Kenapa kita ini, selalu me-limit-kan sesuatu kebaikan itu? Kita ambil dari aspek sedekah contohnya. Kerana kita tidak kaya, kita tidak boleh menolong orang miskin. Bukankah banyak cara dan benda lain yang boleh kita gunakan.
Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang bisa kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?"
Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).
Nampak tak? Banyak cara untuk kita bersedekah. Begitu jua dengan perkara-perkara makruf yang lain. Ianya tidak terhad kepada tempat, bahan, suasana, dan individu. Jika perkara baik itu hanya pada sesuatu tempat, kita akan lihat dunia ini bagai ada tompok-tompok hitam dan tompok-tompok putih yang jelas. Bukan juga hanya terhad kepada benda ini dan benda itu yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk melakukan kebaikan. Apatah lagi hanya melihat suasana. Pabila sedang bergembira mungkin tidak perlu dan apabila sedih sangat perlu. Tidak juga terhad kepada individu-individu tertentu ataupun terhad kepada bilangan individu sama ada berkumpulan ataupun berseorangan.
Kita ini, jika terniat untuk melakukan kebaikan perlu kita cari pelbagai jalan untuk melakukannya. Seperti juga kita inginkan hasrat kita tercapai. Kita berusaha separuh mati untuk mencapainya. Jika kita merasai nikmatnya melakukan kebaikan itu pasti kita akan bersungguh-sungguh. Tidak terasakah kita betapa nikmatnya melihat orang lain gembira? Kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa gembira dan positif fikirannya. Itu sungguh mendatangkan kebahagiaan.
Cuba kita ini bila mengetahui masyarakat kita sedang menghadapi masalah, kita tidak menuding jari kepada pemimpin sahaja. Kita bilang mereka tidak menjalankan tugas memakmurkan pemerintahan sebaiknya. Sedangkan tugas memastikan kebaikan sentiasa terlaksana itu terletak di bahu setiap insan. Kerana itu konsep jati diri yang teguh dalam Islam itu bermula daripada individu. Kemudian membawa kepada keluarga, kawasan dan daulah. Lihat, ianya perlu bermula daripada diri setiap individu.
Allah itu Maha Pemurah. Dia tidak meletakkan syarat untuk kebaikan. Jenis kebaikan apa dan bagaimana semuanya tidak terlepas dari perhitungan Allah. Jadi, mengapa kita perlu meletakkan batas dalam melakukan kebaikan. Ini satu sentimen yang rosak.
Bagaimana anda sekarang? Masih lagi ragu dalam bertindak? Ya, benar. Mungkin ada juga yang berkata kita tidak mampu bertidak pada dua tempat dalam satu masa. Jadi, konsep keutamaan kita gunakan di sini. Kita boleh mengutamakan kebaikan di kawasan-kawasan sendiri contohnya. Apa gunanya kita biarkan kawasan yang kita huni ini dalam masalah dan pergi menyelesaikan masalah di tempat lain. Itu juga perlu kita pertimbangkan.
Jadi, tunggu apa lagi. Jangan tunggu orang lain bertindak. Boleh jadi tindakan tidak kunjung tiba jika kita sendiri tidak memulakannya. Mari, sahabat!
No comments:
Post a Comment