tidak.

Mari berpesan kepada diri sendiri. Hidup ini bukan kerana manusia, hanya redha Ilahi yang kita cari. Tepuk dada, biar hati tunduk memahami.

Monday, September 1, 2014

Disiplin Itu Tunjang Kejayaan

Salam keberkatan kepada seluruh muslimin dan muslimat, sama ada yang bersama-sama di ruangan ini mahu pun di mana kalian berada. Di mana pun anda berada, dalam situasi apa anda berada dan kerana apa anda berada di situ, semoga sentiasa memenuhi syariat. Saya pasti anda sedang lakukan sesuatu perkara dan anda inginkan ianya berjaya. Ya atau tidak. Tidak mengapa, biar saya jawab. YA!!

Seperti mana maksud Islam; satu cara kehidupan yang membawa kesejahteraan, begitu juga apa yang perlu kita amalkan dalam meniti langkah untuk berjaya. Setiap kejayaan dimulakan dengan langkah-langkah tertentu. Langkah-langkah yang telah kita atur. Langkah-langkah yang telah kita atur itu akan kita turuti satu per satu. Dari situ lahirnya disiplin. Nampak tak? Di mana-mana pun kita perlu berdisiplin. Buat apa kita atur langkah tetapi tidak berdisiplin dalam melaksanakannya.

Disiplin. Bukan sekadar coretan dalam buku disiplin sekolah.

Di mana disiplin orang muslim? Al-Quran itu disiplinnya. Ingat, akhlak Rasullullah itu al-Quran dan contoh terbaik kita Rasulullah. Ya, akhlak itu merupakan disiplin bagi seorang muslim. Kerana itu disiplin itu tidak memilih saat dan ketika, ruang dan tempat, juga masyarakat dan individu. Kerana apa kita seringkali gagal dalam mencapai impian? Kerana diri kita lemah. Lemah dalam berdisiplin. Diri culas saat keadaan sekeliling menjentik sisi hati.

Sabar, jangan mudah mengalah. Kita perlu akur tiada yang boleh kita lakukan dengan sewenang-wenangnya. Bekerja dengan disiplin kerjanya, bersahabat dengan disiplin ukhwahnya, berkata-kata dengan disiplin bicaranya. Pokoknya...ya pokoknya semuanya perlu diiringi dengan disiplin-disiplin tertentu.

Disiplin. Bukan sekadar patuh.

Jika mahu berdisiplin, bukan hanya patuh pada sesuatu yang kita rasa betul. Kita perlu belajar mana yang betul dan laksanakan yang betul. Saat itu baru kita tahu langkah yang direncana ada sedikit cela. Bagaimana kita boleh patuh jika kita tidak pasti sama ada ianya menepati syariat? Setiap satu itu ada peraturannya (syariat) dan peraturan itu perlu ditunjangkan pada setiap langkahan kita.

Maka dengan ini, mari sama-sama kita tingkatkan disiplin diri. Semoga bertemu lagi di lain masa. Akhir kata, mari sama-sama kita lakukan lonjakan semangat "Saya mahu berjaya!! Dunia dan akhirat sana!!!" 
Mengapa tidak? Kita mampu lakukannya.

Tuesday, July 1, 2014

Kita Bersahabat Malah Bersaudara



Assalamualaikum w.b.t. 
Macam mana rasa bila bulan puasa ni? Ada rasa tenang tak? Untung kita tinggal di Malaysia yang agama rasminya Islam. Sebab apa, bila bulan puasa ni selalunya waktu bekerja disingkatkan. Kerja pula berkurang. Jadi, bolehlah kita berehat-rehat dan menumpukan diri terhadap ibadah yang berlipat kali ganda ganjarannya di bulan puasa ni. Apa macam? Ada rasa syukur tak?

Malam hari kita pergi ke surau solat tarawih, kita berpeluang berjumpa penduduk setempat. Mengeratkan silaturrahim. Yang mana sebelum ni tak kenal jadi kenal. Kan molek tu. Ramai kenalan boleh jadi ramai pula sahabat. Mereka tu kan semua saudara kita. Yela apa tidaknya, mereka kan saudara Islam kita. Sesungguhnya setiap muslim itu bersaudara. Malu nak tegur bagi salam dan senyum je. Sebarkan kasih-sayang sebagai saudara Islam. Orang yang jiwa dia penuh dengan kasih sayang kerana Allah, jiwa dia akan sentiasa tenteram. Orang lain bahagia, kita pun turut bahagia. Tak nak ke?

Selain di surau atau masjid, kita boleh saja terserempak di tempat-tempat lain. Mereka berada di sekitar kita. Kita ni hidup kat dunia berkongsi tempat dengan makhluk-makhluk lain terutamanya manusia. Siapa yang hidup ni nak hidup sorang-sorang je. Tak ada punya hatta orang yang menyendiri pun inginkan keluarga bersama dia.

Kita masing-masing ada kawan bukan? Sahabat? Teman? Kenalan? Semua istilah tu lain maksudnya. Kita sendiri yang boleh meletakkan mereka dalam kategori yang mana satu. Tapi kadang kita ni tersilap. Tersilap menilai meletakkan musuh dalam selimut sebagai sahabat. Akhirnya kita juga yang kena tikam dari belakang.

Perbezaan istilah-istilah tu bukanlah untuk kita membeza-bezakan taraf mereka dalam kehidupan kita. Tetapi, kita boleh tentukan sama ada perkenalan itu membawa kepada kebaikan atau sebaliknya. Kita kenal ramai orang tetapi belum tentu semuanya membawa kita kepada kebaikan. Kita kadang pilih kawan yang berharta sebagai sahabat. Namun belum tentu dia akan menolong kita tatkala kita memerlukan. Pertolongan pula macam-macam boleh jadi. Tolong bagi semangat tu sudah sangat baik. Manusia ni memang tak boleh hidup bersendirian. Itulah sifat manusia.

Yang kita namakan sahabat tu selalunya kita akan selalu melakukan aktiviti bersama juga bersusah senang bersama selagi ianya membawa kepada kebaikan. Jangan abaikan prinsip membawa kepada kebaikan tu. Selalunya orang pilih kawan yang sekepala walaupun selalu buat benda yang sia-sia. Jadi, elakkan perkara sia-sia tu. Kawan tetap kawan. Ini bermakna kita hindarkan perkara sia-sia tu bukan dari diri kita sahaja, malah bebas daripada kawan kita tu.

Jadi macam mana sekarang? Berkawanlah dengan sesiapa sahaja, bersahabatlah kepada yang menunjukkan jalan ke syurga, dan bersaudaralah dengan mereka yang bersama menegakkan agama Allah. Saya tidak pandai berbahasa, semoga yang baik kita kongsi bersama. Yang buruk, syuhhh!! Campak jauh-jauh sana!

Sunday, June 29, 2014

Insurans Ni Boleh Pakai Ke?

Salam Ramadhan kepada semua muslimin muslimat di seluruh pelosok dunia. Betul ke eja tu? Pelosok ke pelusuk. Hmmm..

Sambung cerita pula pasal insurans. Insurans ni boleh pakai ke? Ke nak makan duit orang je? Bayar tiap-tiap bulan tapi nak claim punya payah. Saya tak tahu la sekuat mane kebenarannya. Tapi memang pernah dengar. Saya fikir biasala takut orang ambil kesempatan tu pasal banyak prosess kena buat. Lagi-lagi yang claim berpuluh-puluh ribu.

Tapi, sekarang ni kan ade yang medical card tu. Lebih-lebih lagi yang Cover kesihatan, simpanan dan keluarga. Medical card tu bawa je mana-mana klinik panel yang berdaftar dengan insurans tu, dah boleh terus gunakan perkhidmatan dia. Kan macam VIP tu. Lagipun mungkin tak perlu bayar bila mengikut pakej yang disediakan. 

Cuba bayangkan kalaulah terjadi kejadian tak diingini macam hilang upaya ke, memangla duit tu tak setanding dengan anggota badan. Tapi sekurang-kurangnya ada. Dah nak jadi apa boleh buat, takkan nak biar macam tu je. Bila dengan adanya insurans ni, bolehla kita tampung kos rawatan yang tinggi tu. Keluarga pun takdelah terbeban sangat nak menampung kos yang kita pun tak mampu nak tampung. Nak keluar semua simpanan nanti tak ada back up  dah untuk masa hadapan. Penat je kita kumpul macam yang telah kita bincang sebelum ni.

Kalau kematian pula apa jadi kat keluarga kita? At least, mereka ada sedikit sumbangan untuk meneruskan hidup. Kalau mereka kutip kat pejabat berapa sangatlah yang kita dapat. Sorang letaklah RM10. Tu kalau RM10. Entah-entah kurang. Kalau lebih tu jarang-jarang sekali kecuali satu dua je. Berapa orang pula staff  dalam pejabat? Kalau guna insurans ni bolehla dapat puluh-puluh ribu. Makan tahun juga nak abes kalau sekadar perbelanjaan harian. Tenang sikit rasa bila tiba masanya kita berhijrah ke alam sana.

Insurans ni selalunya sebulan tak sampai RM200, malah yang harga macam topup  kredit handphone pun banyak. Cuba la langgan. Kalau interest kereta tu setahun dalam RM700, kalau sebulan sebenarnya kita bayar lebih kurang RM60 untuk interest sahaja. RM60 tu buat beli insurans kan okay. Ada faedahnya ye tak.

Baiklah. Sama-sama kita fikir mana baik buruknya. Pasti ada baiknya kalau kita agihkan bahagian daripada perkara-perkara yang tidak perlu kepada insurans ni. Mesti ada bagussssss. Salam satu Ramadhan!

Friday, June 27, 2014

Duit Oh Duit

Anda ada masalah duit? Saya yakin tak ada. Semua yang tengah membaca entri ni pasti bijak berbelanja. Betul ke ni? Eh, bukan nak cakap kat kamu. Saya nak ingatkan diri saya sendiri. Jika rasa baik, kita kongsi bersama. Boleh tak? Hah! Macam tulaa..

Hidup sekarang ni bukan kemain lagi peranan duit ni. Orang kata duit bukan segalanya, duit bukan pengukur bahagia. Tapi kalau takde duit susah jugak nak bahagia. Senang cerita tengok orang yang berhutang tak de duit nak bayar tu, bahagia ke? 

Setiap daripada kita ni masing-masing lain bahagiannya. Lebih kat sini, kurang kat sana. Kurang kat sini, lebih kat sana. Macam duit ni jugak. Duit banyak, kadang masa pula sempit. Itu contoh. Bukan kata kat tuan hamba. Eceh.

Rata-rata orang kita ni tak pandai nak menguruskan kewangan. Saya pun tengah belajar, tak kata saya pandai ye. Jangan buat muka macam tu. Kalau mahu, sama-sama kita belajar mengurus kewangan okay.

Orang kita ni selalunya seronok membeli. Hutang pun hutang la. Apa nak risau ada gaji tetap. Tetap pun tetap juga bang. Masa akan datang kita tak boleh jangka. Apa kata kita letak safety factor  sikit kat kewangan kita. Macam mana tu? Tak tau ke? Laa kalau kegunaan kita sebulan lebih kurang RM1000, kita pastikan kita ada simpanan beberapa kali ganda. Letaklah 3 kali ganda, RM3000 dalam simpanan. Jadi, kalau kita hilang sumber kewangan pun ade masa 3 bulan untuk recover balik. Tapi anda belanja lebihkan? Hah, ce kire sendiri yeop berapa patut ada. 

Tu kita namakan simpanan asas. Sebaik-baiknya kena lebihla. Kita set safety factor kita sendiri dan pastikan lebih daripada tu. Nak simpan pun simpan kat tempat yang kita senang nak ambil balik. Letak dalam akaun bank la senang nak ambil balik kalau ada kecemasan. Tapi jangan senang-senang plak nak ambil. Biar je kat situ sebagai backup.

Kita selalu nampak orang kita ni kalau start je dapat kerja macam-macam dia nak beli. Simpanan tu jadi nombor dua. Sepatutnya set simpanan dulu paling kurang pun 10% daripada pendapatan kita. Hei, EPF pun 11% kasi la lebih sikit. Okay letak tinggi sikit okay peratus simpanan tu. Jadi, selebihnya bolehlah kita agihkan ke tempat-tempat lain. Ni beli kereta je dah 50% daripada pendapatan apahal tu.

Ramai orang bankrap sebab hutang. Seboleh-bolehnya elakkan berhutang kecuali benda tu memang mahal dan perlu. Sekarang kan banyak yang boleh beli secara ansuran. Beli cerek, beli handphone, laptop, almari semuanya ansuran pun boleh bahhh. Bagi saya kalau benda macam ni tak perlu la buat ansuran. Beli cash je. Kalau tak cukup duit kumpul dulu baru beli. Tak rasa rugi ke beli ansuran? Bunga dia omak aih. Kalau wangi tak apa la. Faham tak?

"Biar miskin asal bergaya."

Emm. Yela tu. Tapi ada eloknya juga kalau kita cuba bergaya dan cuba untuk melangsaikan semua bebanan kewangan tu. Mungkin boleh jadi pembakar semangat untuk berusaha lebih. Tapi kalau dah berlebih-lebih. Letihnya tak sudah nanti. Siapa nak tolong maaa.... Along bukan mau tolong. Ambil kesempatan lagi ada. Jangan sampai terjebak ye. Boleh bayang kalau kita dalam keadaan terdesak entah-entah maunya kita pinjam kat along. Dah semua bank tak approve loan, orang terdekat pun tak mampu nak tolong. Boleh jadi apa.

Ilmu pengurusan kewangan ni memang satu ilmu yang penting. Patut diterapkan sejak kecil lagi. Pernah dengar tak ungkapan "Kefakiran itu punca kekufuran?" Kufur tu maksudnya kita kufur nikmat, kufur perintah Allah, kufur dengan melakukan larangan Allah. Jadi sebenarnya kita ni telah dididik supaya jangan sampai miskin disebabkan malas berusaha ataupun silap menguruskan kewangan. Takut-takut nanti hilang pertimbangan bila keadaan mendesak. Kita tengok negara yang rakyat dia kaya-kaya. Jurang ekonomi kecil. Kan kurang jenayah bermotifkan harta.

Jadi, point penting dah dapat belum daripada isu perbincangan kita ni? Takpalah saya highlightkan balik. Pertama, pastikan letak safety factor untuk kita tetapkan simpanan asas sebagai penyelamat di masa-masa kecemasan. Kedua, pastikan peratusan simpanan daripada pendapatan dipenuhi dahulu sebelum diagihkan kepada benda-benda lain. Ketiga, jangan berbelanja diluar kemampuan. Keempat, elakkan hutang. Kelima, beli insuran. Eh yang ni macam tak ada cakap je tadi. Takpa. Kita sambung cerita pasal insuran pada entri akan datang. Selamat berbelanja dengan cemerlang!

Monday, June 23, 2014

Maaf..!! Ku Tak Bisa.

Maafkanlah, di sini kupinta tulus dari hati. Maaf ku tak bisa.

Selamat hadir ke medan fikrah sahabat-sahabat. Semoga manfaat dapat sama-sama kita kecapi. Sila buang yang keruh, ambil yang jernih. Sila pasang filter  di kala membaca omongan saya atau mana-mana sahaja sumber bacaan.

Pernah tak anda plan sesuatu perkara, lepas tu buat semua dengan bergaya dan berjaya. Tiba-tiba di akhirnya Allah nak uji kita, kita tak dapat apa yang diimpikan? Hah! Itulah hakikatnya. Nak buat macam mana, kita ni manusia hanya mampu merancang dan mengusahakan. Bukan kita yang tentukan.

Hei, apa nak lemah semangat ni. Relaks la. Buat sekali tak jadi buat dua kali. Tak jadi jugak? Tak yah buat la. Haha. Kenapa tak yah buat? Sebab kita buat cara yang sama. Buatla cara lain pula. Matlamat tu biar solid. Cara tu dipelbagaikan. Kalau dah berbagai-bagai tu, bagai-bagai-bagaikan lagi. Tu baru kreatif dan inovatif. KBKK tuuuu..umangaiiii..haha.

Saya nak cakap kat sini, jangan putus harapan, jangan hilang semangat. Lemah semangat kasi kuat balik. 

Tapi tetap ku tak bisa.

Okay. Dah faham dah kenapa enggak bisa. Cuba check matlamat tu sekarang. Lain kali kalau nak set matlamat kena pertimbangkan perkara-perkara ni.
Nombor satu- Matlamat tu agak mustahil untuk dicapai. Contohnya nak jadi sultan. Apa punya orangla.
Nombor dua- Matlamat terlampau spesifik. Nak jadi Petroleum Piping Engineer untuk Petronas di Kuala Lumpur. Selain dari jawatan tu, kompeni tu dan kawasan tu tak boleh. Targetla nak jadi well-known piping engineer cukup dah.
Nombor tiga- Kedua-dua yang di atas. Hehe.
Kena faham ye, yang ni punca kenapa matalamat susah untuk dicapai. Lalu, lebih mudah untuk kita berputus asa. Takpe, adjust sikit je matlamat tu. Alright, sekarang dah cantek.

Masih ku tak bisa. 

Tiada apa yang dapat kita lakukan tanpa izin Allah s.w.t. Fahami qada' dan qadar. Ada yang dapat kita ubah dengan usaha dan doa. Ada pula yang tidak dapat kita usahakan. Kerana hidup ini perlu ada rasa menerima.

Tiada apa yang perlu disesalkan. Kerana kita sedang menanam untuk dituai di suatu masa.

Maafmu tidak kupinta. Selagi kamu melaksanakan tugasan seorang hamba.

#Nukilan hati kepada hati


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...