Pages

Tuesday, December 9, 2014

Istiqamahkah Kita?


Semalam kita bersalaman dengan ibu bapa sebelum ke sekolah. Hari ini kita terus pergi tanpa sepatah bicara. Begitulah lazimnya manusia. Itu hanya satu contoh bagaimana kita menilai kelakuan kita dari hari ke hari. Adakah kita semakin baik, sama atau merosot nilainya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa kita seringkali tidak tetap dalam kelakuan kita. Izin saya sebutkan. Ianya Matlamat!

Ya, Matlamat!

Cukup. Sudah cukup kuat rasanya berteriak. Benar, jika dari awal lagi kita tidak menetapkan matlamat yang perlu kita capai, kita pasti terhenti di tengah jalan. Semuanya menjadi sia-sia apatah lagi apa yang kita lakukan hanya untuk suka-suka.

"Ya, aku ingin mencuba. Macam best je."

Dengan ayat "Aku ingin mencuba," memang bagus sekali. Cubalah dengan tujuan meraih matlamat. Tetapi tatkala ayat itu dilengkapkan dengan "Macam best je" sudah tergambar matlamat yang tidak jelas. Apakah ini akan membawa kepada istiqamah bermula saat langkah pertama dicetuskan?

Memang ada masa-masa kita jatuh. Namun, itu bukan bermakna kita perlu padamkan matlamat kita. Melainkan telah diketahui matlamat itu tidak baik untuk kita. Jarang sekali kita merancang untuk matlamat yang tidak baik bukan? Maka, itu boleh dikatakan tidak akan terjadi.

Ketika saya bekerja dalam jabatan kualiti di sebuah syarikat, semua staff dilatih untuk konsisten dalam tindakan dan bicara. Apa yang dilontarkan pada awalnya akan sentiasa sama hingga selesai satu-satu masalah itu. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pekerja berlainan organisasi. Jika awalnya betul, maka akan sentiasa betul sampai akhir. Tetapi masalahnya bila salah, akan salah sampai tiba satu peluang untuk melakukan pembetulan.

Mungkin terpaksa menipu tetapi yang baiknya semua yang dibicarakan akan konsisten sehingga masalah selesai. Kita ambil yang jernih daripada situ. Jika tidak mahu melakukan perkara yang tidak-tidak jadi perlulah bercakap yang benar tetapi tidak memberikan impak kepada syarikat sejak awal lagi.

Begitulah juga kehidupan kita.

Kita merancang dengan rapi sekali. Sudah pasti apa sahaja yang kita ingin lakukan ada objektifnya. Kemudian, langkah-langkahnya. Seperti mana pelajar aliran Sains sekolah menyediakan report kajiannya:

1) Tajuk
2) Objektif (Matlamat)
3) Pemboleh ubah (Kekangan dan alternatif)
4) Prosedur (Langkah-langkah)
5) Analisis data (Muhasabah semasa)
6) Keputusan (Pencapaian)

Lebih kurang begitulah jika kita kaitkan dengan kehidupan ini. Kerana itulah kita digalakkan memandang seluruh alam dan berfikir. Ilmu yang kita ada walaupun sedikit, kita gunakan sebaiknya bukan kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Jadi, istiqamahkan kita dalam setiap kelakuan kita? Mari kita ukur di mana kita bermula dan di mana kita sekarang. Bagaimana pula dengan matlamat kita? Hah, sudah timbul satu tanda tanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...