Salam keberkatan kepada seluruh muslimin dan muslimat, sama ada yang bersama-sama di ruangan ini mahu pun di mana kalian berada. Di mana pun anda berada, dalam situasi apa anda berada dan kerana apa anda berada di situ, semoga sentiasa memenuhi syariat. Saya pasti anda sedang lakukan sesuatu perkara dan anda inginkan ianya berjaya. Ya atau tidak. Tidak mengapa, biar saya jawab. YA!!
Seperti mana maksud Islam; satu cara kehidupan yang membawa kesejahteraan, begitu juga apa yang perlu kita amalkan dalam meniti langkah untuk berjaya. Setiap kejayaan dimulakan dengan langkah-langkah tertentu. Langkah-langkah yang telah kita atur. Langkah-langkah yang telah kita atur itu akan kita turuti satu per satu. Dari situ lahirnya disiplin. Nampak tak? Di mana-mana pun kita perlu berdisiplin. Buat apa kita atur langkah tetapi tidak berdisiplin dalam melaksanakannya.
Disiplin. Bukan sekadar coretan dalam buku disiplin sekolah.
Di mana disiplin orang muslim? Al-Quran itu disiplinnya. Ingat, akhlak Rasullullah itu al-Quran dan contoh terbaik kita Rasulullah. Ya, akhlak itu merupakan disiplin bagi seorang muslim. Kerana itu disiplin itu tidak memilih saat dan ketika, ruang dan tempat, juga masyarakat dan individu. Kerana apa kita seringkali gagal dalam mencapai impian? Kerana diri kita lemah. Lemah dalam berdisiplin. Diri culas saat keadaan sekeliling menjentik sisi hati.
Sabar, jangan mudah mengalah. Kita perlu akur tiada yang boleh kita lakukan dengan sewenang-wenangnya. Bekerja dengan disiplin kerjanya, bersahabat dengan disiplin ukhwahnya, berkata-kata dengan disiplin bicaranya. Pokoknya...ya pokoknya semuanya perlu diiringi dengan disiplin-disiplin tertentu.
Disiplin. Bukan sekadar patuh.
Jika mahu berdisiplin, bukan hanya patuh pada sesuatu yang kita rasa betul. Kita perlu belajar mana yang betul dan laksanakan yang betul. Saat itu baru kita tahu langkah yang direncana ada sedikit cela. Bagaimana kita boleh patuh jika kita tidak pasti sama ada ianya menepati syariat? Setiap satu itu ada peraturannya (syariat) dan peraturan itu perlu ditunjangkan pada setiap langkahan kita.
Maka dengan ini, mari sama-sama kita tingkatkan disiplin diri. Semoga bertemu lagi di lain masa. Akhir kata, mari sama-sama kita lakukan lonjakan semangat "Saya mahu berjaya!! Dunia dan akhirat sana!!!"
Mengapa tidak? Kita mampu lakukannya.
No comments:
Post a Comment