Pages

Friday, March 4, 2011

Perjalanan Kehidupan


Kehidupan ini umpama menyelusuri satu laluan. Sampai suatu tahap, kita rasa begitu letih. Tak daya lagi meneruskan perjalanan. Namun, masa terus berjalan. Hendak atau tidak, mahu atau tidak mahu, kita perlu sampai ke destinasi. Jika di dunia, destinasi kita adalah kematian.  Boleh juga ianya dipanggil khatimah yang bermaksud pengakhiran. Diharapkan, semua yang hidup ini berakhir dengan husnul khatimah. Baik-baik belaka di penghujungnya.

Mengejar husnul khatimah bukan bermaksud kita perlu meninggalkan segala hal-hal keduniaan. Tidak juga menghabiskan masa 24 jam duduk bertakafur. Malah banyak hal-hal dunia yang juga merupakan ibadah apabila kita melakukannya. Setiap tanggungjawab yang diselesaikan itu ibadah, setiap perkara yang membawa keberkatan itu ibadah, juga banyak lagi yang dikategorikan sebagai ibadah. Ibadah itu sangat meluas. Begitu ianya menunjukkan Allah Maha Pemurah terhadap hambanya, memberikan pahala kepala setiap satu perkara baik yang dilakukan walaupun hanya sekadar niat.

Dalam sibuk menyelesaikan hal-hal dunia, mungkin ada di antara kita terlupa sebentar urusan kita dengan Pemilik alam semesta ini. Adakalanya kita menganggap urusan dunia itu terlalu penting sehingga kita tidak sempat menyelesaikan kewajipan beragama. Solat mungkin ditangguh-tangguh sehingga akhir waktu. Jangan menuding jari kepada sesiapa, saya juga tidak terlepas daripada perkara ini. Bila adanya kesedaran, ketika itulah baru sharp time solat. Ini baru ditekankan mengenai solat. Belum lagi perkara-perkara lain.

Jagalah Allah, Allah akan menjaga kita.

Kita seringkali risau dan bimbang sesuatu perkara tidak sempat diselesaikan kerana sedikit masa yang diambil untuk mengerjakan solat itu. Benar, hanya sedikit. Solat yang rata-rata hanya lima hingga sepuluh minit dirasakan umpama satu jam lamanya. Jangan bimbang. Jika urusan kita dengan Allah telah selesai, Dia akan membantu menyelesaikan urusan kita. Cuma kita sendiri yang tidak yakin dengan perkara itu. Mungkin juga kita kurang berusaha untuk menyelesaikan urusan harian kita. Sedangkan sebenarnya kita mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan segala urusan kita. Kerana kita tidak akan dibebankan dengan sesuatu yang bukan dalam kemampuan kita.

Kita terlalu sibuk menguruskan hal dunia. Mungkin. Tapi kita seringkali tidak berpuas hati. Seringkali pula rasa tidak tenang. Sibuk dirasakan bagai kerajaan Nabi Sulaiman terletak di atas bahu sendiri. Pokoknya, bersandarlah pada Yang Maha Kuasa. Sesiapa sahaja yang bersandar dan berharap kepada Allah dengan sepenuh hatinya, akan mampu menempuhi segala cabaran yang dihadapi. Sama-sama kita sandarkan kehidupan kita kepada Allah. Semoga urusan seharian kita dipermudahkan.

-Nak happy? Fikiran perlu positif.

Thursday, February 24, 2011

Kerana Alif Lam

Assalamualaikum semua.

Sedang melayari facebook, terlihat satu note berkaitan perkataan "salam" yang sering kita gunakan seharian. Dahulu sudah ada note yang mengatakan bahawa jangan menggunakan perkataan "salam" malah gunalah "as salam." Apa masalahnya dan apa bezanya. Lama juga menunggu jawapan seperti ini dikeluarkan oleh pihak tertentu. Terima kasih kepada yang sudi berkongsi maklumat ini.

Dalam bahasa Arab, penambahan alif lam di depan suatu isim (kata nama) adalah umpama "the" dalam bahasa Inggeris. Jadi, apa salahnya perkataan salam? Mungkin yang bekenaan tersilap mentafsir maksud hadith di bawah. Tak perlu saya panjangkan lagi. Sama-sama kita baca dan fahami penulisan berikut.

----------------------------------------------------------------------------------------


Assalamualaikum, Beberapa hari kebelakangan ini tersebar artikel bertajuk JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM", yang dipanjangkan oleh orang yang berlainan.

Mengapa sampai melarang menggunakan perkataan SALAM?

Perkataan SALAM atau AS SALAM tiada salahnya, malah merupakan salah satu Asmaul Husna. Saya tidak tahu siapa penulis asal artikel ini, yang sangat mengelirukan, kerana ramai yang telah copy & paste dan menyebarkannya. Yang pasti ia bukan bersumber dari Ustaz Zawawi, hanya kata-kata beliau digunakan dalam artikel ini.

Terjemahan ayatnya pun tidak lengkap...terus saja dimaksudkan SALAM itu sebagai SELAMAT TINGGAL...lalu diajak semua orang agar JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM".

Penulisnya menulis:
JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".


Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)



فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! " (Az-Zukhruf 43:89)



Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, "salam" bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT.


سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ

Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58) 


Sebagai contoh, saya memetik beberapa ayat Al Quran:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا 


Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa' 4:86)



إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَـٰمً۬ا قَالَ إِنَّا مِنكُمۡ وَجِلُونَ


Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". (Al-Hijr 15:52)



سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ۬ فِى ٱلۡعَـٰلَمِينَ 


"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (As-Saaffaat 37:79)



سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ


"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (As-Saaffaat 37:109)

Penulis-penulis artikel ini menggunakan kenyataan Al Fadhil Ustaz Zawawi sebagai menguatkan hujahnya, sedangkan tiada kaitan perenggan yang pertama dengan kenyataan Ustaz Zawawi, malah menggunakan gambar Ustaz Zawawi lagi...sangat mengelirukan.

Kita sering berselawat dan memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan,

الصلوة والسلام عليك يا رسول الله، الصلوة والسلام عليك يا حبيب الله


Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Rasulullah..


Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Kekasih Allah..

Allah SWT memerintahkan kita berselawat dan mengucap SALAM kepada Rasulullah SAW, maksud firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا


"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah SALAM sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab 33:56)




“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” [Riwayat Al-Tabrani]


Adakah SALAM di sini bermaksud "SELAMAT TINGGAL"?

p/s: Untuk mendapat ayat-ayat yang menggunakan perkataan SALAM, sila layari www.surah.my, cari ayat guna keyword SALAM, tidak kurang 20 ayat terdapat perkataan SALAM.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Monday, February 21, 2011

Semangat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Setiap masa yang berlalu adalah anugerah yang tidak ternilai. Kerana selagi itulah kita diberi kesempatan untuk terus memperbaiki diri, kesilapan dan menambahkan kebajikan.

Sekadar untuk menambahkan semangat tika suasana petang yang hening ini, marilah kita teruskan kehidupan seharian kita dengan sebaik-baiknya. Tapi, tidur pun sodap jugak ni. Rehatkan diri sebentar ya.

Siapa yang berusaha, dialah yang akan berjaya

~Apabila selesai suatu perkara, lakukan perkara lain pula dengan bersungguh-sungguh~


3.15 pm,
Monday, 12 February 2011

Thursday, February 17, 2011

Setiap Orang Itu Cantik

Kecantikan hak milik setiap insan. Biasa dengar bukan? Saya juga menyokong kata-kata tersebut. Bagi saya, ada beberapa sebab kenapa saya menyokong kata-kata itu.

Kita diciptakan oleh Allah Yang Maha Pencipta, menciptakan manusia dengan penuh kecantikan. Siapa kita untuk mengatakan ciptaan Allah itu tidak cantik? Jadi, amat tidak munasabah jika kita mempersoalkan dan sering rendah diri dengan penciptaan diri kita. Jika ada mana-mana kekurangan yang tampak berbeza dengan penciptaan normal seorang manusia itu boleh diperbetulkan. Namun, jangan sampai kita mengubah bahagian yang telah sempurna tanpa cacat cela untuk kelihatan lebih sempurna di mata kita pula.

Sebenarnya cantik ini berbeza pada pandangan setiap individu. Ada yang kata ini cantik, ada yang kata itu yang cantik. Mungkin ada yang berkata Erra Fazira cantik, ada yang lain pula berkata Siti Nurhaliza pula yang  cantik. Berbeza setiap satunya mengikut pandangan manusia. Kerana manusia memang selalu melihat kecantikan dari luaran. Jadi, berlumba-lumba manusia untuk sentiasa kelihatan cantik. Tidak mengapa. Silalah mengejar kecantikan. Tak salah kalau tak parah.

Dalam menilai erti kecantikan, kita sering lupa maksud kecantikan hakiki ialah kemurnian budi pekerti. Kecantikan fizikal berkurang dengan pertambahan umur, tetapi kecantikan budi pekerti kita yang dapat tentukannya. Pilih. Kita lihat, kawan kita yang sentiasa baik budi pekertinya, sentiasa kita lihat cantik walaupun orang cakap muka macam tong sampah. Kita sentiasa tenang melihat wajahnya. Bandingkan dengan kawan yang hensem ke cantik ke, tapi selalu bersikap kurang ajar. Tengok muka dia pun rasa sakit hati. Ada rasa camni ke? ish3!!

Sebenarnya setiap orang cantik. Ya, kita semua cantik! Saya sokong kata-kata itu. Anda bagaimana? Apa alasan anda?

Hah! Ada lagi satu. Saya ada terbaca kalaulah kita ini cantik dan menjadi perhatian ramai, apakah yang kita lakukan dengan kecantikan tersebut? Suatu saat nanti semuanya akan dipersoalkan. Ingat-ingatlah ya.

Kita Cantik!! Perjuangkan Kecantikan Untuk Perkara yang Cantik!!

Wednesday, February 2, 2011

Setiap Hari Adalah Hari Untuk Membuktikan Kecemerlangan Diri

Assalamualaikum, sahabat-sahabat sekalian. Berjumpa lagi kita dalam alam cyber yang canggih lagi tiptop. Segar-segarkan mata anda. Waktu petang, waktu asar ni tak baik tidur. Nanti jadi gila nanti. Nak?
Saya baru sahaja selesai membaca buku motivasi santai karya Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj. Judulnya Oi! Bangunlah Oi! Maaf, bahasa agak kurang sopan tapi perkataan yang paling effisien untuk mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Jangan marah ye.

Ketika membaca buku tersebut, saya benar-benar rasa dikejutkan oleh kata-kata penulis. Terbayang apa yang telah saya lakukan selama dilahirkan di dunia ini. Jadi, di sini, di blog yang agak berserabut ini saya ingin kongsikan sedikit apa yang diperkatakan dalam buku tersebut. Kata-kata yang membuatkan saya terpanggil, dipanggil, malah terasa seperti ditarik oleh satu semangat yang luar biasa. Huh, lain macam je. Jangan main-main.

Mari sama-sama kita bangkitkan semangat kita. Saya mengajak tuan-tuan semua supaya bersama-sama memajukan diri. Cepat! Selagi semangat saya tengah bersemangat ni. Kalau tak nanti saya gerak sorang-sorang. Haha! Gurau je kengkawan. Sama-samalah kita memotivasikan diri sendiri dan orang lain lagi-lagi semasa motivasi diri merudum. Harap-haraplah ye.

Baiklah, cuba kita fikirkan tentang hidup kita. Ambil perhatian ya, mak cik, pak cik, kakak, abang, adik, nenek dan datuk semua. Hidup kita ni kalau dipandang secara umumnya, semuanya sama. Bermula dengan dilahirkan, merangkak, berjalan, bersekolah, masuk university, bekerja, berkahwin, menimang cahaya mata, jadi mentua, sampailah ke akhir kehidupan, semua orang mengalami saat-saat begini. Betul ke tak betul? Tak apa tak perlu jawab. Biar saya je cakap betul. Kalau anda cakap pun saya tak dengar.

Apa yang ingin saya katakan di sini, dengan memandang kepada kehidupan, apakah kita tidak merasa rugi sekiranya nikmat hidup yang dikurniakan itu tidak diisi dengan perkara yang cemerlang? Pastinya, ya. Hidup ini hanya sementara, untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Jadi, apakah usaha kita sebagai bekalan di sana kelak? IBADAH. Benar, ibadah tidak hanya dengan bersolat, berpuasa dan berzikir sahaja. Malah ianya sangat meluas. Lakukanlah perkara luar biasa yang benar-benar membuatkan kita mengecapi kejayaan di dunia ini. Di akhirat juga pasti. Ingatlah seruan azan 5 kali sehari menuntut kita menuju kejayaan. Dengan kejayaan, kita sebagai umat Islam akan terus gah di persada dunia. Kenangkan kembali kejayaan dan kehebatan empayar Islam suatu ketika dahulu.

Hidup kita ini tidak lama. Jadi, lebih baiklah untuk kita melakukan perkara yang dapat membanggakan kita setiap hari. Ukirlah suatu pencapaian yang membanggakan setiap hari setidak-tidaknya lebih baik daripada semalam. Maka, beruntunglah kita menjadi individu seperti itu. Walau tidak besar, kejayaan kecil pun jadi. Mungkin ianya akan menjadi inspirasi untuk kita mencapai kejayaan yang lebih hebat lagi. Ayuh!

“Busylah, bro. Student ni banyak assignment kena buat.”

Ya, saya pun seringkali berfikir begitu. Namun, mari sama-sama kita hapuskan kata-kata tersebut. Cuba lihat kepada junjungan besar Nabi Muhammad. Bagindalah bapa, bagindalah pemimpin negara, malah rasul lagi tu. Baginda tidak pernah merungut mengenai masa. Malah baginda pernah juga melayan anak-anak kecil bergurau senda, menjahit sendiri pakaiannya, menyediakan masa berkeluarga dan bermacam-macam lagi. Semuanya dapat dilakukan. Apatah lagi kita hanya seorang pelajar, ataupun seorang suami. Masakan tidak kita mampu melakukan mengikut contoh tauladan terbaik sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda juga ada mngingatkan perihal akan datang 5 perkara sebelum 5 perkara. Ingatkan lagu Raihan? Hah! Cuba dengar kembali.

Sebenarnya kita mempunyai banyak masa terluang. Mungkin juga dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Jika begitu, bagaimana kita dapat menjadi cemerlang, terbilang dan mengecapi kejayaan luar biasa dalam hidup? Libatkanlah diri dengan program luar supaya fikiran kita tidak terhimpit dalam kotak sahaja. Bergaullah. Bukankan kita digalakkan menghubungkan silaturrahim?

Kita selalu lihat orang lain berjaya, seorang pengurus besar sebuah syarikat, seorang ketua polis dan sebagainya. Tidakkah kita rasa mahu merasa berada pada kedudukan sekian-sekian pada suatu hari nanti? Jadi, mari sama-sama kita bertindak kerana kita dilahirkan memang untuk berjaya. Tiada seseorang pun yang dilahirkan untuk gagal.

“Kalau sudah takdir, sejauh mana saya belajar pun, di sinilah tempat saya.”

Suara sumbang siapa tu? Hehe! Oh, tidak! Jangan berkata begitu. Lihat orang yang berjaya. Adakah mereka berjaya tanpa sebrang bantuan atau usaha? Mustahil! Sebelum itu mereka bersekolah, bermula dari bawah. Paling tidak memulakan step menceburi bidang tersebut. Apa yang kita perlu ada ialah langkah mula dan usaha. InsyaAllah, kita akan berjaya.

Begitulah, saudara-saudari yang hebat-hebat sekalian sedikit rumusan yang boleh saya kongsikan daripada hasil pembacaan saya. Nak tau lebih lanjut lagi, silalah baca buku tersebut. Promote pulak... Semoga sama-sama kita diberi semangat untuk terus maju dan mencapai kejayaan yang luar biasa hebat. Mari!!!

~Menitik beratkan akhirat tidak bermakna kita perlu meminggirkan dunia~

Monday, January 31, 2011

Cerita Seorang Guru

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian,
Salam bahagia saya ucapkan. Moga sentiasa bahagia hendaknya. Hari ini, saya mahu menceritakan tentang kisah seorang guru lelaki sekolah rendah yang sangat dikagumi. Dek kerana sifat penyayang tetapi tegas, khidmatnya tetap diingati hingga kini.

Pada 29hb yang lepas, saya mengikuti rombongan batch sekolah rendah kakak saya melawat seorang bekas guru yang menderita penyakit kencing manis. Selain kencing manis, terdapat juga penyakit-penyakit sekawan dengannya. Cikgu ini (saya lebih biasa dengan sebutan cikgu), dahulunya merupakan Penolong Kanan Tadbir sekolah. Namun, berpindah sekolah ketika saya berada dalam darjah 5. Seorang cikgu yang sangat dihormati. Cikgu ini juga rapat dengan ayah saya yang dahulunya bertugas di kawasan Petaling Jaya.

Rombongan lawatan tiba di rumah cikgu pada pukul 1 tengah hari, tepat pada waktu yang dijanjikan. Tetapi, saya dan kakak menghadiri kenduri kahwin rakan matrikulasi kakak saya terlebih dahulu di Serdang. Tiba agak lewat, sekitar jam 3 petang. Nah, bukan agak lewat dah tu. Sangat lewat. Tetapi tidak mengapa ada alasan dan rombongan masih berada di rumah cikgu.

Setibanya di rumah cikgu di Antara Gapi, apa yang menarik cikgu masih mengenali setiap pelajar yang menziarahinya. Sungguh mengharukan perpisahan selama 13 tahun (bagi batch kakak saya) masih tidak luput dalam ingatan cikgu. Tu cikgu tu. Bukan ingatan pelajar terhadap cikgu. Sepatutnya lebih lagilah ya lagi-lagi cikgu banyak berbakti kepada kita.

Selain itu, cikgu sendiri yang menyediakan juadah bersama-sama isterinya (juga seorang ustazah tetapi mengajar di sekolah lain) untuk kami yang datang seramai 10 orang. Mereka hanya tinggal bertiga bersama anak yang berusia 10 tahun. Anak pertama di matrikulasi Penang, yang kedua di sekolah berasrama di Kuala Selangor. Ustazah juga mengalami kencing manis. Kedua-duanya mengalami kesukaran berjalan. Itulah dia kasih-sayang guru terhadap murid-muridnya. Walaupun telah lama berpisah, namun tetap mahu menaburkan jasa. Sebelum itu, kami tidak tahu yang cikgu hanya tinggal bertiga bersama seorang anak yang masih kecil. Kasihan cikgu, menyediakan makanan untuk kami. Terima kasih, cikgu.

Cikgu kini dirawat di hospital berdekatan, namun kekurangan kemudahan menyebabkan cikgu dipindahkan ke hospital swasta yang lebih canggih. 3 kali seminggu cikgu perlu ke hospital untuk membersihkan darah. Dialisis kalau tak silap namanya. Ustazah pula belum lagi menerima sebarang rawatan kerana takut ditahan di hospital. Katanya, jika ditahan siapa yang akan menjaga cikgu. Harap-harap penyakit ustazah tidak bertambah kronik kerana baru di peringkat awal. Cikgu pula sudah kronik sehingga hilang penglihatan pada sebelah mata. Semoga cikgu dapat bertahan dan insyaAllah dapat sembuh daripada penyakitnya.

Sekitar jam 5 petang, kami bertolak pulang. Sempat lagi bergambar bersama cikgu. Perbualan antara anak murid dengan cikgu pada hari tersebut cukup berkesan. Cikgu dan ustazah nampak gembira dan diselangi dengan gelak tawa mereka. Semoga mereka tabah dengan ujian tersebut. Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah suburkan jiwa mereka dengan semangat dan sedekahkan solat hajat untuk mereka. Terima kasih, cikgu atas jasa bakti cikgu selama ini.


~Bahagia itu datang daripada hati. Hati yang bagaimana? Anda jawab.~

Friday, January 28, 2011

Ibu Bapa Teman Paling Akrab

         Pejam celik pejam celik, sudah menjangkau 22 tahun saya dilahirkan di dunia ini. Syukur alhamdulillah kerana masih dipanjangkan umur. Dalam umur yang begini, tidak kurang banyak juga pengalaman-pengalaman yang telah saya alami. Manis ada, pahit pun ada. Bukan semua pengalaman itu manis. Kalau manis semuanya dah kena kencing manis dah muda-muda ni. Hehe!

         Terkenangkan kembali saat masih kecil, semuanya bergantung kepada ibu bapa. Sehingga kini, saya sudah mampu berdikari tanpa bergantung kepada mereka. OH, TIDAK! Saya rasa kenyataan itu SALAH. Memang saya boleh berdikari tetapi saya tetap lagi bergantung kepada ibu bapa. Tetap, masih dan perlu. 'Bergantung' di sini membawa maksud sentiasa menganggap ahli keluarga khususnya ibu bapa sebagai teman dan penasihat paling utama. Inilah yang diajarkan dalam Islam yang menuntut kita membina ukhwah yang erat dalam institusi kekeluargaan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti." (riwayat Abu Asakir).


         Lemahnya ikatan kekeluargaan menyebabkan seseorang itu mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar. Kemungkinan besar juga seseorang itu akan menerima tekanan. Tekanan kerana kekurangan kasih sayang yang paling utama sesama insan. Ya, inilah kasih sayang utama yang tidak boleh dipandang remeh oleh setiap individu. Cinta yang perlu diutamakan selepas cinta kepada Allah dan rasul-Nya.

        Kadang-kadang saya terfikir, mengapa terlebih dahulu saya mencari teman sebagai penasihat sedangkan ibu bapa sentiasa ada di sisi. Baru saya sedar sebenarnya lebih banyak kebaikan jika berkongsi cerita dengan ibu bapa. Mungkin kerana sikap ego. Ego kerana tidak mahu dilabel seperti budak kecil yang tak mampu menyelesaikan masalah dengan sendirinya. Sedangkan ini sesuatu yang berbeza. Inilah yang dinamakan 'sharing is caring.' Istilah yang sering kita gunakan tetapi kita sendiri kabur dengan maksudnya.

Antara perkara penting yang patut dikongsikan dengan ibu bapa:

  • Arah tuju ketika mahu keluar rumah
  • Dilema kehidupan
  • Kejayaan yang membanggakan
  • Rangkaian perhubungan


          Dan sekarang, saya mahu mendidik diri ini supaya bersikap 'sharing is caring' dengan ibu bapa saya. Mari sama-sama kita praktikkan. InsyaAllah, diharapkan keadaan ini mampu menambahkan kemanisan dalam hubungan kekeluargaan. Pasti! Sesungguhnya menjaga hubungan kekeluargaan itu adalah amanah daripada Allah.


~Sungguh kasih sayang dalam kekeluargaan itu sangat hangat~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...