"Ayah mahu anak ayah semuanya pandai kemudian sihat, baik dan sopan-santun. Jangan ada sorang pun yang gagal ketika periksa hujung tahun ini."
Anak-anak mendengar dengan penuh hemat. Risau kalanya jika mereka tidak memenuhi piawaian bapa mereka.
Sungguh tegas En. Kamil mendidik anak-anaknya. Tidak hairanlah anak-anaknya turut sahaja segala arahannya. Sesuai dengan namanya, memang En. Kamil mementingkan kesempurnaan.
Hakikatnya, kesempurnaan tidak mungkin dicapai oleh manusia. Kerana hanya Allah bersifat dengan sifat sempurna. Bagaimanapun, menjadi lebih baik dari sehari ke sehari sudah merupakan tanggungjawab manusia itu sendiri. Bukan mengejar kesempurnaan, namun keutuhan diri dalam sentiasa beramal soleh itu matlamat kita.
Tegas yang ada pada diri pendidik memang patut ada. Namun, adakalanya sifat penyayang juga perlu diserlahkan. Natijahnya, insan-insan didikan akan berasa selesa untuk meluahkan masalah. Mereka lebih mudah membuka bicara. Penyayang. Jangan sekali ia diabaikan.
Memang kita kiranya mahukan semuanya terbaik. Namun, manusia ini selalu khilaf. Berhikmah dalam mendidik adalah satu timbangan berat dalam sesebuah neraca kehidupan. Hikmah bukan bermakna hanya berlemah-lembut. Hikmah itu di mana kita menyesuaikan cara didikan kita mengikut keadaan. Tegas, agresif dan keras pada waktunya. Lembut, sabar dan dingin pada waktu lainnya.
Diri kita ini, mungkinkan kita tidak pernah melakukan kesilapan? Jangan bohong kepada diri sendiri. Kita boleh berbohong kepada keadaan tetapi kita tidak dapat berbohong kepada hati kita. Kerana hati adalah pusat segala tindak-tanduk kita. Maka, bukan sempurna yang kita cari. Keutuhan hati mengejar kebaikan yang kita perlu selami.
Mari sematkan ke dasar. Dasar Hati!
No comments:
Post a Comment