Pages

Monday, January 31, 2011

Cerita Seorang Guru

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian,
Salam bahagia saya ucapkan. Moga sentiasa bahagia hendaknya. Hari ini, saya mahu menceritakan tentang kisah seorang guru lelaki sekolah rendah yang sangat dikagumi. Dek kerana sifat penyayang tetapi tegas, khidmatnya tetap diingati hingga kini.

Pada 29hb yang lepas, saya mengikuti rombongan batch sekolah rendah kakak saya melawat seorang bekas guru yang menderita penyakit kencing manis. Selain kencing manis, terdapat juga penyakit-penyakit sekawan dengannya. Cikgu ini (saya lebih biasa dengan sebutan cikgu), dahulunya merupakan Penolong Kanan Tadbir sekolah. Namun, berpindah sekolah ketika saya berada dalam darjah 5. Seorang cikgu yang sangat dihormati. Cikgu ini juga rapat dengan ayah saya yang dahulunya bertugas di kawasan Petaling Jaya.

Rombongan lawatan tiba di rumah cikgu pada pukul 1 tengah hari, tepat pada waktu yang dijanjikan. Tetapi, saya dan kakak menghadiri kenduri kahwin rakan matrikulasi kakak saya terlebih dahulu di Serdang. Tiba agak lewat, sekitar jam 3 petang. Nah, bukan agak lewat dah tu. Sangat lewat. Tetapi tidak mengapa ada alasan dan rombongan masih berada di rumah cikgu.

Setibanya di rumah cikgu di Antara Gapi, apa yang menarik cikgu masih mengenali setiap pelajar yang menziarahinya. Sungguh mengharukan perpisahan selama 13 tahun (bagi batch kakak saya) masih tidak luput dalam ingatan cikgu. Tu cikgu tu. Bukan ingatan pelajar terhadap cikgu. Sepatutnya lebih lagilah ya lagi-lagi cikgu banyak berbakti kepada kita.

Selain itu, cikgu sendiri yang menyediakan juadah bersama-sama isterinya (juga seorang ustazah tetapi mengajar di sekolah lain) untuk kami yang datang seramai 10 orang. Mereka hanya tinggal bertiga bersama anak yang berusia 10 tahun. Anak pertama di matrikulasi Penang, yang kedua di sekolah berasrama di Kuala Selangor. Ustazah juga mengalami kencing manis. Kedua-duanya mengalami kesukaran berjalan. Itulah dia kasih-sayang guru terhadap murid-muridnya. Walaupun telah lama berpisah, namun tetap mahu menaburkan jasa. Sebelum itu, kami tidak tahu yang cikgu hanya tinggal bertiga bersama seorang anak yang masih kecil. Kasihan cikgu, menyediakan makanan untuk kami. Terima kasih, cikgu.

Cikgu kini dirawat di hospital berdekatan, namun kekurangan kemudahan menyebabkan cikgu dipindahkan ke hospital swasta yang lebih canggih. 3 kali seminggu cikgu perlu ke hospital untuk membersihkan darah. Dialisis kalau tak silap namanya. Ustazah pula belum lagi menerima sebarang rawatan kerana takut ditahan di hospital. Katanya, jika ditahan siapa yang akan menjaga cikgu. Harap-harap penyakit ustazah tidak bertambah kronik kerana baru di peringkat awal. Cikgu pula sudah kronik sehingga hilang penglihatan pada sebelah mata. Semoga cikgu dapat bertahan dan insyaAllah dapat sembuh daripada penyakitnya.

Sekitar jam 5 petang, kami bertolak pulang. Sempat lagi bergambar bersama cikgu. Perbualan antara anak murid dengan cikgu pada hari tersebut cukup berkesan. Cikgu dan ustazah nampak gembira dan diselangi dengan gelak tawa mereka. Semoga mereka tabah dengan ujian tersebut. Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah suburkan jiwa mereka dengan semangat dan sedekahkan solat hajat untuk mereka. Terima kasih, cikgu atas jasa bakti cikgu selama ini.


~Bahagia itu datang daripada hati. Hati yang bagaimana? Anda jawab.~

1 comment:

zabri said...

yek... hahahaa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...