Pages

Showing posts with label relieve. Show all posts
Showing posts with label relieve. Show all posts

Wednesday, April 8, 2015

Bila Saatnya Kita Kecapi Bahagia?


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?

Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?

Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?

Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.

Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent  berbanding suka dan duka.

Persoalannya, bilakah kita bahagia?

"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.

Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?

"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."

"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.

Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?

Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.

Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.

Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.

Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?

Ianya SEKARANG!

Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.

Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.


Tuesday, September 16, 2014

Penat

Sudah penat? Penat bekerja? Penat belajar? Penat memikul tanggungjawab? Penat mengharungi luka duka dunia? Sabarlah wahai akak-akak, abang-abang. Dunia ni memang tempat berpenat-penat. Supaya di akhirat nanti kita merasa nikmat. Lagipun, selepas berpenat-penat, selalunya hasil baiknya kita dapat sejak di dunia lagi. Dengan itu kita dapat menghargai usaha sebelumnya.

Memang asam garam hidup di dunia. Bukan semua yang kita rancang, kita dapat. Sebaik-baik mana pun kita rancang, jika tidak Allah izinkan kita takkan mampu mermperolehinya. Tapi, kita masih lagi dapat. Dapat belajar bersyukur dan menerima. Malah, perancangan kita diganti dengan perancangan Allah yang lebih baik lagi.

Biasalah. Tidak semua orang di dunia ini sependapat dengan kita. Kadang-kala kita memandang orang lain dengan pandangan kita. Kita rasa orang lain juga sama pemikiran dengan kita. Itu tidak mungkin terjadi dalam semua kes. Relaks brader. Relaksss. Kita kona sikit je. Syukur jika pendapat kita pendapat yang baik. Syukur juga jika pemikiran orang lain berarah kepada kebaikan. Apa mau gaduh. Sama-sama baik kan...

Dalam dunia ini, apa yang paling susah dicapai ialah rasa senang hati semua orang terhadap kita. Buat perkara yang baik pun ada yang membenci, apatah lagi perkara jahat. Move on.  Pada masa ini, pandangan manusia tak perlu lagi diambil kira jika baik pun salah bagi mereka. Hanya teruskan dengan apa yang Allah suka. Pandangan Allah itu lebih utama.

Letakkan apa sahaja pandangan terhadap kita. Usah goyah dek mereka. Kita bukan hidup kerana manusia. Banyak perkara yang tidak perlu kita jelaskan kepada manusia. Namun, jika diberi peluang memang perlu kita jelaskan. Menghadapi manusia, makhluk yang mempunyai akal dan emosi memang memenatkan. Yakinlah suatu hari Allah akan buka hati mereka mungkin dengan penjelasan kita atau pun mungkin tidak.

Mari berpesan kepada diri sendiri. Hidup ini bukan kerana manusia, hanya redha Ilahi yang kita cari. Tepuk dada, biar hati tunduk memahami.

Friday, June 3, 2011

Itu Bukan Aku

Dengus nafas bertalu-talu,
Nadi berdetik meniti masa,
Hari berlalu memutar usia,
Aku melangkah menyusur pena.

Nostalgia menggamit minda,
Fantasi minda menyental dada,
Sekali datang tiada henti,
Biarku terus berlari.

Jatuh bangkit sakit diubati,
Tiada mampu akal mati,
Hayat dikandung matlamat digari,
Dengan izin-Nya menjadi pasti.

Rimbunan tinggi berubah kayuan,
Tiada daun lagikan buahnya,
Terus layu satu persatu,
Itu bukan aku.
Bukan aku.

Monday, February 21, 2011

Semangat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Setiap masa yang berlalu adalah anugerah yang tidak ternilai. Kerana selagi itulah kita diberi kesempatan untuk terus memperbaiki diri, kesilapan dan menambahkan kebajikan.

Sekadar untuk menambahkan semangat tika suasana petang yang hening ini, marilah kita teruskan kehidupan seharian kita dengan sebaik-baiknya. Tapi, tidur pun sodap jugak ni. Rehatkan diri sebentar ya.

Siapa yang berusaha, dialah yang akan berjaya

~Apabila selesai suatu perkara, lakukan perkara lain pula dengan bersungguh-sungguh~


3.15 pm,
Monday, 12 February 2011

Friday, November 12, 2010

Langkah Seorang Insan

Waktu terus berputar. Di kala ku masih menanti sesuatu. Mengapa perasaan ini muncul dan membebaniku. Kerisauan dari detik demi detik. Kebimbangan atas perjalanan ini. Langkah yang kurasakan begitu lemah. Kemanakah langkahku? Ini yang pertama kalinya, buat pertama kalinya aku sendiri tidak mengerti dan kabur akan langkah kakiku. Adakah benar langkahan ini tepat menyusuri jalan-jalan yang telah kulalui. Begitu banyak simpang yang telah kulalui. Sehingga kulalui jalan yang indah ini. Dikelilingi gunung-ganang, tumbuhan menghijau dan bunga-bunga yang harum semerbak kasturi. Tidak kelihatan tempat indah ini pada hari-hari yang sebelumnya. Pesonanya membuatkan aku terhenti seketika. Tersentakku lalu tersedar. Adakah diriku yang hina ini diizinkan untuk memasukinya. Jika benar keizinan itu bersamaku menyusuri jalan ini, dalam kawasan indah ini, kuharap perjalananku tidak meninggalkan sisa kotoran dan kerosakan kepadanya.

Siapa aku sekarang dan siapa aku dahulu kini berbeza. Adakah aku yang tidak dapat menerima perubahan. Namun, adakah perubahan ini membawa kesudahan yang baik untukku dan segala kaitannya? Huh! Aku akan terus menjadi aku. Perubahan apa pun yang berlaku umpama tangan yang terpikul pada bahu. Kadang-kala lurus, kadang-kala pula bengkok. Hanya suatu kelaziman. Namun jika tangan ini terpisah, diri terasa lemah. Jika kaku lumpuh pula, hanya terpaku kaku.

“Kau boleh!!!,” hatiku berteriak mengejutkanku daripada kelesuan. Membuka mataku memandang ke hadapan. Lalu jiwa ini menghadap langit dan memohon, “Ya, Allah. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya Engkau sahaja yang mengetahui apa yang zahir dan apa yang tersembunyi. Tunjukkanlah aku ke jalan redha-Mu. Jalan barakah-Mu. Sesungguhnya aku hanya hamba-Mu yang lemah dan tidak mengetahui segala sesuatu melainkan atas izin-Mu ya Allah. Amin.”

Saturday, November 6, 2010

Wajah Tanpa Makna

Malam yang semakin lewat membuatkan aku terasa mengantuk. Ingin sahaja kurebahkan jasad ini di atas tilam empuk ditemani muzik jazz yang beralun merdu dari computer ribaku. Tetapi, jari-jemariku tiba-tiba terpaut rapat dengan papan kekunci computer riba. Membuatkan mataku yang longlai segar kembali. Mungkin ini kekuatan untuk aku meneruskan “study.” Dan ini, kubawa sebentar fikiranku menjauh daripada tekanan proses pembelajaran.

Kulihat ke luar jendela. Sungguh seronok mereka berkejar-kejaran. Terkenang suatu ketika dahulu semasa kakiku sebati dengan permainan “police and thief.” Itu dahulu. Kini aku hanya penonton. Ya, penonton.

“Klik!,” tetikus ditekan.
“Tap!Tap!Tap!,” satu persatu kekunci computer ribaku memainkan peranan. 

Suatu perkara terlintas dalam fikiranku. Satu wajah. Satu wajah yang terlintas membuatkan aku tersentak seketika. Sahabatku yang mungkin selama ini aku jarang merhormatinya. Dan kini, dia seorang yang sedang berdikari menempuh kehidupannya. Manakan tidak aku tersentak. Dahulunya dia seorang yang kelihatan begiru pasif.

“Kau senyum-senyum. Tengok, senyum. Senyum, tengok. Itu jela kau tahu,” Usik seorang rakanku. Dengan muka tanpa sebarang ekspresi, Sang Watak Utama hanya membalas kata-kata rakanku tadi dengan pandangan tanpa makna. Huh, entah apa yang bermain dalam fikirannya.

Dan kini, aku mula kagum kerana dia sudah dapat menjadi seorang individu bekerjaya yang memerlukan kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Setinggi mana kemahirannya masih belum terlihat di hadapanku. Namun aku yakin, dia sedang membina sebuah peribadi.
_________________________________________________________________________________

Kita adalah diri kita. Tiada siapa yang dapat merubah diri kita melainkan diri kita sendiri. Jahat atau baik semuanya terbina atas jalan yang kita pilih. Semalam dalam kenangan kita dan esok belum lagi menjadi milik kita. Tetapi kita mesti memiliki hari esok walau apa lakarannya.

Sahabat tadi sedang berubah untuk hari yang lebih cerah. Dia sudah berani mencuba kea rah yang lebih baik. Sebelum ini pun, dia bukanlah seorang yang nakal atau pengganggu ketenteraman awam. Hanya kerana kelemahan berkomunikasi. Tidak membawa masalah kepada orang lain dan tidak menyakitkan hati orang lain. Tetapi dia sering diperlekehkan dan kadang-kadang pula ada yang membenci.

Lumrah dunia agaknya. Mungkin ada yang membenci kita walaupun tiada apa salah kita terhadapnya. Dan boleh jadi juga, mungkin kita hanya peneman masa susahnya.

Kisah sahabat tadi sedikit sebanyak membuatkan mata terbuka. Kerana sedikit sebanyak suatu ketika dulu pernah jua mempermainkannya. Walaupun hanya suka-suka sekadar berjenaka, luka hatinya manakan tahu. (Tapi muka steady je..takde papela kot..)

Huh! Penat dah membebel entah apa-apa. Baiklah, sambung buat perkara yang lebih penting. Get ready for exam!!!

~Berubahlah demi kebaikan diri sendiri~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...