Terkenangkan kembali saat masih kecil, semuanya bergantung kepada ibu bapa. Sehingga kini, saya sudah mampu berdikari tanpa bergantung kepada mereka. OH, TIDAK! Saya rasa kenyataan itu SALAH. Memang saya boleh berdikari tetapi saya tetap lagi bergantung kepada ibu bapa. Tetap, masih dan perlu. 'Bergantung' di sini membawa maksud sentiasa menganggap ahli keluarga khususnya ibu bapa sebagai teman dan penasihat paling utama. Inilah yang diajarkan dalam Islam yang menuntut kita membina ukhwah yang erat dalam institusi kekeluargaan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti." (riwayat Abu Asakir).
Lemahnya ikatan kekeluargaan menyebabkan seseorang itu mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar. Kemungkinan besar juga seseorang itu akan menerima tekanan. Tekanan kerana kekurangan kasih sayang yang paling utama sesama insan. Ya, inilah kasih sayang utama yang tidak boleh dipandang remeh oleh setiap individu. Cinta yang perlu diutamakan selepas cinta kepada Allah dan rasul-Nya.
Kadang-kadang saya terfikir, mengapa terlebih dahulu saya mencari teman sebagai penasihat sedangkan ibu bapa sentiasa ada di sisi. Baru saya sedar sebenarnya lebih banyak kebaikan jika berkongsi cerita dengan ibu bapa. Mungkin kerana sikap ego. Ego kerana tidak mahu dilabel seperti budak kecil yang tak mampu menyelesaikan masalah dengan sendirinya. Sedangkan ini sesuatu yang berbeza. Inilah yang dinamakan 'sharing is caring.' Istilah yang sering kita gunakan tetapi kita sendiri kabur dengan maksudnya.
Antara perkara penting yang patut dikongsikan dengan ibu bapa:
- Arah tuju ketika mahu keluar rumah
- Dilema kehidupan
- Kejayaan yang membanggakan
- Rangkaian perhubungan
Dan sekarang, saya mahu mendidik diri ini supaya bersikap 'sharing is caring' dengan ibu bapa saya. Mari sama-sama kita praktikkan. InsyaAllah, diharapkan keadaan ini mampu menambahkan kemanisan dalam hubungan kekeluargaan. Pasti! Sesungguhnya menjaga hubungan kekeluargaan itu adalah amanah daripada Allah.
~Sungguh kasih sayang dalam kekeluargaan itu sangat hangat~
No comments:
Post a Comment