Pages

Showing posts with label motivasi diri. Show all posts
Showing posts with label motivasi diri. Show all posts

Saturday, September 26, 2015

Teruskan Azammu. Usah Berhenti Pada Kejayaan Kecil.

"Allah..Allah..Allah..Aku bersyukur ya, Allah. Di sebalik kepahitan yang tercalit, membuatkan aku lebih tabah. Tetapkanlah aku atas jalan-Mu ya, Allah."

Dingin suasana pagi menghamburkan rasa kenikmatan. Kita masih lagi kuat berdiri. Matlamat semalam masih digenggam erat. Usah gelincir lagi.

Mehnah-mehnah kehidupan menanam pasak dalam jiwa muslim. Tidakkah kita sedar? Begitu hati berpegang pada takrifan ubudiyyah membawa kepada kejituan rohani.

"Yeeeehaaa!! Aku berjaya. Aku gembira."
Ya, bergembiralah. Namun, usah lalai dengan kejayaan kecil itu. Anggaplah ia motivasi untuk mencapai kejayaan yang hakiki.

Semalam..Jika kelakuanmu batil, perbetulkan..Simpan dalam hati. Itu aibmu kerana kesalahan kamu sendiri.

Semalam..Jika kelakuanmu benar, namun kamu tetap gagal. Usah disesalkan. Mungkin caramu tidak sesuai dengan keadaan. Di sini kita belajar daripada kesilapan.

Teruskan melangkah. Perjalanan masih jauh, namun tidak mustahil untuk digapai..


Wednesday, April 8, 2015

Bila Saatnya Kita Kecapi Bahagia?


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?

Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?

Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?

Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.

Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent  berbanding suka dan duka.

Persoalannya, bilakah kita bahagia?

"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.

Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?

"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."

"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.

Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?

Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.

Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.

Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.

Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?

Ianya SEKARANG!

Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.

Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.


Tuesday, February 10, 2015

Berikan Aku Masa Lalu

Masa lalu. 

Sesuatu yang selalu manusia sesali akannya. Kalau boleh, mereka akan meminta kembali ke masa lalu dan membetulkan kesilapan. Begitulah keadaannya manusia di akhirat nanti. Mereka memohon kembali ke dunia setelah mereka yakin dengan azab Allah.

Sedari di dunia lagi, manusia yang menghabiskan waktunya dengan sia-sia berasa sesal atas usianya. Mereka menyesal kudrat dah tenaga ketika muda dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak bermanfaat.

Namun, itu masa lalu.

Kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Jadi bagi pemuda yang sedar, rancanglah setiap tingkah-lakumu. Usah gagal merancang kerana gagal dalam merancang sudah tentu gagal sejak dari awal lagi.

Menyesali masa lalu bukan bermakna kita sudah tiada harapan lagi. Yang sudah itu biarkan ia berlalu. Tiada lagi daya yang mampu kita lakukan untuk mengubahnya. Fokus kepada masa hadapan, sesuatu yang dapat kita ubah dan berusaha jadikan ia terbaik.

Jangan bilang tidak mampu.

Haih. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Jika kita benar-benar mahu yang terbaik, mengapa tidak kita berusaha sebaik mungkin. Jika dahulu kita gagal, dengan usaha maka masa hadapan pasti ada peratusan untuk lebih berjaya. Tidakkah begitu?

Lihat pada diri sendiri. Insan lain mempunyai kudrat yang sama dengan kita malah ada yang boleh dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya. Dia masih mampu berusaha. Dia boleh pula capai yang lebih baik daripada kita. Masih lagi mahu berkata tidak?

Duduklah sebentar seusai solat. Renungi tajam tempat sujud. Fikir sedalamnya menghembus nafas berselang istighfar. Kemudian, tanyakan pada diri ",Bagaimana aku sekarang ini?"

"Bertindak!!," gema hati berteriak.



Jangan terlalu memikirkan
masa lalu, tak ada apa yang mampu dilakukan untuk mengubahnya. Berikan yang terbaik saat ini, kecapi masa depan yang lebih baik.
 

Tuesday, December 30, 2014

Gerakkan Masa Hadapanmu

"Alhamdulillah, ya Allah. Kau berikan nikmat atas segala yang aku usahakan selama ini. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin-Mu, ya Allah," Ahmad mengucapkan syukur seusai solat qiam. Hujan menitis menyelusuri celahan batuan. Ikan-ikan bermain di dasar kolam kecil inspirasi sang pemuda itu. Tenang wajahnya melihat landskap hujung ruang solat itu.

Ahmad. Dahulunya seorang pemuda kampung yang mengembara ke bandar. Beberapa kali ditipu oleh jiwa-jiwa manusia yang dihimpit kegelapan. Namun, dari situ Ahmad belajar. Belajar memperbaiki persepsi terhadap orang sekeliling dan dirinya sendiri. Diri sendiri? Manakan tidak. Dia terus memperbaiki persepsi yang dihambat atas dirinya..

Seperti sukar diterjemah. Bagaimana pula jika kita lihat diri kita dari cermin? Apakah persepsi kita terhadap diri kita sendiri? Cantik? Lawa? Hensem? Alhamdulillah. Kita dikurnikan kecantikan. Tetapi mana kekurangan kita? Sudah kita temui?

Setiap insan pasti ada kekurangan. Tidak boleh tidak jika kita tak dapat jumpa kurangnya kita. Ini masalah ni. Teliti kembali. Pasti kita temui.

Setiap bermulanya tahun baru, hampir setiap manusia ada target tertentu untuk tahun tersebut. Salah kita pada tahun lepas kita buktikan yang kita dapat perbaikinya tahun ini. Mana yang kita tak tercapai tahun lepas, kita bayar pada tahun ini.

Bagunlah. Jangan duduk lagi. Masa tidak menunggu kita. Orang beriman sentiasa peka dengan kekurangan diri. Jika tiada usaha untuk menjadi lebih baik, lama-lama diri kita menjadi kurang peka. Semua perkara dianggap remeh-temeh. Kok bisa begitu dong. Bangunlah...

Menyesal bukan bila suatu masa nanti kita tidak punyai kekuatan untuk bertindak namun keinginan itu ada? Dimanakah masa muda kita? Dimanakah kita sumbangkan tenaga kita? 

Oh, aku telah bazirkannya. Izinkan aku kembali semula. 

Tidak mahu begitu bukan?

Usaha. Bukan hanya tercetus pabila bibir berbicara. Kudrat perlu dikerah. Wah, kerah tu nampak macam berat. Sebenarnya sedikit usaha pun sudah mampu menghasilkan sesuatu yang berbeza. Percayalah, kerana itu kita perlu berusaha. Tak caya. Hah! Cubalah. Cuba..Cuba..

30 Disember 2014. Jam 1.45 pagi. Aku telah mengambil sedikit waktu rehat tubuh badanku. Hanya ada lebih kurang 46 jam untuk aku merancang perjalanan tahun seterusnya. Mungkin agak terlewat kerana perlukan sedikit masa untuk terbiasa. 

"Tidak mengapa, Yang penting engkau gerakkan usaha," Ahmad's soul whispers.

Saturday, December 13, 2014

Membuat Kebaikan Itu Tidak Bersyarat

Kenapa kita ini, selalu me-limit-kan sesuatu kebaikan itu? Kita ambil dari aspek sedekah contohnya. Kerana kita tidak kaya, kita tidak boleh menolong orang miskin. Bukankah banyak cara dan benda lain yang boleh kita gunakan. 


Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang bisa kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?"


Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).


Nampak tak? Banyak cara untuk kita bersedekah. Begitu jua dengan perkara-perkara makruf yang lain. Ianya tidak terhad kepada tempat, bahan, suasana, dan individu. Jika perkara baik itu hanya pada sesuatu tempat, kita akan lihat dunia ini bagai ada tompok-tompok hitam dan tompok-tompok putih yang jelas. Bukan juga hanya terhad kepada benda ini dan benda itu yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk melakukan kebaikan. Apatah lagi hanya melihat suasana. Pabila sedang bergembira mungkin tidak perlu dan apabila sedih sangat perlu. Tidak juga terhad kepada individu-individu tertentu ataupun terhad kepada bilangan individu sama ada berkumpulan ataupun berseorangan.

Kita ini, jika terniat untuk melakukan kebaikan perlu kita cari pelbagai jalan untuk melakukannya. Seperti juga kita inginkan hasrat kita tercapai. Kita berusaha separuh mati untuk mencapainya. Jika kita merasai nikmatnya melakukan kebaikan itu pasti kita akan bersungguh-sungguh. Tidak terasakah kita betapa nikmatnya melihat orang lain gembira? Kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa gembira dan positif fikirannya. Itu sungguh mendatangkan kebahagiaan.

Cuba kita ini bila mengetahui masyarakat kita sedang menghadapi masalah, kita tidak menuding jari kepada pemimpin sahaja. Kita bilang mereka tidak menjalankan tugas memakmurkan pemerintahan sebaiknya. Sedangkan tugas memastikan kebaikan sentiasa terlaksana itu terletak di bahu setiap insan. Kerana itu konsep jati diri yang teguh dalam Islam itu bermula daripada individu. Kemudian membawa kepada keluarga, kawasan dan daulah. Lihat, ianya perlu bermula daripada diri setiap individu.

Allah itu Maha Pemurah. Dia tidak meletakkan syarat untuk kebaikan. Jenis kebaikan apa dan bagaimana semuanya tidak terlepas dari perhitungan Allah. Jadi, mengapa kita perlu meletakkan batas dalam melakukan kebaikan. Ini satu sentimen yang rosak.

Bagaimana anda sekarang? Masih lagi ragu dalam bertindak? Ya, benar. Mungkin ada juga yang berkata kita tidak mampu bertidak pada dua tempat dalam satu masa. Jadi, konsep keutamaan kita gunakan di sini. Kita boleh mengutamakan kebaikan di kawasan-kawasan sendiri contohnya. Apa gunanya kita biarkan kawasan yang kita huni ini dalam masalah dan pergi menyelesaikan masalah di tempat lain. Itu juga perlu kita pertimbangkan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jangan tunggu orang lain bertindak. Boleh jadi tindakan tidak kunjung tiba jika kita sendiri tidak memulakannya. Mari, sahabat!

Tuesday, December 9, 2014

Istiqamahkah Kita?


Semalam kita bersalaman dengan ibu bapa sebelum ke sekolah. Hari ini kita terus pergi tanpa sepatah bicara. Begitulah lazimnya manusia. Itu hanya satu contoh bagaimana kita menilai kelakuan kita dari hari ke hari. Adakah kita semakin baik, sama atau merosot nilainya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa kita seringkali tidak tetap dalam kelakuan kita. Izin saya sebutkan. Ianya Matlamat!

Ya, Matlamat!

Cukup. Sudah cukup kuat rasanya berteriak. Benar, jika dari awal lagi kita tidak menetapkan matlamat yang perlu kita capai, kita pasti terhenti di tengah jalan. Semuanya menjadi sia-sia apatah lagi apa yang kita lakukan hanya untuk suka-suka.

"Ya, aku ingin mencuba. Macam best je."

Dengan ayat "Aku ingin mencuba," memang bagus sekali. Cubalah dengan tujuan meraih matlamat. Tetapi tatkala ayat itu dilengkapkan dengan "Macam best je" sudah tergambar matlamat yang tidak jelas. Apakah ini akan membawa kepada istiqamah bermula saat langkah pertama dicetuskan?

Memang ada masa-masa kita jatuh. Namun, itu bukan bermakna kita perlu padamkan matlamat kita. Melainkan telah diketahui matlamat itu tidak baik untuk kita. Jarang sekali kita merancang untuk matlamat yang tidak baik bukan? Maka, itu boleh dikatakan tidak akan terjadi.

Ketika saya bekerja dalam jabatan kualiti di sebuah syarikat, semua staff dilatih untuk konsisten dalam tindakan dan bicara. Apa yang dilontarkan pada awalnya akan sentiasa sama hingga selesai satu-satu masalah itu. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pekerja berlainan organisasi. Jika awalnya betul, maka akan sentiasa betul sampai akhir. Tetapi masalahnya bila salah, akan salah sampai tiba satu peluang untuk melakukan pembetulan.

Mungkin terpaksa menipu tetapi yang baiknya semua yang dibicarakan akan konsisten sehingga masalah selesai. Kita ambil yang jernih daripada situ. Jika tidak mahu melakukan perkara yang tidak-tidak jadi perlulah bercakap yang benar tetapi tidak memberikan impak kepada syarikat sejak awal lagi.

Begitulah juga kehidupan kita.

Kita merancang dengan rapi sekali. Sudah pasti apa sahaja yang kita ingin lakukan ada objektifnya. Kemudian, langkah-langkahnya. Seperti mana pelajar aliran Sains sekolah menyediakan report kajiannya:

1) Tajuk
2) Objektif (Matlamat)
3) Pemboleh ubah (Kekangan dan alternatif)
4) Prosedur (Langkah-langkah)
5) Analisis data (Muhasabah semasa)
6) Keputusan (Pencapaian)

Lebih kurang begitulah jika kita kaitkan dengan kehidupan ini. Kerana itulah kita digalakkan memandang seluruh alam dan berfikir. Ilmu yang kita ada walaupun sedikit, kita gunakan sebaiknya bukan kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Jadi, istiqamahkan kita dalam setiap kelakuan kita? Mari kita ukur di mana kita bermula dan di mana kita sekarang. Bagaimana pula dengan matlamat kita? Hah, sudah timbul satu tanda tanya.


Tuesday, September 16, 2014

Penat

Sudah penat? Penat bekerja? Penat belajar? Penat memikul tanggungjawab? Penat mengharungi luka duka dunia? Sabarlah wahai akak-akak, abang-abang. Dunia ni memang tempat berpenat-penat. Supaya di akhirat nanti kita merasa nikmat. Lagipun, selepas berpenat-penat, selalunya hasil baiknya kita dapat sejak di dunia lagi. Dengan itu kita dapat menghargai usaha sebelumnya.

Memang asam garam hidup di dunia. Bukan semua yang kita rancang, kita dapat. Sebaik-baik mana pun kita rancang, jika tidak Allah izinkan kita takkan mampu mermperolehinya. Tapi, kita masih lagi dapat. Dapat belajar bersyukur dan menerima. Malah, perancangan kita diganti dengan perancangan Allah yang lebih baik lagi.

Biasalah. Tidak semua orang di dunia ini sependapat dengan kita. Kadang-kala kita memandang orang lain dengan pandangan kita. Kita rasa orang lain juga sama pemikiran dengan kita. Itu tidak mungkin terjadi dalam semua kes. Relaks brader. Relaksss. Kita kona sikit je. Syukur jika pendapat kita pendapat yang baik. Syukur juga jika pemikiran orang lain berarah kepada kebaikan. Apa mau gaduh. Sama-sama baik kan...

Dalam dunia ini, apa yang paling susah dicapai ialah rasa senang hati semua orang terhadap kita. Buat perkara yang baik pun ada yang membenci, apatah lagi perkara jahat. Move on.  Pada masa ini, pandangan manusia tak perlu lagi diambil kira jika baik pun salah bagi mereka. Hanya teruskan dengan apa yang Allah suka. Pandangan Allah itu lebih utama.

Letakkan apa sahaja pandangan terhadap kita. Usah goyah dek mereka. Kita bukan hidup kerana manusia. Banyak perkara yang tidak perlu kita jelaskan kepada manusia. Namun, jika diberi peluang memang perlu kita jelaskan. Menghadapi manusia, makhluk yang mempunyai akal dan emosi memang memenatkan. Yakinlah suatu hari Allah akan buka hati mereka mungkin dengan penjelasan kita atau pun mungkin tidak.

Mari berpesan kepada diri sendiri. Hidup ini bukan kerana manusia, hanya redha Ilahi yang kita cari. Tepuk dada, biar hati tunduk memahami.

Monday, June 23, 2014

Maaf..!! Ku Tak Bisa.

Maafkanlah, di sini kupinta tulus dari hati. Maaf ku tak bisa.

Selamat hadir ke medan fikrah sahabat-sahabat. Semoga manfaat dapat sama-sama kita kecapi. Sila buang yang keruh, ambil yang jernih. Sila pasang filter  di kala membaca omongan saya atau mana-mana sahaja sumber bacaan.

Pernah tak anda plan sesuatu perkara, lepas tu buat semua dengan bergaya dan berjaya. Tiba-tiba di akhirnya Allah nak uji kita, kita tak dapat apa yang diimpikan? Hah! Itulah hakikatnya. Nak buat macam mana, kita ni manusia hanya mampu merancang dan mengusahakan. Bukan kita yang tentukan.

Hei, apa nak lemah semangat ni. Relaks la. Buat sekali tak jadi buat dua kali. Tak jadi jugak? Tak yah buat la. Haha. Kenapa tak yah buat? Sebab kita buat cara yang sama. Buatla cara lain pula. Matlamat tu biar solid. Cara tu dipelbagaikan. Kalau dah berbagai-bagai tu, bagai-bagai-bagaikan lagi. Tu baru kreatif dan inovatif. KBKK tuuuu..umangaiiii..haha.

Saya nak cakap kat sini, jangan putus harapan, jangan hilang semangat. Lemah semangat kasi kuat balik. 

Tapi tetap ku tak bisa.

Okay. Dah faham dah kenapa enggak bisa. Cuba check matlamat tu sekarang. Lain kali kalau nak set matlamat kena pertimbangkan perkara-perkara ni.
Nombor satu- Matlamat tu agak mustahil untuk dicapai. Contohnya nak jadi sultan. Apa punya orangla.
Nombor dua- Matlamat terlampau spesifik. Nak jadi Petroleum Piping Engineer untuk Petronas di Kuala Lumpur. Selain dari jawatan tu, kompeni tu dan kawasan tu tak boleh. Targetla nak jadi well-known piping engineer cukup dah.
Nombor tiga- Kedua-dua yang di atas. Hehe.
Kena faham ye, yang ni punca kenapa matalamat susah untuk dicapai. Lalu, lebih mudah untuk kita berputus asa. Takpe, adjust sikit je matlamat tu. Alright, sekarang dah cantek.

Masih ku tak bisa. 

Tiada apa yang dapat kita lakukan tanpa izin Allah s.w.t. Fahami qada' dan qadar. Ada yang dapat kita ubah dengan usaha dan doa. Ada pula yang tidak dapat kita usahakan. Kerana hidup ini perlu ada rasa menerima.

Tiada apa yang perlu disesalkan. Kerana kita sedang menanam untuk dituai di suatu masa.

Maafmu tidak kupinta. Selagi kamu melaksanakan tugasan seorang hamba.

#Nukilan hati kepada hati


Sunday, January 29, 2012

Adakah Kita Masih Muda

Salam barakah saudara saudari sekalian.
Berapa umur saudara saudari ketika ini? Oh, 20 tahun. Bukan? 24 tahun? Saya berumur 23 tahun pada tahun ini. Terasa tua jika dibandingkan dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang berusia 22 tahun dan 23 tahun ketika memimpin tenteranya menawan Konstantinopel. Usamah bin Zaid r.a menjadi jeneral ketika berumur 18 tahun dan menumbangkan Rom ketika berusia 19 tahun. Memang banyak masa yang telah dibazirkan sedangkan saya belum lagi mencapai apa-apa pencapaian besar dalam hidup.

Mustahil jika saya bercita-cita untuk menawan negara seperti mana yang telah tokoh-tokoh tersebut lakukan. Setidak-tidaknya sepatutnya saya berusaha menjadi muslim yang berperibadian tinggi. Oh, saya terasa sangat tua. Tua untuk tidak serius, tua untuk bermain-main secara berlebihan.

Rasulullah ada berpesan yang dimulakan dengan, "Kejarlah lima perkara sebelum lima. Masa mudamu sebelum masa tuamu..." Kalimah kejar itu menunjukkan ianya sangat penting. Ketika mudalah kita mempunyai tenaga yang paling optimum, kecerdasan yang paling tinggi dan segala jenis kekuatan berada di tahap maksimum.

"Alah, relakslah aku muda lagi."

Masalahnya sampai bila kita mengukur diri kita masih muda. Tambahan pula, mendidik diri bukan satu proses yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Ia memakan masa bertahun-tahun. Jika tidak kita mulai sekarang, bila  agaknya kita akan dapat hasilnya. Sehingga kini saya masih belum lagi mampu menjadi anak yang taat dan berlemah lembut kepada ibu bapa sepenuhnya walaupun sudah berusaha bertahun-tahun. Begitu juga perkara-perkara lain, masih banyak yang perlu diperbaiki.

3 tahun lagi saya berusia 26 tahun, 4 tahun lagi 27 tahun dan seterusnya. Pada ketika itu cukup matangkah saya untuk menjadi insan yang berumur 26 atau 27 tahun? Sudah bersediakah saya untuk menjadi seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab, pemimpin masa hadapan yang berkomitmen, dan memimpin sebuah keluarga Islam? Mari fikirkan apakah peningkatan yang dapat kita lakukan pada setiap tahun yang akan datang. Masa yang lepas telah kita jalani, masa hadapan perlu kita jalani dengan sebaiknya pula.

Mungkin kita selama ini alpa.
Menjadi khalifah di muka bumi ini bukan suatu yang sambil lewa.
Ingatlah akan tujuan hidup di dunia.
Masa masih ada, jangan disia-sia.

Semoga sama-sama kita bangkitkan semangat yang sedang lena. Mari berusaha.

Wednesday, January 25, 2012

Hanya Sekadar Mimpi




















Mari baca kisah ini. Mari mari mari.

Suatu hari, seekor nyamuk bermimpi sesuatu yang amat mengasyikkan. Dia memberitahu rakannya, Belalang.

"Belalang, semalam aku mimpi indah sangat. Aku menikmati darah segar sehingga kekenyangan,"beritahu Nyamuk.

Belalang melihat perut Nyamuk yang kempis seraya berkata,"Wah, indah betul mimpi engkau tu."

Nyamuk tersenyum riang.

Pada keesokan harinya, bercerita lagi Nyamuk akan mimpi pada malam berikutnya.

Kata Nyamuk,"Belalang, engkau tahu semalam aku mimpi kerajaan manusia mengharamkan penggunaan segala jenis ubat dan racun nyamuk kerana mencemarkan alam. Itu sudah sangat bagus. Tak perlulah aku lari lintang pukang ketika manusia menggunakan ubat nyamuk. Wah, seronoknya!"

Belalang seronok melihat gelagat rakannya itu.

Pada hari seterusnya, Belalang sengaja bertanya kepada Nyamuk,"Engkau bermimpi lagi malam tadi, Nyamuk?"

Jawab Nyamuk dengan nada gembira,"Ya, Belalang. Kali ini lebih indah. Seronoknya aku. Kali ini pula, manusia dilarang membunuh nyamuk kerana nyamuk diiktiraf sebagai haiwan peliharaan. Suka banget aku. Kihkihkih."

Belalang hanya mengangguk. Berpusing-pusing biji matanya melihat setiap gerak tari Nyamuk. Tetapi, dilihatnya perut Nyamuk semakin kempis. Nyata rakannya itu masih lagi kelaparan. Nyamuk, nyamuk.

Hah, bagaimana? Apa yang kita dapat daripada kisah ini? 

Manusia kadang-kadang hanya mampu berangan, bermimpi dan sebagainya. Lebih baik daripada itu sangat ramai yang mampu merancang. Namun, berapa ramaikah antara kita yang melaksanakan apa yang diimpikan mahupun yang dirancang. Sama-sama kita koreksi diri. Jangan biarkan mimpi hanya sekadar mimpi. 
Wallahu a'lam.

Saturday, October 8, 2011

Berani Berkata TIDAK

Saya doakan semua pembaca ruangan ini serta semua kaum muslimim dan muslimat sihat-sihat sentiasa. Tambahan, sentiasa di bawah redha Ilahi. Semoga sentiasa bersemangat menempuh kehidupan yang penuh pancaroba ini ya. Tempuhi dengan penuh keazaman dan jangan putus asa walaupun anggota badan dah putus sana-sini. Ada mutiara kata menyebut ,"Yang kuat itu bukan fizikal tapi minda, yang lemah itu bukan fizikal juga tapi minda."

Saya tahu semua yang sedang membaca ruangan ini kuat-kuat mindanya, cekal hatinya, tak mudah mengalah dengan cabaran, dan sentiasa mahu maju ke hadapan. Cuma saya menulis demi mengingatkan diri sendiri yang kadang-kadang terleka sebentar. Mana tahu ianya kekadang terkesan juga kepada sesiapa yang berasa sedang lemah tatkala ini. Sama-sama kita beringat dan cuba mengambil manfaat. Yang buruk sama-sama kita hindari pula.

Sebelum ini kita berbicara mengenai ketidaksesuaian berkata "tidak" dalam entri Jangan Kata Tidak. Kali ini kita berbicara sebaliknya pula dalam entri ini. Tujuan saya ialah untuk kita sama-sama melihat bahawa dalam masalah-masalah tertentu, terdapat berbeza sudut pandangan dan penyelesaian. Kita kena fikir bahawa dalam satu masalah ada banyak penyelesaian, bukan dalam banyak masalah ada penyelesaian yang sama.

Hah, termenung apa tu? Tak faham ke saya cakap apa? Laa..takkan tu pun tak faham. Pura-pura tak faham la tu. Baiklah, kadang-kadang kita perlu kata "tidak" kalau kita benar-benar rasa tidak mampu menggalas sesuatu tugas. Bukan sebab malas ye tapi sebab kita mahu fokus kepada perkara lain. Takut fokus kita terganggu jika bertambahnya satu tugasan. Jangan jadi seperti kerbau dicucuk hidung. Semua yang disuruh, dilakukan. Hinggakan diri sendiri tidak terurus.

Gunalah pertimbangan akal sewajarnya dalam memilih tugasan agar masa lebih terurus. Kesihatan dan perkara-perkara lain juga tidak diabaikan. Mengapa perlu berkata ",Ok, I'm fine. Takde masalah" sedangkan hati begitu berat menerimanya, sedangkan kita belum benar-benar memikirkannya.

Ada kalanya kita mungkin rasa hebat kerana memegang banyak jawatan, menjadi orang sandaran dalam banyak perkara dan sentiasa diharapkan. Kalau boleh semua jawatan-jawatan tertinggi mahu kita pegang. Kalau zaman persekolahan saya dahulu orang sebegini dipanggil 'gipang'(gila pangkat). Tapi tak kisahlah kalau mereka ni benar-benar boleh menguruskan semua tanggungjawab. Saya tak kata jangan elakkan diri terus daripada tanggungjawab. Heh, jangan salah faham pula. Saya cuma ingin  fokuskan supaya kita bijak membuat pertimbangan. Yang mana kita rasa tak mampu, kita tolak kalau boleh.

Ye tak ye. Pensyarah saya ada mengatakan ,"Sometimes you must dare to say NO if u really can't face it." Lebih kurang macam tu lah kata beliau. "Buat apa kita terima sahaja kalau kita sendiri terseksa. Lagi-lagi jika berkenaan masa depan kita. Cari alasan yang munasabah dan selesaikannya dengan baik,"sambung pensyarah tersebut lagi.



Monday, October 3, 2011

Jangan Kata TIDAK



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Alhamdulillah kita diberi peluang kehidupan untuk hari yang seterusnya. Jadi, mari kita gunakan nikmat kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.

Apakah rencana kita pada hari ini? Hah? Takkan tak ada kot. Pasti ada. Hey fikirlah sikit jangan malas sangat. Setiap hari kita perlu ada misi tersendiri. Secara umumnya ingin lebih baik daripada semalam. Tak gitu?

Cuba bayangkan bermula hari ini kita ada satu tanggungjawab yang tak pernah kita pikul sebelum ni. Mengepalai satu pasukan, mendapatkan tender syarikat dan sebagainya.

"Camne ni...Aku tak pernah buat benda ni. Habislah aku kena hamun nanti," hati mula mengeluh. Fikiran menjadi serabut. Saat ini rasionalistik menurun mendadak.

Bertenang.

Tarik nafas dalam-dalam.

Yakin kita mampu menyelesaikan tanggungjawab dengan sempurna bergantung usaha kita. InsyaAllah.

Jangan lupa, kita tidak akan ditimpakan sesuatu yang tak mampu kita hadapi. USAHA is number one. Then, followed by TAWAKAL.

Jangan kata tidak sedangkan kita belum mencuba.

Jangan kata tidak sedangkan telah ramai yang melepasinya.

Jangan kata tidak sedangkan Allah telah mengurniakan kita dengan upaya.

Mungkin pada akhirnya nanti apa yang berlaku tak seperti yang diharapkan. Jangan terlalu kecewa. Keputusan menjadi tidak begitu penting jika usaha yang dilakukan bertepatan dengan matlamat. Mungkin itu merupakan satu pengalaman dan proses pembelajaran. Mungkin juga kita dapat terhindar daripada rasa takbur.

Hidup ini menyeronokkan dengan adanya cabaran. Jangan salahkan cabaran; salahkan diri sendiri yang mudah putus asa sebelum manyahut cabaran. Bagaikan mati sebelum ajal.

Ayuh, sambutlah cabaran dengan usaha yang wajar dan jangan berkata TIDAK sebelum melakukan!


Wednesday, August 24, 2011

Lupa Sebagai Satu Nikmat

Manusia memang secara umumnya mempunyai sikap lupa. Manusia digelar insan dan insan terbit daripada kata nasiya yang bermaksud lupa. Jadi, memang wajarlah manusia itu seringkali lupa dan alpa tentang sesuatu perkara. Ini berbeza dengan penyakit alzheimer, nyanyuk atau hilang ingatan yang dialami oleh segelintir individu ye. Ini memang fitrah semula jadi manusia.

Lupa seringkali dipandang negatif. Seboleh mungkin manusia mahu saja mengelakkan dan menghapuskan terus sikap lupa ini. Mana mungkin ianya terjadi. Juga, sebenarnya tak patut dan suatu yang merugikan jika tiada ciri-ciri lupa dalam diri manusia. Lupa memang sesuatu kelemahan tetapi ianya memang patut ada dalam diri manusia.

Kenapa?

Hah, kita selalu sahaja memandang kelemahan sebagai perkara yang negatif. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa-apa sahaja di luar jangkauan fikiran manusia. Pasti ada sebabnya. Dan manusia hanya diberi sedikit sahaja pengetahuan tentang rahsia alam ini.

Manusia perlu lupa akan kenangan pahit yang menimpa dirinya, manusia perlu lupa supaya tidak mengungkit-ungkit perkara yang lalu, manusia perlu lupa untuk menunjukkan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun.

Cuba bayangkan kita tidak dapat melupakan kenangan pahit dalam hidup ini. Terus-terusan kita akan rasa sedih, bersalah dan kacau bilau dibuatnya. Jadi seiring dengan waktu, segala kenangan pahit akan sedikit demi sedikit lupus daripada ingatan ataupun hanya tinggal kenangan yang tidak mengganggu gugat jiwa seseorang itu lagi. Kan satu kelebihan tu kita dikurniakan sikap lupa.

Pertengkaran semalam atau mungkin kebaikan yang telah diberikan terhadap orang lain tidak lagi dapat diungkit-ungkit kerana ianya sudah dilupakan. Jiwa lebih tenang dan perhubungan sesama insan kembali akrab selepas pertengkaran yang berlaku semalam hilang dalam ingatan. Pertolongan yang diberikan terhadap rakan tidak lagi diungkit-ungkit dan hati menjadi lebih ikhlas membantu sesama insan. Tu dia satu lagi kelebihan. Betul kan? Betul ke tidak? Betul...

Allah sahaja yang terkecuali daripadi sikap lupa. Manusia yang lemah memang perlu kepada sikap ini. Allah mengampunkan manusia yang melakukan kesalahan dalam keadaan tidak sedar, tidak tahu atau lupa. Tapi semuanya itu bersyarat. Faham ye? Yela kalau kita tak sedar daripada tidur hingga terlepas waktu solat, tidak tahu kerana masih tidak diajar atau lupa membayar hutang yang tidak disengajakan semuanya diampunkan oleh Allah. Begitulah kita dapat membuka mata hati jiwa kita tentang keagungan Allah s.w.t.

Hah, dapat dah? Sangka tak? Bak kata Nabil Raja Lawak..tak sangka kan..tak sangka kan..Memang tak disangka-sangkalah. Sebelum terlupa, selamat menempuh akhir Ramadhan.


Saturday, August 20, 2011

Masalah Satu Perencah Dalam Kehidupan

Sedang menghadapi masalah? Jangan risau, tiada masalah; semuanya pasti berlalu dengan baik-baik saja. Manusia lazimnya takut akan masalah. Cuba mengelakkan seboleh mungkin. Itu tidak mengapalah. Jangan pula menyelesaikan masalah dengan cara yang tidak betul. Itu dinamakan cuba lari daripada masalah sedangkan di mana-mana sahaja ada masalah. Hidup manusia ini tidak lari daripada masalah, maka setiap satunya perlu diselesaikan dengan jalan yang benar. Memang sentiasa kita temui masalah-masalah dalam kehidupan tetapi ingatlah setiap kesusahan itu ada juga kesenangan. Saling silih berganti antara satu sama lain.

Masalah Membuatkan Orang Takut Melakukan Kesalahan


Jangan takut melakukan kesalahan jika kesalahan itu pasti membawa kebaikan. Pasti kebanyakan orang tidak mahu melakukan kesalahan. Namun, pernah tak kita terfikir kesalahan mempunyai sifat-sifat berikut:

a) Jalan mendapatkan ilmu
     Kadang-kadang kita sengaja ditunjukkan kepada kesalahan sebelum mengetahui jawapan sebenar untuk sesuatu perkara. Kesalahan membuat kita lebih gigih untuk mencari jawapan (Selagi tidak berputus asa pastinya). Jadi, manusia dapat mengenal mana satu kesalahan yang dilakukan.
     Pencipta mentol (Tak ingat siapa namanya), sudah mencuba 2000 bahan untuk membuat mentol yang baik sebelum dia berjaya mencipta mentol pertama di dunia.
Pembantunya pun berkata, "Sia-sia sahaja. Kita tidak mendapat apa-apa."
Balas pencipta mentol, "Tidak. Sekurang-kurangnya kita tahu 2000 jenis bahan yang tidak sesuai digunakan."

b) Menyedarkan manusia akan dosa
     Jika kita melakukan kesalahan dan masalah pun datang, biasanya kita akan kembali kepada Tuhan. Barulah kita tersedar kita sudah melakukan dosa. Jadi, sepatutnya kita bertaubat setelah diingatkan tentang kesalahan tersebut. Tetapi, ada juga kesalahan yang bukan dosa seperti contoh a). Namun, sudah pasti kesalahan yang berbentuk dosa sangat perlu dielakkan kerana ditakuti akhirnya kita tidak mampu lagi melihat dosa.
     Setiap orang pernah melakukan kesalahan dan dosa. Jadi, setiap kali itulah kita perlu bertaubat dan menginsafi dosa yang dilakukan. Jangan jatuh kembali ke dalam lubang yang sama beberapa kali. Itu betul-betul menampakkan kejahilan kita memahami masalah.

Orang yang Jarang ditimpa Masalah Kurang Menghargai Nikmat Selesa


Biasanya manusia yang jarang mendapat masalah menjadikan dirinya kurang menghargai nikmat selesa. Dia sentiasa selesa dalam zon selesanya dan mungkin lupa akan wujudnya masalah dalam episod hidup manusia. Mereka juga biasanya kurang sikap simpati dengan masalah yang menimpa orang lain. Mereka tidak merasa apa yang dirasai oleh orang tersebut jadi mereka tidak tahu bagaimana serangan masalah yang mencucuk-cucuk orang yang ditimpa.

Mari kaji surah al-Insyirah.
Perhatikan ayat 5 dan 6. Kedua-duanya mempunyai maksud yang sama bukan? Itu menunjukkan suatu penegasan.
Dalam ayat-ayat tersebut juga terkandung dua al-'usri dan dua yusra. 'Usri bermaksud kesusahan manakala yusra bermaksud kesenangan. Alif lam pada 'usri menunjukkan ianya bersifat khusus dan yusra yang tiada alif lam bersifat umum. Justeru, ia menunjukkan satu masalah mempunyai banyak jalan penyelesaian atau banyak hikmahnya.

Masalah Perlu diselesaikan dengan Tenang

Apabila kita melihat masalah sebagai salah satu episod hidup, kita pasti akan tenang. Jangan bertanya kenapa masalah itu datang kepada kita kerana kita tahu dalam hidup ini pasti adanya masalah. Wujudnya masalah untuk kita belajar selok-belok kehidupan. Jika tiada masalah sudah tentu kita akan berkembang tanpa skill yang utuh dan hidup juga menjadi hambar. Bayangkan betapa nikmatnya tatkala masalah dapat diselesaikan.

Masalah perlu dihadapi. Apabila bertemu dengan masalah dalam kehidupan
a) segera berserah diri kepada Pencipta kehidupan
b) berusaha menyelesaikan masalah dengan cara yang benar. Untuk sesuatu masalah, kadang-kala wujud pelbagai jalan penyelesaian. Pastikan pilih jalan yang benar (mengikit syariat) dahulu diikuti dengan jalan yang dirasakan terbaik mengikut pertimbangan kita. Boleh juga melakukan instiharah.
c) teruskan berdoa dan jangan putus asa
serta jangan lupa syarat utama menghadapi masalah dan musibah iaitu sabar dan tidak mengeluh.

Pelbagai pilihan adakalanya wujud di depan mata. Jangan mengambil jalan mudah kerana selalunya jalan mudah membawa kepada kesengsaraan. Lihat saja apa yang terjadi orang yang menghadapi masalah kewangan meminjam wang daripada along contohnya. Jadi, pilih jalan yang benar sahaja. Apa jua hasilnya nanti itu semua bergantung kepada takdir Allah. Yang penting kita sebagai hamba-Nya telah menjalankan perintahnya dengan melakukan kebaikan dan menolak kemungkaran.

Sesuatu yang perlu kita ingat ialah jangan cari masalah (kerana ianya pasti ada), jangan lari daripada masalah (kerana ianya takkan menyelesaikan masalah), jangan takut dengan masalah (kerana ianya pasti dapat dihadapi). Wallahu a'lam.



Lihat juga: Aku Mahasiswa: Jangan Cari, Jangan Lari

Thursday, July 7, 2011

Harta Oh Harta


Anda ada harta? Alhamdulillah kalau ada. Syukur sekali. Kalau takde pun takpe. Takpe tu bukan maksudnya tak perlu cari harta, tapi kita terima seadanya setelah berusaha mendapatkannya. Kalau masih belum dikurniakan rezeki, dengan rendah dirinya perlulah kita redha dan teruskan berusaha. Berusaha mendapatkan harta itu penting. Malah dalam sesuatu perkara ianya wajib. Ye wajiblah untuk dijadikan nafkah dan perbelanjaan seharian.

Islam tidak melarang kita mengumpul harta. Biar setinggi Gunung Kinabalu atau seluas Lautan Atlantik ianya masih tiada halangan. Bagaimana kita menguruskan harta tersebut? Itu satu persoalan. Bagaimana kita mendapatkan harta tersebut? Satu soalan yang lain pula.

Kita perlu ada harta ataupun sistem kewangan tersendiri untuk menguruskan kehidupan. Contoh mudah membeli makanan, pakaian dan tempat tinggal. Adakah kita mampu menyediakannya sendiri tanpa menggunakan wang? Setelah mendapatkannya dengan wang maka dengan sahnya ia menjadi harta kita.

Kemewahan harta benda kadang-kadang bisa membuat kita hanyut dalam arus materialisme. Mercedes Benz, Gucci, banglo, mahligai dan jet peribadi sentiasa menjadi idaman setiap insan. Itu bukan masalah sebenarnya. Belilah apa sahaja selagi berkemampuan setelah zakat serta kewajipan-kewajipan lain disempurnakan. Anda mahu kereta mewah? Silakan. Banglo empat tingkat dengan swimming pool? Silakan. Selagi niat kita bukan untuk menunjuk-nunjuk dan takbur itu sangat dimuliakan. Kadang-kala kita perlu ada juga kekuatan sistem kewangan bagi menunjukkan umat Islam mampu bekerja keras mendapatkan harta. Katalah di dalam hati, "Agama yang aku anuti ini, agama Islam ini tidak menjadi penyebab aku menjadi miskin malah sentiasa menggesa aku berusaha."

Kenapa sebelum ini saya mengatakan kemewahan kadang-kadang akan membuat kita hanyut? Kerana kita terlalu sibuk dengan kemewahan dunia tanpa mengira-ngira harta akhirat. Jika kedua-duanya seimbang, insyaAllah kita tidak akan hanyut dan tenggelam ke dasar kemewahan.

Selalu kita dengar orang berkata belilah sekadarnya atau secukupnya atau apa-apa lagilah yang sama maksud dengannya. Pendek kata berbelanja biar berpatutan. Memang kita mampu membeli lebih tapi bukankah lebih baik kita berjimat-cermat. Boleh juga kita bersedekah. Hah, dapat juga saham akhirat. BMW satu dua sudah cukup sekadar untuk kegunaan. Bukan kita nak jual kereta pun. Bergaya boleh tapi jangan terlampau menonjol takut timbul perasaan ujub dan takbur dalam diri. Juga boleh merangsang pemerhati yang ada penyakit di dalam hatinya untuk bertindak kurang wajar. Sendiri mau ingatla yee..

Harta oh harta. Mengapa manusia sering gilakan harta, hingga hilang jiwa manusia.

Friday, June 3, 2011

Selenggara Matlamat

Assalamualaikum w.b.t.
Senyum sikit. Longgarkan sikit otot-otot muka tu. Jangan monyok je. Kucing tengok pun boleh lari. Hah camtu la, barulah ceria. Anda ada matlamat? Adala tu... Tau dah. Okay sekarang bayangkan matlamat-matlamat anda.

Pernah tak tiba-tiba anda rasa hilang arah? Anda tercari-cari mana perginya matlamat anda dulu. Anda bertanya kepda diri sendiri apa patut anda lakukan. Ah, confuse sedangkan  sebelum ini memang anda telah menetapkan matlamat. Kalau anda pernah rasa macam tu, teruskan mencari matlamat anda. Mungkin anda terleka sebentar maka sematkan matlamat teguh di dalam diri anda.

Kita perlu tahu dalam mencapai matlamat memang banyak halangan. Lumrah kehidupan, tarbiah melalui satu masalah kepada masalah seterusnya sentiasa berlaku. Yang penting jangan memadamkan matlamat nak-nak matlamat yang paling utama. Mungkin ada matlamat kecil yang tidak dapat dicapai. Itu perkara kecil je, matlamat utama jangan diketepikan. Bukan semua kita nak, kita boleh capai. Maaf sangatla ye.

Biasalah penghalang-penghalang seperti situasi, masa, fizikal, rohani dan persekitaran sering wujud di mana-mana. Itu suatu perencah. Tanpa perencah selalunya masakan pun kurang enak. Teguhkan matlamat jangan biar ia goyah. Hati biar kental macam besi waja, dikerjakan macam mana pun masih lagi kukuh. Hati kering, bro. Tang ni la nak hati kering.

Kita ada akal. Akal ni kalau digunakan dengan betul boleh jadi senjata yang paling hebat. Camtula lebih kurang skrip Cikgu Zakiah dalam slot rancangan televiseyen Juvana. Akal kena kuat, hati kena kental, rohani kena teguh. Barulah serangan sudut mana pun dapat ditangkis.

Ini penting, bro. Man Jadda Wa Jadda.

Siapa yang berusaha, dia akan mendapatkan hasil baik usahanya. Betullah kan? Siapa yang berusaha tak dapat hasilnya walau sedikit pun? Tiada kan? Masalahnya kita yang malas, kita yang lemah. Jadi, tahap itu sahajalah pencapaian kita. Jadi, apa lagi jangan mengalah. Teruskan usaha. Tuhan sentiasa bersama orang-orang yang menyelusuri jalan-Nya.

Itu Bukan Aku

Dengus nafas bertalu-talu,
Nadi berdetik meniti masa,
Hari berlalu memutar usia,
Aku melangkah menyusur pena.

Nostalgia menggamit minda,
Fantasi minda menyental dada,
Sekali datang tiada henti,
Biarku terus berlari.

Jatuh bangkit sakit diubati,
Tiada mampu akal mati,
Hayat dikandung matlamat digari,
Dengan izin-Nya menjadi pasti.

Rimbunan tinggi berubah kayuan,
Tiada daun lagikan buahnya,
Terus layu satu persatu,
Itu bukan aku.
Bukan aku.

Sunday, May 29, 2011

Dulu Aku Berusaha, Kini Kuterima Segalanya


Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. Bagaimana dengan hari anda hari ini? Pasti lebih baik daripada semalam bukan? Tahniah kepada anda kerana berjaya memperbaiki diri masing-masing.

Pernah tengok cerita Kiamat Sudah Dekat tak? Cerita tu mengisahkan seorang pemuda yang berusaha memenuhi syarat Pak Kiai untuk memperisterikan anaknya. Namun, akhirnya Pak Kiai menjodohkan anak gadisnya dengan pemuda lain yang dirasakan lebih memenuhi kriteria. Lalu, Si Pemuda tadi berserah dan menerima jika benar Si Gadis bukan jodohnya. Namun, akhirnya Pak Kiai menikahkan pemuda tersebut dengan anak gadisnya juga kerana beliau mendapati bahawa Si Pemuda tadi sudah menguasai ilmu ikhlas.

Baiklah, tu hanya salah satu contoh untuk memudahkan kita memahami isi bual bicara kita ini. Bagaimana? Kita nampak bukan betapa Si Pemuda telah berusaha sepenuh hatinya namun akhirnya dia merasakan natijahnya tidak seperti yang diharapkan. Walaupun begitu dia mengikhlaskan dirinya dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan.

Begitulah juga apa yang berlaku kepada kita sama ada perkara yang lalu ataupun akan datang. Selalu fikiran ini tertanya-tanya ,”Kenapa aku tidak dapat apa yang aku usahakan? Pagi hari aku berusaha sepenuh tenaga, malamnya pula aku memohon kepada Allah.” Kita harus tahu bahawa tidak semua yang kita rasakan baik untuk kita, baik juga di sisi Allah. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita hanya mengetahui apa yang diberi pengetahuan tentangnya. Ketahuilah juga masa hadapan bukan dalam pengetahuan kita.

Jadi, kawan-kawan apa kata kita belajar menerima. Salah satu daripada asas ilmu ikhlas tu. Saya suka memanggilnya seni menerima. Yalah, setelah kita berusaha untuk mencapai matlamat, kadang-kadang matlamat kita tidak tercapai sedikit pun. Maka, lebih baik hendaknya kita menerima dan yakin Allah tidak akan menzalimi kita. Pasti ada hikmahnya. Ingat bahawa jika Allah tidak memperkenankan doa kita, ada 3 perkara perlu kita sematkan dalam hati kita.
1) Doa kita ditangguhkan untuk dikabulkan
2) Doa kita digantikan dengan yang lebih baik
3) Dijadikan kifarat kepada dosa-dosa

Apa macam? Tenang bukan? Cantek bukan macam tu? Jangan terlalu bersedih jika apa yang kita harapkan tidak kita gapai. Kita manusia yang lemah. Berusaha adalah satu keperluan dan natijahnya adalah suatu ketentuan. Ketentuan yang boleh diubah dengan doa. Namun jika tiada usaha, peratusan untuk mencapai matlamat adalah sangat sedikit. Kerana itu kita digalakkan berusaha dan bukan hanya menunggu ‘duit jatuh daripada langit.’

Oleh itu, berusahalah seperti kita akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah seperti kita akan mati esok hari. Semuanya bukan dalam pengetahuan kita. Ya, kita berusaha kerana kita tidak mengetahui. Berusaha dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t. semoga kita sentiasa dipayungi rahmat-Nya. Akhirnya kita sendiri akan menyedari tiada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan-Nya. ‘Alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

Friday, April 15, 2011

Jom Jadi Bagus!!


Kita kena sentiasa bagus, semakin bagus, paling bagus dan luar biasa bagus. Nak bagus kita kena ada usaha yang tuntas. Tak boleh culas. Fizikal kena sihat, mental kena kuat. Hah! Tu yang lebih utama, mental kena kuat. Kalau fizikal kuat tapi mental lemah tak jalan bang. Orang sakt pun boleh jadi kuatlah kalau mental dia kuat.

Kini semakin pupus lelaki berada di institut-institut pengajian tinggi dan makin ramai di pusat serenti. Kalau tak ada di pusat serenti pun ada lagi kat tempat lain. Yang ni baik sikitlah. Apa dia? Warung kopilah. Ayuh bangkit spesies-spesiesku. Jangan terus dibuai mimpi. Kaum perempuan dah jauh mengatasi kita. Sampaikan bidang-bidang kejuruteraan di universiti pun ramai kaum perempuan. Bukankah bidang ini lebih sinonim kepada lelaki? Tak kesahlah, yang penting kita semua nak jadi bagus.

Ada ke orang tak nak jadi bagus? Kalau ada tu, saya nasihatkan, lebih baik jadi peti ais je. Ada jugak bakti kat orang lain. Kalau tak bagus tak mengapa. Ops! Belum bagus maksud saya. Yang penting kita ada usaha nak jadi bagus. Walau tak banyak bagusnya, sikit pun sudah memadai sebagai permulaan berbanding tak pernah berusaha nak jadi bagus. Memang takkan bagus lah gamaknya. Tak dapek den nak menolongnyeee..

Buat apa kita hidup kalau tak nak jadi bagus. Apa? Tak nak jadi bagus? Tak apa saya tahu anda ingin jadi baik, hebat, mantap, cemerlang, dan terbaik terbaik terbaik yang lain. Jadi harapnya apa yang sedang kita lakukan hari ini adalah untuk mencapai semua itu. Walau apa pun yang kita lakukan pastinya kita inginkan hasil yang memberangsangkan. Kita berusaha dan dan hasilnya nanti hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t.

Untuk semua pelajar universiti, sekarang ni sudah mula memasuki musim study week mungkin. Atau mungkin juga sudah di musim peperiksaan akhir semester malah ada juga yang sudah selesai menjalani peperiksaan. Semoga kita semua bagus bagus sahaja sebelum, ketika dan selepas menjalani peperiksaan masing-masing.

Mari menjadi BAGUS!!

Saturday, April 2, 2011

Tangani Stress Dengan Perspektif Pandangan


Jangan biarkan hidup anda diselubungi….stress. Saya tekankan lagi sekali, jangan!

Apa sebabnya sampai nak perbesarkan hal stress ni? Huh, masalah besar ni. Bila kita stress, banyak perkara yang kita lakukan di luar sempadan garisan kewajaran. Seringkali tindakan yang diambil ketika stress mengundang malapetaka dan musibah. Kadangkala perkara yang remeh temeh pun tidak dapat kita tangani dengan sebaiknya.

Apa tindakan sepatutnya?

Pertama sekali, biarkan hati kita berasa tenang. Tenteramkan diri kita terlebih dahulu. Jika dalam keadaan berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk, hendaklah berbaring. Lebih elok lagi mengarahkan anggota badan mengambil wudhuk lalu bersolat atau mengaji. Itu perkara utama dan yang pertama. Fikiran yang matang dan cekap dapat dihasilkan tatkala kita berada dalam kondisi yang tenang. Tenang akan membuahkan kegembiraan-TENANGembira.

Seterusnya, jangan lupa tarik nafas panjang-panjang. Cara menarik nafas bolehlah kita ambil daripada kaedah tarik nafas 3E Dr. H.M. Tuah Iskandar al-Haj; tarik nafas dalam kiraan 7, tahan dalam kiraan 7 lalu hembus dalam kiraan 7. Huh, cukup oksigen masuk ke dalam tubuh. Menarik nafas ini agak penting juga untuk memberikan ketenangan kepada diri. Ramai ilmuwan dan tokoh-tokoh psikologi turut berkata begitu.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menangani stress. Dalam laman blog yang tidak seberapa ini saya hanya ingin mengemukakan beberapa pendapat. Bolehlah sama-sama kita terima namun tidak wajib dijadikan panduan. Semuanya terpulang untuk diri sendiri menilainya.

Luahkan di atas kertas kosong

Stress datangnya daripada masalah. Jadi, buat seketika bolehlah meluahkan apa sahaja yang ingin diluahkan di atas kertas. Pastikan kertas itu bukan untuk simpanan ya. Apabila agak reda, buang terus kertas tersebut (Kitar semula pun elok). Jangan catatkan perkara-perkara negatif tersebut yang sering membangkitkan kemarahan dan kesedihan apabila membacanya semula pada tempat-tempat yang kekal. Dikhuatiri kita akan mengimbas kembali masalah tersebut pada suatu ketika akan datang. Tidak berguna memikirkan kenapa masalah itu terjadi. Lebih baik memikirkan bagaimana masalah itu dapat ditangani.

Ubah pandangan terhadap suatu masalah

“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”(Ayat 2 , Surah al-Ankabut)

Ketahuilah setiap masalah itu ada hikmahnya. Mungkin itu adalah mehnah yang diberikan dalam hidup kita. Itulah ujian dan dalan ujian itu tersirat satu pengajaran yang tidak terzahir daripada pandangan mata. Allah mahu menguji sama ada bagaimanakah tindakan kita apabila diberikan ujian. Adakah kita akan bertindak semakin melupakanNya ataupun segera kembali mengingatiNya.

Psikologi manusia sebenarnya boleh ditala mengikut kehendak masing-masing. Jika talaan mengaruh kepada keburukan, maka keburukanlah yang kita dapat. Jadi, mari sama-sama kita tala ke arah kebaikan.

Bagaimana?

Lazimnya, manusia akan melihat sesuatu masalah dengan masalah sahaja. Mereka tidak melihat akan kebaikan yang terselindung. Hayati sebentar kisah ini.

                Karim sangat minat terhadap rama-rama. Dia seriang memerhatikan aktiviti rama-rama termasuklah kitaran hidupnya. Karim menyedari rama-rama sangat sukar apabila ingin melepaskan diri daripada kepompongnya. Lalu, dengan sifat kasih kepada haiwan yang menebal dalam dirinya dia mengambil gunting dan memotong hujung semua kepompong lain yang ada. Maka, keluarlah rama-rama lain dengan mudahnya. Pada masa yang sama juga, rama-rama yang bersusah payah tadi pun akhirnya dpat keluar juga. Tetapi, ada sesuatu yang pelik berlaku.
Rama-rama yang bersusah payah tadi keluar dan terus terbang jauh namun semua rama-rama yang keluar dengan mudah tadi sukar untuk terbang. Ketika itu barulah Karim sedar yang susah payah rama-rama untuk keluar daripada kepomponglah merupakan latihan untuk menguatkan sayap rama-rama itu. Kasihan rama-rama yang tidak diberi cukup latihan itu.

Jadi, apa yang kita dapat? Kita sepatutnya bersyukur kerana diberikan ujian lantas mengambil kesempatan itu untuk memajukan diri. Biasanya orang yang seringkali melepasi ujian akan menjadi insan yang lebih tabah. Bak kata pepatah, "alah bisa, tegal biasa." Sebaliknya, yang tidak terbuka mata hati untuk menyedari hakikat tersebut tidak mustahil akan mengulangi kesilapan yang sama malah tidak mendapat apa-apa pengajaran daripada peristiwa berkenaan.

Cari jalan penyelesaian terbaik

Setelah minda dan psikologi kita ditala sebaiknya. Keadaan sebeginilah yang terbaik untuk merangka penyelesaian. Ambil sehelai kertas. Hah! Yang ini boleh disimpan. Tuliskan seberapa banyak penyelesaian yang dapat difikirkan. Dalam merangka penyelesaian kita perlu ingat bahawa semua jalan penyelesaian hendaklah berada dalam landasan yang betul. Lakukan dengan cara yang betul untuk tujuan yang betul kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Jadi sekarang, tiada lagi jalan yang salah. Pilihlah mana-mana pun jalan penyelesaian. Impaknya mungkin berbeza namun selagi kita melakukan dengan cara yang betul pilihan kita tak pernah salah. Kita yang perlu berusaha lantaran kita sendiri tidak tahu apakah hasilnya. InsyaAllah dengan usaha kita dapat melakukan yang tebaik. Maka jangan terlalu risau bahawa jalan yang kita pilih adalah salah. Tidak pernah salah selagi berada dalam landasan yang benar. Noktah.

Sebaiknya, pilihlah jalan penyelesaian yang jelas menunjukkan paling banyak kelebihan. Bolehlah kita catitkan sebagai rangkaian di bawah setiap penyelesaian yang telah kita senaraikan tadi. Saya berkata yang tidak kisah memilih mana sahaja jalan penyelesaian sebelum ini kerana kita tidak dapat melihat kelebihan-kelebihan yang ada pada setiap jalan penyelesaian dengan menyeluruh. Justeru, kita sendirilah yang layak memilih mana yang terbaik. Solat istikharah juga sangat digalakkan untuk membantu diri membuat pilihan.

Begitulah yang boleh saya huraikan. Mungkin anda juga mempunyai pandangan anda sendiri malah pasti lebih banyak dan bagus lagi. Konklusinya di sini, apabila kita sudah tidak dapat mengubah sesuatu keadaan, pandanglah dengan sudut yang menawan; pandang merentasi halangan, mencari hikmah dan teladan.

Senyum please..Meow2!

-Sangat membimbangkan dewasa ini media massa banyak mengkhabarkan semakin ramai individu mengambil jalan pintas untuk lari daripada masalah; bunuh diri dan sebagainya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...