Pages

Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Wednesday, April 8, 2015

Bila Saatnya Kita Kecapi Bahagia?


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?

Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?

Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?

Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.

Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent  berbanding suka dan duka.

Persoalannya, bilakah kita bahagia?

"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.

Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?

"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."

"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.

Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?

Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.

Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.

Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.

Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?

Ianya SEKARANG!

Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.

Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.


Saturday, December 13, 2014

Membuat Kebaikan Itu Tidak Bersyarat

Kenapa kita ini, selalu me-limit-kan sesuatu kebaikan itu? Kita ambil dari aspek sedekah contohnya. Kerana kita tidak kaya, kita tidak boleh menolong orang miskin. Bukankah banyak cara dan benda lain yang boleh kita gunakan. 


Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang bisa kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?"


Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).


Nampak tak? Banyak cara untuk kita bersedekah. Begitu jua dengan perkara-perkara makruf yang lain. Ianya tidak terhad kepada tempat, bahan, suasana, dan individu. Jika perkara baik itu hanya pada sesuatu tempat, kita akan lihat dunia ini bagai ada tompok-tompok hitam dan tompok-tompok putih yang jelas. Bukan juga hanya terhad kepada benda ini dan benda itu yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk melakukan kebaikan. Apatah lagi hanya melihat suasana. Pabila sedang bergembira mungkin tidak perlu dan apabila sedih sangat perlu. Tidak juga terhad kepada individu-individu tertentu ataupun terhad kepada bilangan individu sama ada berkumpulan ataupun berseorangan.

Kita ini, jika terniat untuk melakukan kebaikan perlu kita cari pelbagai jalan untuk melakukannya. Seperti juga kita inginkan hasrat kita tercapai. Kita berusaha separuh mati untuk mencapainya. Jika kita merasai nikmatnya melakukan kebaikan itu pasti kita akan bersungguh-sungguh. Tidak terasakah kita betapa nikmatnya melihat orang lain gembira? Kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa gembira dan positif fikirannya. Itu sungguh mendatangkan kebahagiaan.

Cuba kita ini bila mengetahui masyarakat kita sedang menghadapi masalah, kita tidak menuding jari kepada pemimpin sahaja. Kita bilang mereka tidak menjalankan tugas memakmurkan pemerintahan sebaiknya. Sedangkan tugas memastikan kebaikan sentiasa terlaksana itu terletak di bahu setiap insan. Kerana itu konsep jati diri yang teguh dalam Islam itu bermula daripada individu. Kemudian membawa kepada keluarga, kawasan dan daulah. Lihat, ianya perlu bermula daripada diri setiap individu.

Allah itu Maha Pemurah. Dia tidak meletakkan syarat untuk kebaikan. Jenis kebaikan apa dan bagaimana semuanya tidak terlepas dari perhitungan Allah. Jadi, mengapa kita perlu meletakkan batas dalam melakukan kebaikan. Ini satu sentimen yang rosak.

Bagaimana anda sekarang? Masih lagi ragu dalam bertindak? Ya, benar. Mungkin ada juga yang berkata kita tidak mampu bertidak pada dua tempat dalam satu masa. Jadi, konsep keutamaan kita gunakan di sini. Kita boleh mengutamakan kebaikan di kawasan-kawasan sendiri contohnya. Apa gunanya kita biarkan kawasan yang kita huni ini dalam masalah dan pergi menyelesaikan masalah di tempat lain. Itu juga perlu kita pertimbangkan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jangan tunggu orang lain bertindak. Boleh jadi tindakan tidak kunjung tiba jika kita sendiri tidak memulakannya. Mari, sahabat!

Saturday, August 20, 2011

Masalah Satu Perencah Dalam Kehidupan

Sedang menghadapi masalah? Jangan risau, tiada masalah; semuanya pasti berlalu dengan baik-baik saja. Manusia lazimnya takut akan masalah. Cuba mengelakkan seboleh mungkin. Itu tidak mengapalah. Jangan pula menyelesaikan masalah dengan cara yang tidak betul. Itu dinamakan cuba lari daripada masalah sedangkan di mana-mana sahaja ada masalah. Hidup manusia ini tidak lari daripada masalah, maka setiap satunya perlu diselesaikan dengan jalan yang benar. Memang sentiasa kita temui masalah-masalah dalam kehidupan tetapi ingatlah setiap kesusahan itu ada juga kesenangan. Saling silih berganti antara satu sama lain.

Masalah Membuatkan Orang Takut Melakukan Kesalahan


Jangan takut melakukan kesalahan jika kesalahan itu pasti membawa kebaikan. Pasti kebanyakan orang tidak mahu melakukan kesalahan. Namun, pernah tak kita terfikir kesalahan mempunyai sifat-sifat berikut:

a) Jalan mendapatkan ilmu
     Kadang-kadang kita sengaja ditunjukkan kepada kesalahan sebelum mengetahui jawapan sebenar untuk sesuatu perkara. Kesalahan membuat kita lebih gigih untuk mencari jawapan (Selagi tidak berputus asa pastinya). Jadi, manusia dapat mengenal mana satu kesalahan yang dilakukan.
     Pencipta mentol (Tak ingat siapa namanya), sudah mencuba 2000 bahan untuk membuat mentol yang baik sebelum dia berjaya mencipta mentol pertama di dunia.
Pembantunya pun berkata, "Sia-sia sahaja. Kita tidak mendapat apa-apa."
Balas pencipta mentol, "Tidak. Sekurang-kurangnya kita tahu 2000 jenis bahan yang tidak sesuai digunakan."

b) Menyedarkan manusia akan dosa
     Jika kita melakukan kesalahan dan masalah pun datang, biasanya kita akan kembali kepada Tuhan. Barulah kita tersedar kita sudah melakukan dosa. Jadi, sepatutnya kita bertaubat setelah diingatkan tentang kesalahan tersebut. Tetapi, ada juga kesalahan yang bukan dosa seperti contoh a). Namun, sudah pasti kesalahan yang berbentuk dosa sangat perlu dielakkan kerana ditakuti akhirnya kita tidak mampu lagi melihat dosa.
     Setiap orang pernah melakukan kesalahan dan dosa. Jadi, setiap kali itulah kita perlu bertaubat dan menginsafi dosa yang dilakukan. Jangan jatuh kembali ke dalam lubang yang sama beberapa kali. Itu betul-betul menampakkan kejahilan kita memahami masalah.

Orang yang Jarang ditimpa Masalah Kurang Menghargai Nikmat Selesa


Biasanya manusia yang jarang mendapat masalah menjadikan dirinya kurang menghargai nikmat selesa. Dia sentiasa selesa dalam zon selesanya dan mungkin lupa akan wujudnya masalah dalam episod hidup manusia. Mereka juga biasanya kurang sikap simpati dengan masalah yang menimpa orang lain. Mereka tidak merasa apa yang dirasai oleh orang tersebut jadi mereka tidak tahu bagaimana serangan masalah yang mencucuk-cucuk orang yang ditimpa.

Mari kaji surah al-Insyirah.
Perhatikan ayat 5 dan 6. Kedua-duanya mempunyai maksud yang sama bukan? Itu menunjukkan suatu penegasan.
Dalam ayat-ayat tersebut juga terkandung dua al-'usri dan dua yusra. 'Usri bermaksud kesusahan manakala yusra bermaksud kesenangan. Alif lam pada 'usri menunjukkan ianya bersifat khusus dan yusra yang tiada alif lam bersifat umum. Justeru, ia menunjukkan satu masalah mempunyai banyak jalan penyelesaian atau banyak hikmahnya.

Masalah Perlu diselesaikan dengan Tenang

Apabila kita melihat masalah sebagai salah satu episod hidup, kita pasti akan tenang. Jangan bertanya kenapa masalah itu datang kepada kita kerana kita tahu dalam hidup ini pasti adanya masalah. Wujudnya masalah untuk kita belajar selok-belok kehidupan. Jika tiada masalah sudah tentu kita akan berkembang tanpa skill yang utuh dan hidup juga menjadi hambar. Bayangkan betapa nikmatnya tatkala masalah dapat diselesaikan.

Masalah perlu dihadapi. Apabila bertemu dengan masalah dalam kehidupan
a) segera berserah diri kepada Pencipta kehidupan
b) berusaha menyelesaikan masalah dengan cara yang benar. Untuk sesuatu masalah, kadang-kala wujud pelbagai jalan penyelesaian. Pastikan pilih jalan yang benar (mengikit syariat) dahulu diikuti dengan jalan yang dirasakan terbaik mengikut pertimbangan kita. Boleh juga melakukan instiharah.
c) teruskan berdoa dan jangan putus asa
serta jangan lupa syarat utama menghadapi masalah dan musibah iaitu sabar dan tidak mengeluh.

Pelbagai pilihan adakalanya wujud di depan mata. Jangan mengambil jalan mudah kerana selalunya jalan mudah membawa kepada kesengsaraan. Lihat saja apa yang terjadi orang yang menghadapi masalah kewangan meminjam wang daripada along contohnya. Jadi, pilih jalan yang benar sahaja. Apa jua hasilnya nanti itu semua bergantung kepada takdir Allah. Yang penting kita sebagai hamba-Nya telah menjalankan perintahnya dengan melakukan kebaikan dan menolak kemungkaran.

Sesuatu yang perlu kita ingat ialah jangan cari masalah (kerana ianya pasti ada), jangan lari daripada masalah (kerana ianya takkan menyelesaikan masalah), jangan takut dengan masalah (kerana ianya pasti dapat dihadapi). Wallahu a'lam.



Lihat juga: Aku Mahasiswa: Jangan Cari, Jangan Lari

Sunday, July 31, 2011

Benarkah Api Neraka Tidak Menyakitkan Syaitan?

Pernah tak kita terfikir bagaimana api neraka dapat membinasa dan menyeksa syaitan? Sedangkan kita tahu syaitan jua dijadikan daripada unsur api. Mari sama-sama kita hayati dialog di bawah.

Suatu hari seorang pemuda mendatangi kiyai dan bertanyakan soalan yang dikatakan belum pernah terjawab oleh seseorang walaupun bertaraf profesor.

Pemuda: Siapakan anda? Adakah anda boleh menjawab soalan-soalan saya?
Kiyai     : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab soalan anda.
Pemuda: Anda yakin? Sedangkan seorang profesor dan ramai orang-orang pintar lain pun 
              tak mampu menjawab soalan saya.
Kiyai     : Saya akan mencuba sejauh mana kemampuan saya.
Pemuda: Saya ada 3 soalan. Relaks jangan nervous. Saya nak soal ni. Pertama, adakah Tuhan
              itu ada? Jika ya, tunjukkan kepada saya. Kedua, apakah yang dinamakan takdir.
              Dan ketiga, kalau syaitan itu diciptakan daripada api, kenapa ia dimasukkan ke
              neraka yang diperbuat daripada api juga? Sudah tentu tidak menyakitkan sebab
              mereka mempunyai unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

(Tiba-tiaba kiyai menampar pipi pemuda itu dengan kuat sekali. sambil menahan sakit, pemuda 
itu bertanya lagi.)

Pemuda: Kenapa anda marah dengan saya? Saya sekadar bertanya sahaja.
Kiyai     : Saya tidak marah. Saya sedang menjawab soalan anda dan itulah jawapan saya.
Pemuda: Saya tak faham!
Kiyai     : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Lagi mahu tanya. Pastinya sakit!
Kiyai     : Jadi, kamu percaya bahawa sakit itu ada?
Pemuda: Ya.
Kiyai     : Tunjukkan pada saya wujudnya dan rupa sakit itu.
Pemuda: Tak boleh. Mana boleh.
Kiyai     : Itulah jawapan saya untuk soalan pertama. Kita semua merasakan adanya Tuhan tanpa 
               mampu melihat wujudnya Dia.

(Pemuda itu terdiam. Tergamam mendengar jawapan tersebut. Pipinya masih diusap-usap)

Kiyai     : Adakah malam tadi kamu bermimpi akan ditampar oleh saya?
Pemuda: Tidak.
Kiyai     : Adakah kamu pernah terfikir akan menerima tamparan daripada saya hari ini?
Pemuda: Juga tidak.
Kiyai     : Itulah yang dinamakan takdir. Tangan yang saya gunakan untuk menampar kamu 
               diperbuat daripada apa?

(Sekali lagi pemuda tersebut terdiam sebelum membalas pertanyaan Kiyai)

Pemuda: Kulit dan daging.
Kiyai     : Pipi kamu diperbuat daripada apa?
Pemuda: Daripada kulit dan daging juga.
Kiyai     : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda: Sakit.
Kiyai     : Walaupun syaitan dijadikan daripada api dan neraka juga begitu, jika Tuhan
               menghendaki, maka neraka akan menjadi tempat yang amat menyakitkan untuk syaitan.

Mari sama-sama kita fikirkan.

Ini api.Sekadar gambar hiasan.

Sunday, May 29, 2011

Dulu Aku Berusaha, Kini Kuterima Segalanya


Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. Bagaimana dengan hari anda hari ini? Pasti lebih baik daripada semalam bukan? Tahniah kepada anda kerana berjaya memperbaiki diri masing-masing.

Pernah tengok cerita Kiamat Sudah Dekat tak? Cerita tu mengisahkan seorang pemuda yang berusaha memenuhi syarat Pak Kiai untuk memperisterikan anaknya. Namun, akhirnya Pak Kiai menjodohkan anak gadisnya dengan pemuda lain yang dirasakan lebih memenuhi kriteria. Lalu, Si Pemuda tadi berserah dan menerima jika benar Si Gadis bukan jodohnya. Namun, akhirnya Pak Kiai menikahkan pemuda tersebut dengan anak gadisnya juga kerana beliau mendapati bahawa Si Pemuda tadi sudah menguasai ilmu ikhlas.

Baiklah, tu hanya salah satu contoh untuk memudahkan kita memahami isi bual bicara kita ini. Bagaimana? Kita nampak bukan betapa Si Pemuda telah berusaha sepenuh hatinya namun akhirnya dia merasakan natijahnya tidak seperti yang diharapkan. Walaupun begitu dia mengikhlaskan dirinya dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan.

Begitulah juga apa yang berlaku kepada kita sama ada perkara yang lalu ataupun akan datang. Selalu fikiran ini tertanya-tanya ,”Kenapa aku tidak dapat apa yang aku usahakan? Pagi hari aku berusaha sepenuh tenaga, malamnya pula aku memohon kepada Allah.” Kita harus tahu bahawa tidak semua yang kita rasakan baik untuk kita, baik juga di sisi Allah. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita hanya mengetahui apa yang diberi pengetahuan tentangnya. Ketahuilah juga masa hadapan bukan dalam pengetahuan kita.

Jadi, kawan-kawan apa kata kita belajar menerima. Salah satu daripada asas ilmu ikhlas tu. Saya suka memanggilnya seni menerima. Yalah, setelah kita berusaha untuk mencapai matlamat, kadang-kadang matlamat kita tidak tercapai sedikit pun. Maka, lebih baik hendaknya kita menerima dan yakin Allah tidak akan menzalimi kita. Pasti ada hikmahnya. Ingat bahawa jika Allah tidak memperkenankan doa kita, ada 3 perkara perlu kita sematkan dalam hati kita.
1) Doa kita ditangguhkan untuk dikabulkan
2) Doa kita digantikan dengan yang lebih baik
3) Dijadikan kifarat kepada dosa-dosa

Apa macam? Tenang bukan? Cantek bukan macam tu? Jangan terlalu bersedih jika apa yang kita harapkan tidak kita gapai. Kita manusia yang lemah. Berusaha adalah satu keperluan dan natijahnya adalah suatu ketentuan. Ketentuan yang boleh diubah dengan doa. Namun jika tiada usaha, peratusan untuk mencapai matlamat adalah sangat sedikit. Kerana itu kita digalakkan berusaha dan bukan hanya menunggu ‘duit jatuh daripada langit.’

Oleh itu, berusahalah seperti kita akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah seperti kita akan mati esok hari. Semuanya bukan dalam pengetahuan kita. Ya, kita berusaha kerana kita tidak mengetahui. Berusaha dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t. semoga kita sentiasa dipayungi rahmat-Nya. Akhirnya kita sendiri akan menyedari tiada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan-Nya. ‘Alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

Monday, May 2, 2011

Kelebihan Solat: Sedikitnya Mereka yang Sedar



أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة من عمله الصلاة فإن صلحت فقد أفلح و أنجح و إن نقضت فقد خاب و خسر


Rasulullah SAW bersabda : perkara pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak adalah solat, oleh itu, jika seseorang hamba itu baik solatnya maka dia akan mendapat kejayaan dan sebaliknya pula jika dia tidak menyempurnakannya, dia akan mendapat kekecewaan dan kerugian.
[ Diriwayatkan oleh At-Tabrani ]

Solat itu tiang agama. Jika tiada solat, goyang dan runtuhlah agama. Begitulah gambaran pentingnya solat. Namun, dunia kini lebih disibukkan dengan perkara-perkara yang menyingkirkan solat dalam jadual harian manusia. Kadang-kala bukan tiada masa, malah sengaja tidak diendahkan masa terluang untuk bersolat itu. Bayangkanlah yang bershopping di shopping complex ada saja yang sengaja menganggap surau tidak wujud di complex tersebut. Ada pula yang sudah berada di depan mata tetapi mungkin mata hatinya tidak terlihat akan indahnya suasana solat itu. Hanya menunggu sahabat selesai sembahyang di dalam, dia berzikir menekan butang handphone di luar. Satu ilustrasi yang berlaku di shopping complex.

Semasa saya menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2007, jurulatih program amat menitik beratkan solat. Siapa saja yang lewat ke surau untuk solat berjemaah akan didenda. Kelakar rasanya ketika itu kerana ada denda tu, kena berlari angkat tilam sebab bangun lewat Subuh. Selalu orang yang berada di atas, sekarang hah rasa pula tilam yang berada di atas. 

Pada beberapa hari di awal program itu jurulatih ada bertanya siapa yang tidak tahu bacaan dalam solat. Semua nampak malu-malu nak angkat tangan. Adalah dalam 20 orang yang mengaku. Tetapi selepas ditanya semula, ditapis, rupanya kira-kira 60 orang lelaki dan 50 orang perempuan daripada 400 pelatih tidak hafal beberapa bacaan dalam solat. Saya terkejut pada masa itu, yalah usia sudah menjangkau 18 tahun. Jadi boleh dianggarkan kira kira 25% -30% daipada jumlah keseluruhan pelatih. Ramai tak?

Okey tu cerita semasa PLKN, sumber daripada akhbar Metro Harian pula mengatakan seramai 70% rakyat Malaysia tidak mengutamakan solat 5 waktu sehari semalam.70% tuuuuu..WOW! Maknanya hanya 30% sahaja yang benar-benar menjaga solat. Jadi, saya tidak hairanlah kenapa semasa PLKN tu ramai yang tak tahu bacaan dan tak tahu membaca jawi. Mungkin kerana lupa kerana tidak mempraktikkan solat dan mungkin juga tidak dibesarkan dengan suasana Islam. Malah untuk sesetengah pelatih, semua bacaan yang diajar terpaksa ditukar dalam sebutan rumi. 

Solat ini mempunyai banyak kelebihan. Allah Maha Bijaksana pasti menetapkan sesuatu itu ada hikmah yang tersembunyi supaya kita berfikir lalu sedar akan kekuasaan-Nya.

1) Mencegah perkara keji dan mungkar

"Sesungguhnya solat (yang sebenarnya) itu dapat menghindari diri kamu daripada perkara-perkara keji dan mungkar." (Surah Al-'Ankabut ayat 45)

InsyaAllah dengan solat kita selalu berjaga-jaga untuk melakukan perkara yang mungkar. 5 kali kita diingatkan dalam sehari.

2) Regangan otot

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh.”
-Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya

3) Memberi ketenangan

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang.”
-Ng Siew Chok

EEG (Electroencephalography) sejenis alat yang digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. Beliau dapati, tamakninah ketika berdiri seketika sebelum sujud itu merupakan keadaan yang paling tenang di mana gelombang alfa meningkat dengan mendadak. Selain itu, beliau berkata solat dapat meningkatkan fungsi otak untuk bersedia menghadapi sesuatu cabaran.

4) Melatih disiplin masa

Solat 5 waktu tu bukan boleh dilakukan bila-bila masa. Tak boleh juga sekali gus menunaikan kelima-lima solat tersebut. Namun, ianya sudah ditetapkan masa-masa tertentu untuk menunaikannya. Jadi, kita akan terlatih melakukan sesuatu perkara dalam masa yang ditetapkan. Be punctual bak kate orang putih.

5) Mengalirkan cas positif

Ketika solat berjemaah, bahu-bahu yang bersentuhan akan menyebabkan cas-cas positif mengalir. Orang yang bertenaga mengalirkan cas postitif kepada orang yang keletihan. Itu pasallah kita tengok orang yang selalu solat berjemaah ni nampak bertenaga je selalu. Dah lah dapat pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian, kebaikan kepada tubuh pun 27 macam yang kita dapat, mungkin.

6) Melegakan sakit pinggang

Postur yang sesuai ketika solat dapat merawat sakit pinggang lagi-lagi ketika solat tarawih. Laa yang kita lakukan tiap-tiap malam bulan puasa tu. Hasil kajian Dr. Fatimah Ibrahim membuktikan perkara tersebut.

7) Menurunkan tekanan jantung

Apa yang menarik, hasil kajian pakar pesakit jantung menyatakan denyutan jantung berada pada tahap yang paling rendah ketika bersujud. Jadi, terapi solat telah diperkenalkan kepada pesakit-pesakit jantung pada masa kini.

Hah nampak kan berapa banyak kelebihannya? Itu baru beberapa dan mungkin banyak lagi. Jadi, marilah kita  ceriakan hidup dengan solat. Jangan lupa solat yee..

Friday, March 4, 2011

Perjalanan Kehidupan


Kehidupan ini umpama menyelusuri satu laluan. Sampai suatu tahap, kita rasa begitu letih. Tak daya lagi meneruskan perjalanan. Namun, masa terus berjalan. Hendak atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita perlu sampai ke destinasi. Jika di dunia, destinasi kita adalah kematian.  Boleh juga ianya dipanggil khatimah yang bermaksud pengakhiran. Diharapkan, semua yang hidup ini berakhir dengan husnul khatimah. Baik-baik belaka di penghujungnya.

Mengejar husnul khatimah bukan bermaksud kita perlu meninggalkan segala hal-hal keduniaan. Tidak juga menghabiskan masa 24 jam duduk bertakafur. Malah banyak hal-hal dunia yang juga merupakan ibadah apabila kita melakukannya. Setiap tanggungjawab yang diselesaikan itu ibadah, setiap perkara yang membawa keberkatan itu ibadah, juga banyak lagi yang dikategorikan sebagai ibadah. Ibadah itu sangat meluas. Begitu ianya menunjukkan Allah Maha Pemurah terhadap hambanya, memberikan pahala kepala setiap satu perkara baik yang dilakukan walaupun hanya sekadar niat.

Dalam sibuk menyelesaikan hal-hal dunia, mungkin ada di antara kita terlupa sebentar urusan kita dengan Pemilik alam semesta ini. Adakalanya kita menganggap urusan dunia itu terlalu penting sehingga kita tidak sempat menyelesaikan kewajipan beragama. Solat mungkin ditangguh-tangguh sehingga akhir waktu. Jangan menuding jari kepada sesiapa, saya juga tidak terlepas daripada perkara ini. Bila adanya kesedaran, ketika itulah baru sharp time solat. Ini baru ditekankan mengenai solat. Belum lagi perkara-perkara lain.

Jagalah Allah, Allah akan menjaga kita.

Kita seringkali risau dan bimbang sesuatu perkara tidak sempat diselesaikan kerana sedikit masa yang diambil untuk mengerjakan solat itu. Benar, hanya sedikit. Solat yang rata-rata hanya lima hingga sepuluh minit dirasakan umpama satu jam lamanya. Jangan bimbang. Jika urusan kita dengan Allah telah selesai, Dia akan membantu menyelesaikan urusan kita. Cuma kita sendiri yang tidak yakin dengan perkara itu. Mungkin juga kita kurang berusaha untuk menyelesaikan urusan harian kita. Sedangkan sebenarnya kita mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan segala urusan kita. Kerana kita tidak akan dibebankan dengan sesuatu yang bukan dalam kemampuan kita.

Kita terlalu sibuk menguruskan hal dunia. Mungkin. Tapi kita seringkali tidak berpuas hati. Seringkali pula rasa tidak tenang. Sibuk dirasakan bagai kerajaan Nabi Sulaiman terletak di atas bahu sendiri. Pokoknya, bersandarlah pada Yang Maha Kuasa. Sesiapa sahaja yang bersandar dan berharap kepada Allah dengan sepenuh hatinya, akan mampu menempuhi segala cabaran yang dihadapi. Sama-sama kita sandarkan kehidupan kita kepada Allah. Semoga urusan seharian kita dipermudahkan.

-Nak happy? Fikiran perlu positif.

Thursday, February 24, 2011

Kerana Alif Lam

Assalamualaikum semua.

Sedang melayari facebook, terlihat satu note berkaitan perkataan "salam" yang sering kita gunakan seharian. Dahulu sudah ada note yang mengatakan bahawa jangan menggunakan perkataan "salam" malah gunalah "as salam." Apa masalahnya dan apa bezanya. Lama juga menunggu jawapan seperti ini dikeluarkan oleh pihak tertentu. Terima kasih kepada yang sudi berkongsi maklumat ini.

Dalam bahasa Arab, penambahan alif lam di depan suatu isim (kata nama) adalah umpama "the" dalam bahasa Inggeris. Jadi, apa salahnya perkataan salam? Mungkin yang bekenaan tersilap mentafsir maksud hadith di bawah. Tak perlu saya panjangkan lagi. Sama-sama kita baca dan fahami penulisan berikut.

----------------------------------------------------------------------------------------


Assalamualaikum, Beberapa hari kebelakangan ini tersebar artikel bertajuk JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM", yang dipanjangkan oleh orang yang berlainan.

Mengapa sampai melarang menggunakan perkataan SALAM?

Perkataan SALAM atau AS SALAM tiada salahnya, malah merupakan salah satu Asmaul Husna. Saya tidak tahu siapa penulis asal artikel ini, yang sangat mengelirukan, kerana ramai yang telah copy & paste dan menyebarkannya. Yang pasti ia bukan bersumber dari Ustaz Zawawi, hanya kata-kata beliau digunakan dalam artikel ini.

Terjemahan ayatnya pun tidak lengkap...terus saja dimaksudkan SALAM itu sebagai SELAMAT TINGGAL...lalu diajak semua orang agar JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM".

Penulisnya menulis:
JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".


Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)



فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! " (Az-Zukhruf 43:89)



Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, "salam" bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT.


سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ

Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58) 


Sebagai contoh, saya memetik beberapa ayat Al Quran:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا 


Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa' 4:86)



إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَـٰمً۬ا قَالَ إِنَّا مِنكُمۡ وَجِلُونَ


Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". (Al-Hijr 15:52)



سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ۬ فِى ٱلۡعَـٰلَمِينَ 


"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (As-Saaffaat 37:79)



سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ


"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (As-Saaffaat 37:109)

Penulis-penulis artikel ini menggunakan kenyataan Al Fadhil Ustaz Zawawi sebagai menguatkan hujahnya, sedangkan tiada kaitan perenggan yang pertama dengan kenyataan Ustaz Zawawi, malah menggunakan gambar Ustaz Zawawi lagi...sangat mengelirukan.

Kita sering berselawat dan memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan,

الصلوة والسلام عليك يا رسول الله، الصلوة والسلام عليك يا حبيب الله


Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Rasulullah..


Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Kekasih Allah..

Allah SWT memerintahkan kita berselawat dan mengucap SALAM kepada Rasulullah SAW, maksud firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا


"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah SALAM sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab 33:56)




“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” [Riwayat Al-Tabrani]


Adakah SALAM di sini bermaksud "SELAMAT TINGGAL"?

p/s: Untuk mendapat ayat-ayat yang menggunakan perkataan SALAM, sila layari www.surah.my, cari ayat guna keyword SALAM, tidak kurang 20 ayat terdapat perkataan SALAM.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Wednesday, January 19, 2011

Jenis Perkataan

Bersyukur kita dikurniakan nikmat bercakap. Boleh berhubung dengan mudah dan menyampaikan mesej kepada orang lain. Melalui percakapan juga, kita dapat mengenal isi hati seseorang. Ya, ianya salah satu aspek dalam penilaian sikap seseorang. Ketahuilah, perkataan sebagai manakah yang sering digunakan oleh seseorang itu. Perkataan itu ada empat jenis:

1) Perkataan yang bijak
Apabila berbicara jelas setiap kata-katanya bernilai. Setiap perbualan sarat dengan ilmu dan hikmah. Malah orang yang mendengarkan merasakan manfaat daripada kata-kata tersebut. Kata-kata orang yang bijak ini selalu dinantikan. Namun, orang yang bijak selalunya tidak terlalu melepaskan kata-katanya. Berkata-kata hanya sesuai pada tempatnya. Bahkan, dirinya lebih gemar mendengar percakapan orang lain bagi mendapat manfaat daripada kata-kata tersebut.

2) Perkataan biasa
Perbualan kosong yang tiada asasnya. Segala yang terlintas diceritakannya termasuklah apa yang dilihat dan sebagainya. Masa selama berjam-jam dihabiskan dengan kata-kata yang tidak mendatangkan manfaat. Lalu, percakapan ditamatkan seiring dengan kehabisan masa terluang begitu sahaja. Orang itu berada dalam keadaan kerugian.

3) Perkataan bermartabat rendah
Kata-kata yang sering menggambarkan keluhan, hinaan, cacian dan makian. Orang sebegini tidak pernah menerima apa yang terjadi terhadapnya. Segala yang berlaku seringkali dipandang negatif. Semuanya serba tidak kena dan serba tidak lengkap. Apabila diberi makanan tia merungut kurang panas. Apabila dipanaskan, dia merungut kurang garam pula. Apabila ditambah garam, terlalu masin pula katanya. Akhirnya tiada yang sesuai dengannya. Setiap perkataan yang diungkapkan ada saja kurang di matanya. Begitu kata-katanya menunjukkan kehinaan dirinya.

4) Perkataan bongkak
Setiap perkataan yang kosong mengapa perlu dibangga-banggakan. Orang itu sibuk menceritakan kelebihan dan kehebatan dirinya. Sungguh dia mahu dirinya dihormati dan dihargai oleh masyarakat sekeliling. Orang yang kurang harga diri memang selalu ingin dihargai.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Keselamatan manusia terletak pada lisan yang terpelihara."


Sumber: Menjadi Muslim Terbaik; Abdullah Gymnastiar (Aa Gym)

~Kekuatan terbesar pada kata-kata adalah kata-kata yang dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengarnya.


Sunday, December 26, 2010

Hati Kata Itu, Mulut Kalam Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”


Menipu, tertipu, ditipu dan saling menipu. Sudah menjadi perkara biasa dan mungkin sudah menjadi trend masyarakat kini. Daripada perkara kecil sampailah yang besar ada saja penipuan. Tipu Tipu Tipu. Apa yang kita dapat dengan menipu. Tak kiralah perkara kecil ke, besar ke, dosa menipu tetap dosa besar. Kadang-kala perkara yang tidak terdesak untuk menipu pun sekali kena hantam dengan penipuan juga. Lagikan kalau terpaksa.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
"Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Muttafaq Alaih)

Bohong sunat.
Wujudkah istilah ini? Istilah memang wujud tetapi tiada hukum sunat dalam berbohong sebenarnya. Mungkin salah istilah. Mungkin juga istilah ni hanya bermain di bibir golongan penipu sahaja. Ya, memang ada ketikanya kita harus menipu. Harus ye bukan sunat. Benar, harus jika dikhuatiri bakal wujud perkara yang lebih buruk jika perkara sebenar terdedah.


Sifulan bin Sifulan ada seorang ibu yang lemah jantung. Faham-fahamlah orang lemah jantung ni bagaimana ya. Nak dijadikan cerita, suatu hari Sifulan ni terlibat dengan kemalangan. Tidak teruk, cuma patah kaki. EH!! Patah gigi. Lalu, ibunya yang tersedar dengan kekurangan gigi anaknya bertanya mengenai perkara tersebut. Sifulan pun menjawab yang dia baru sahaja mencabut giginya yang rosak di klinik. Hah! Itu harus. Dikhuatiri ibunya mendengar perkataan kemalangan saja akan tersentak luar dalam dan timbul perkara yang lebih digeruni lagi. Jadi, dalam keadaan ini harus menipu.

Walaupun ada ketika harus untuk menipu, konteks ini sangat sempit. Sangat sedikit keadaan yang dibolehkan penipuan dilakukan. Namun, ramai yang dengan sesuka hati mereka mendifinisikan boleh menipu ketika itu dan ini.
  • Tidak mengaku kesalahan kerana takut dimarahi.
  • Menipu ibu bapa tujuan keluar dari rumah kerana takut tidak dibenarkan.
  • Menyembunyikan kesalahan kerana ingin menjaga hati rakan.
  • Membuat pengakuan palsu dalam mahkamah kerana ingin terlepas demi keluarga.
  • Menipu dalam jual beli kerana kesempitan wang dan lain-lain.
Untuk kepentingan diri sendiri, nyata salah jika melakukan penipuan. Mungkin sudah menjadi perkara biasa sehari-harian sehingga diri sendiri sukar bercakap benar. Kadang-kala pula, demi menjaga hati seseorang perkara benar disembunyikan, penipuan dipilih. Jika terdedah penipuan sudah pasti ianya lebih menyakitkan daripada mengetahui perkara yang sebenar. Kesalahan asal + perasaan ditipu.

Berkata benar walaupun ianya pahit.

Ada ketika seseorang terlupa akan jemputan kenduri perkahwinan rakan. Apabila ditanya dia menjawab ada hal itu ini sana sini. Padahal jika mengaku terlupa dan meminta maaf mungkin segalanya selesai. Mungkin rakan tadi akan terkilan sekejap atau mungkin rakan tadi dapat menerima alasan tersebut. Lebih baik daripada dicop penipu. Haih! Tak cantik dilabel begitu.


Berkata dusta salah satu ciri orang munafik.

وعن عبد اللَّه بن عمرو بن العاص رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قال: <أربع من كن فيه كان منافقاً خالصاً ومن كانت فيه خصلة منهن كانت فيه خصلة من نفاق حتى يدعها: إذا اؤتمن خان، وإذا حدث كذب، وإذا عاهد غدر، وإذا خاصم فجر> مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-’Ash radhiallahu ‘anhuma bahwasanya Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda, "Empat macam perkara, barangsiapa dalam dirinya terdapat semua perkara itu, maka ia adalah seorang munafik tulen dan barangsiapa yang dalam dirinya terdapat salah satu daripada empat perkara tadi, maka ia telah memiliki satu macam sifat dari kemunafikan, sehingga ia meninggalkan sifat itu, iaitu: apabila ia dipercaya berkhianat, apabila berkata berdusta, apabila berjanji mengingkari, dan apabila bertengkar jahat kelakuannya." (Muttafaq ‘alaih)


Semoga kita sama-sama fikir sejenak, berapa kerap kita menipu lagi-lagi menipu tidak bertempat. Bersihkan kata-kata daripada penipuan. Mari!

~Satu penipuan boleh mewujudkan penipuan-penipuan yang seterusnya untuk menutup penipuan yang lalu.

Friday, November 19, 2010

Beruntung Sekali Punyai Ayah dan Ibu

Assalamualaikum.
Dingin sungguh suasana pagi. Unggas berkicauan menambah kenikmatan tidur. Sedang selesa bersenang-senangan merebahkan tubuh di atas katil, ibuku di dapur sedang menyediakan sarapan pagi untuk keluarga. Bapa pula bersiap untuk pergi ke kerja. Sejenak terkenang segala pengorbanan mereka membuatkan hati rasa tersentuh. Terima kasih mak dan ayah. Alhamdulillah kerana dianugerahkan oleh Allah ibu bapa yang bertanggungjawab, adil dan amanah.


Ustaz Kazim Elias - Bila Kita Ada Ayah dan Ibu (part 1)




1) Jangan tinggi suara dengan ibu bapa. Berkatalah dengan lemah lembut.
2) Syukuri nikmat mempunyai ibu bapa.
3) Berbakti kepada ibu bapa.
4) Lebihkan menghubungi ibu bapa melainkan yang lain.
5) Tengok muka ibu bapa juga ada pahalanya.


Ustaz Kazim Elias - Bila Kita Ada Ayah dan Ibu (part 2)




1) Berikan nama yang elok maksudnya kepada anak-anak.
2) Jangan putuskan silaturrahim dengan ibu bapa.
3) Selalu minta ampun daripada ibu bapa selagi berkesempatan berbuat begitu.
4) Prihatin dan caring dengan ibu bapa.

Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh. Amalan baik yang tidak akan terputus walaupun setelah meninggal dunia. Bersesuaian dengan hadith nabi,

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW, "Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara : yakni sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadith riwayat Muslim)

Sunday, October 24, 2010

Hakikat Dunia

Sedang sibuk kita mencari-cari dan mengejar kesenangan di dunia, kadang-kadang kita lupa hidup di dunia ini hanya sementara. Dek gambaran keindahan dunia yang sedang kita rasai, kita tertipu dengan kesenangan yang sementara. Lalu kita lupa akan matlamat kita hidup di dunia. Hidup demi mencari bekalan menuju akhirat. Satu kehidupan abadi untuk selama-lamanya.

Apakah hakikat dunia? Ada beberapa hadith yang menceritakan tentang hakikat dunia.

            Satu hari Nabi Muhammad ada dekat satu tempat pembuangan sampah. Kata Nabi Muhammad kepada para sahabatnya, “Kejarlah dunia.” Kemudian dia ambil satu sampah dan satu tulang reput lalu berkata, “Inilah dunia.” Hadith riwayat Imam Baihaqi.

              Lihat, nilai dunia ini kepada Rasulullah hanyalah sekadar sampah dan tulang saja. Itulah yang kita kejar selama hari ini.

             Suatu hari Nabi Muhammad ternampak bangkai seekor anak kambing yang dibuang oleh tuannya. Ya lah, bangkai anak kambing, kita bukan boleh makan walau secantik dan se”hensem” manapun anak kambing itu. Kata Nabi, dunia ini pada pandangan Tuhan adalah lebih hina daripada kambing itu pada pandangan tuannya. Maksudnya, nilai dunia ini tak lebih daripada bangkai anak kambing saja di sisi Allah.

              Kemudian kata Nabi lagi… kalaulah nilai dunia ini sama dengan sebelah sayap nyamuk sajapun, maka Allah tak akan bagi orang-orang kafir minum walaupun seteguk air. Maksudnya, segala keindahan dan kemewahan di dunia ini tak sampaipun sebelah sayap nyamuk di sisi Tuhan, kalau nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Sebab itulah Allah bagi peluang kepada orang-orang kafir untuk menguasai dan menikmati dunia ini. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Turmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim.

Dunia ini ibarat lampu dengan bayang-bayang. Kalau kita kejar bayang-bayang kita, bayang-bayang tak dapat, lampu makin jauh kita tinggalkan. Kalau kita kejar lampu- lampu dapat, bayang-bayang pun ikut dari belakang. Begitulah… kalau kita kejar dunia, dunia tak dapat, akhirat semakin menjauh. Tapi kalau kita kejar akhirat- akhirat dapat, dunia pun mengikut dari belakang. Dapat juga!


~Tolong ingatkan aku..selalu.......~

Thursday, October 21, 2010

Aku Mahasiswa: Jangan Cari, Jangan Lari

Jangan cari dan jangan lari. Ya! Jangan sesekali mencari masalah dan jangan sesekali lari ketika menghadapi masalah. Memamg sesuai dengan proses pembelajaran kita sebagai mahasiswa, pelajar mahupun siapa-siapa sahaja ketika melalui liku-liku hidup ini. Semua orang pasti mengelak daripada ditimpa masalah jika mereka sedar. Itu sungguh baik. Namun secekap mana kita mengelak daripada ditimpa masalah, masalah tetap juga menimpa. Manusia pasti tidak lari dari ditimpa masalah. Masalah pasti akan menimpa mereka di suatu saat dalam hidup ini.

Jangan lari!

Itu masalah kita. Kita perlu selesaikannya. Masalah takkan selesai selagi kita tidak menyelesaikannya. Duduk diam takkan menghasilkan apa-apa perubahan.

"sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….”
(Surah Ar-Ra’ad, Ayat 11)

Pernahkah kita ditimpa masalah yang berlarutan? Atau pernahkah kita ditimpa masalah bertubi-tubi? Jangan gusar. Sesungguhnya setiap sesuatu musibah itu ada penyelesaiannya dan ada kesudahan yang baik. Redha akan masalah yang sedang menimpa dapat menguatkan hati kita dalam menghadapi masalah tersebut. Redha dan berusaha. Seperti kata-kata Rabiatul Adawiyah:

"seseorang itu belum mencapai tahap redha akan seseuatu yang menimpa dirinya selagi mana kegembiraannya ketika dia mendapat susah menyamai dgn kegembiraannya ketika dia mendapat kesenangan"

Bersyukur ketika diberi kesenangan dan redha apabila ditimpa kesusahan. Setiap kesusahan yang menimpa itu pasti dapat ditanggung oleh individu yang terpilih. Jangan pula sengaja mencari masalah. Sendiri cari sendiri tanggunglah nanti. Lagi sekali ditekankan, Jangan Cari dan Jangan Lari.


-Final dah dekat. Asignment belambak. Sape suruh tangguh-tangguh kerja. Cari masalah betul. ;(

Wednesday, June 9, 2010

Indahnya Bersyukur

  
  

Sudah puas lihat pemandangan2 di atas? Banyak lagi pemandangan2 indah yang boleh kita nikmati di atas muka Bumi ini. Baiklah bercerita mengenai nikmat, cuba kita fikirkan bagaimana kita menghayati setiap nikmat tersebut. Pernahkah kita bersyukur?

"Entahlah. Pernah kot."
"Kadang2 la.."
"Ada gak lah sesekali."
"Pernah. Bila tersedar."

Mungkin kata-kata tersebut yang selalu menjengah ke telinga kita apabila bertanyakan kepada seseorang. Atau mungkin ianya keluar daripada mulut kita sendiri. Termasuklah saya sendiri.
Mari kita sama-sama renungkan. Sebenarnya nyata sekali Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah. Sangat banyak nikmat yang dikurniakan kepada kita. Tak terbalas dengan amalan2 soleh kita yang sangat sedikit itu.
 
  

Iman, Islam, tubuh badan, ahli keluarga, kebebasan bergerak dalam negara sendiri, kewangan, pendidikan..malah banyak lagi..
Subhanallah banyak tak terhitung apa yang dikurniakan kepada kita.

Mungkin kita rasa pada sesetengah aspek, ada kurangnya. Namun, ingatkah kita masih ramai lagi yang bernasib lebih malang daripada kita?
  

Sepatutnya kita berasa malu kalau2 kita pernah mengeluh menyalahkan takdir dan nasib kita. Jadi, sikap syukur ini amat penting dalam kehidupan harian kita.
Firman Allah dalam al-Quran:

"Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan tambah nikmat bagi kamu..."
(Surah Ibrahim: 7)

Hah! Apa lagi. Jom sama2 kita bersyukur..


Monday, May 17, 2010

R^PUH

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam dosa dan air mata
Kupersembahkan kepada-Mu
Yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepada-Mu
Namun cinta dalam jiwa hanyalah pada-Mu
Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintai-Mu
Dalam dada kuharap hanya diri-Mu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir pada-Mu

Friday, April 23, 2010

Nasihat Luqman Al-Hakim

"Wahai anakku! Sepanjang hidupku, aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi yang lalu, sabda mereka :
  • Apabila engkau mengerjakan sembahyang dan beribadah kepada Allah, maka jagalah baik-baik fikiranmu.
  • Apabila engkau berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga matamu (pandangan matamu).
  • Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).
  • Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.
  • Ingatlah kepada Allah s.w.t.
  • Ingatlah akan mati.
  • Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.
  • Lupakanlah semua kesalahan orang terhadap dirimu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...