Pages

Sunday, May 29, 2011

Dulu Aku Berusaha, Kini Kuterima Segalanya


Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. Bagaimana dengan hari anda hari ini? Pasti lebih baik daripada semalam bukan? Tahniah kepada anda kerana berjaya memperbaiki diri masing-masing.

Pernah tengok cerita Kiamat Sudah Dekat tak? Cerita tu mengisahkan seorang pemuda yang berusaha memenuhi syarat Pak Kiai untuk memperisterikan anaknya. Namun, akhirnya Pak Kiai menjodohkan anak gadisnya dengan pemuda lain yang dirasakan lebih memenuhi kriteria. Lalu, Si Pemuda tadi berserah dan menerima jika benar Si Gadis bukan jodohnya. Namun, akhirnya Pak Kiai menikahkan pemuda tersebut dengan anak gadisnya juga kerana beliau mendapati bahawa Si Pemuda tadi sudah menguasai ilmu ikhlas.

Baiklah, tu hanya salah satu contoh untuk memudahkan kita memahami isi bual bicara kita ini. Bagaimana? Kita nampak bukan betapa Si Pemuda telah berusaha sepenuh hatinya namun akhirnya dia merasakan natijahnya tidak seperti yang diharapkan. Walaupun begitu dia mengikhlaskan dirinya dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan.

Begitulah juga apa yang berlaku kepada kita sama ada perkara yang lalu ataupun akan datang. Selalu fikiran ini tertanya-tanya ,”Kenapa aku tidak dapat apa yang aku usahakan? Pagi hari aku berusaha sepenuh tenaga, malamnya pula aku memohon kepada Allah.” Kita harus tahu bahawa tidak semua yang kita rasakan baik untuk kita, baik juga di sisi Allah. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita hanya mengetahui apa yang diberi pengetahuan tentangnya. Ketahuilah juga masa hadapan bukan dalam pengetahuan kita.

Jadi, kawan-kawan apa kata kita belajar menerima. Salah satu daripada asas ilmu ikhlas tu. Saya suka memanggilnya seni menerima. Yalah, setelah kita berusaha untuk mencapai matlamat, kadang-kadang matlamat kita tidak tercapai sedikit pun. Maka, lebih baik hendaknya kita menerima dan yakin Allah tidak akan menzalimi kita. Pasti ada hikmahnya. Ingat bahawa jika Allah tidak memperkenankan doa kita, ada 3 perkara perlu kita sematkan dalam hati kita.
1) Doa kita ditangguhkan untuk dikabulkan
2) Doa kita digantikan dengan yang lebih baik
3) Dijadikan kifarat kepada dosa-dosa

Apa macam? Tenang bukan? Cantek bukan macam tu? Jangan terlalu bersedih jika apa yang kita harapkan tidak kita gapai. Kita manusia yang lemah. Berusaha adalah satu keperluan dan natijahnya adalah suatu ketentuan. Ketentuan yang boleh diubah dengan doa. Namun jika tiada usaha, peratusan untuk mencapai matlamat adalah sangat sedikit. Kerana itu kita digalakkan berusaha dan bukan hanya menunggu ‘duit jatuh daripada langit.’

Oleh itu, berusahalah seperti kita akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah seperti kita akan mati esok hari. Semuanya bukan dalam pengetahuan kita. Ya, kita berusaha kerana kita tidak mengetahui. Berusaha dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t. semoga kita sentiasa dipayungi rahmat-Nya. Akhirnya kita sendiri akan menyedari tiada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan-Nya. ‘Alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...