Pages

Monday, February 16, 2015

Kepentingan Membaca di Kalangan Kanak-kanak

Iqra'.

Perkataan pertama yang disampaikan pada detik permulaan Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasulullah. Apakah yang dapat kita belajar dari situ?

Okay, betul. Tapi bukan hanya sejarah dan hukum tajwid sahaja. Fikirkan.

Permulaan al-Quran itu adalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk membaca. Bukan solat, puasa atau zakat yang disampaikan kepada nabi. Baca! Itu yang pertama.

Benar pepatah Melayu mengatakan membaca itu jambatan ilmu. Memang benar ilmu itu boleh dicari dengan menuntut di bawah guru yang ahlinya, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Saya akui keberkesanan membaca ini lebih daripada sekadar dengar. Jika dengar pun kita perlu menulis untuk dibaca di kemudian hari. Kemudian, kita baca lagi. Dan baca lagi dan lagi. Sampailah kita ingat sesuatu ilmu itu.

Kelebihan membaca ini, kita boleh pilih masa kita sendiri tanpa terikat dengan masa orang lain. Feel membaca ni lain. Macam kad raya dan ucapan raya. Lain jugak feel dia. Betul kan? Eleh tak mau mengaku. Kalau tak kenapa la kad raya masih lagi laku sampai sekarang ni.

Di Malaysia ini sebenarnya masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak tahu membaca walaupun sudah berganjak ke sekolah menengah. Dah masuk alam remaja itu. Saya memandang ini sebagai satu kerugian. Rugi pabila mereka kurang upaya mendapatkan ilmu daripada sumber bacaan. Lihatkan di mana-mana pun konsep belajar itu perlu ada kemahiran membaca dan memahami.

Sungguh rugi bukan? Khususnya kepada anak-anak sebangsa dan seagama dengan kita.

Berapa ramai antara mereka yang sudi menghadirkan diri ke majlis ilmu. Ceramah agama? Perdebatan isu semasa?

Tidak ramai...

Mereka ini kadang-kala senyap-senyap membeli sumber bacaan untuk mendapatkan ilmu. Itu bagi yang boleh membaca. Bagaimana mereka...mereka yang tidak pandai membaca? Ini suatu perbincangan yang besar.

Kanak-kanak perlu diajar untuk membaca. Sampai lancar. Sampai faham apa yang mereka baca. Ibu bapa jika tidak tahu menasihatkan anak, tidak pandai berleter, malu menegur takut dilabel tidak sporting sila dengan senyap hadiahkan anak dengan buku-buku keagamaan dan pendidikan.

Itu usaha kita. Biarlah sedikit usaha itu, usaha yang seakan tidak nampak itu dapat membuahkan satu individu yang celik. Bukan individu yang tidak terbimbing oleh kerana kealpaan kita.

Membaca boleh dijadikan sebagai hobi. Jika kita berjaya menjadikan membaca ini hobi di kalangan kanak-kanak, lebih mudah untuk kita menyampaikan maklumat yang berguna. Bila sudah pandai membaca lebih-lebih lagi sumber bacaannya elok-elok dan bermanfaat, saya yakin mereka akan lebih terbuka untuk mendengar pula. Mendengar isu perbincangan yang sama dalam versi suara. Saya yakin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...