Pages

Friday, April 15, 2011

Jom Jadi Bagus!!


Kita kena sentiasa bagus, semakin bagus, paling bagus dan luar biasa bagus. Nak bagus kita kena ada usaha yang tuntas. Tak boleh culas. Fizikal kena sihat, mental kena kuat. Hah! Tu yang lebih utama, mental kena kuat. Kalau fizikal kuat tapi mental lemah tak jalan bang. Orang sakt pun boleh jadi kuatlah kalau mental dia kuat.

Kini semakin pupus lelaki berada di institut-institut pengajian tinggi dan makin ramai di pusat serenti. Kalau tak ada di pusat serenti pun ada lagi kat tempat lain. Yang ni baik sikitlah. Apa dia? Warung kopilah. Ayuh bangkit spesies-spesiesku. Jangan terus dibuai mimpi. Kaum perempuan dah jauh mengatasi kita. Sampaikan bidang-bidang kejuruteraan di universiti pun ramai kaum perempuan. Bukankah bidang ini lebih sinonim kepada lelaki? Tak kesahlah, yang penting kita semua nak jadi bagus.

Ada ke orang tak nak jadi bagus? Kalau ada tu, saya nasihatkan, lebih baik jadi peti ais je. Ada jugak bakti kat orang lain. Kalau tak bagus tak mengapa. Ops! Belum bagus maksud saya. Yang penting kita ada usaha nak jadi bagus. Walau tak banyak bagusnya, sikit pun sudah memadai sebagai permulaan berbanding tak pernah berusaha nak jadi bagus. Memang takkan bagus lah gamaknya. Tak dapek den nak menolongnyeee..

Buat apa kita hidup kalau tak nak jadi bagus. Apa? Tak nak jadi bagus? Tak apa saya tahu anda ingin jadi baik, hebat, mantap, cemerlang, dan terbaik terbaik terbaik yang lain. Jadi harapnya apa yang sedang kita lakukan hari ini adalah untuk mencapai semua itu. Walau apa pun yang kita lakukan pastinya kita inginkan hasil yang memberangsangkan. Kita berusaha dan dan hasilnya nanti hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t.

Untuk semua pelajar universiti, sekarang ni sudah mula memasuki musim study week mungkin. Atau mungkin juga sudah di musim peperiksaan akhir semester malah ada juga yang sudah selesai menjalani peperiksaan. Semoga kita semua bagus bagus sahaja sebelum, ketika dan selepas menjalani peperiksaan masing-masing.

Mari menjadi BAGUS!!

Saturday, April 2, 2011

Tangani Stress Dengan Perspektif Pandangan


Jangan biarkan hidup anda diselubungi….stress. Saya tekankan lagi sekali, jangan!

Apa sebabnya sampai nak perbesarkan hal stress ni? Huh, masalah besar ni. Bila kita stress, banyak perkara yang kita lakukan di luar sempadan garisan kewajaran. Seringkali tindakan yang diambil ketika stress mengundang malapetaka dan musibah. Kadangkala perkara yang remeh temeh pun tidak dapat kita tangani dengan sebaiknya.

Apa tindakan sepatutnya?

Pertama sekali, biarkan hati kita berasa tenang. Tenteramkan diri kita terlebih dahulu. Jika dalam keadaan berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk, hendaklah berbaring. Lebih elok lagi mengarahkan anggota badan mengambil wudhuk lalu bersolat atau mengaji. Itu perkara utama dan yang pertama. Fikiran yang matang dan cekap dapat dihasilkan tatkala kita berada dalam kondisi yang tenang. Tenang akan membuahkan kegembiraan-TENANGembira.

Seterusnya, jangan lupa tarik nafas panjang-panjang. Cara menarik nafas bolehlah kita ambil daripada kaedah tarik nafas 3E Dr. H.M. Tuah Iskandar al-Haj; tarik nafas dalam kiraan 7, tahan dalam kiraan 7 lalu hembus dalam kiraan 7. Huh, cukup oksigen masuk ke dalam tubuh. Menarik nafas ini agak penting juga untuk memberikan ketenangan kepada diri. Ramai ilmuwan dan tokoh-tokoh psikologi turut berkata begitu.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menangani stress. Dalam laman blog yang tidak seberapa ini saya hanya ingin mengemukakan beberapa pendapat. Bolehlah sama-sama kita terima namun tidak wajib dijadikan panduan. Semuanya terpulang untuk diri sendiri menilainya.

Luahkan di atas kertas kosong

Stress datangnya daripada masalah. Jadi, buat seketika bolehlah meluahkan apa sahaja yang ingin diluahkan di atas kertas. Pastikan kertas itu bukan untuk simpanan ya. Apabila agak reda, buang terus kertas tersebut (Kitar semula pun elok). Jangan catatkan perkara-perkara negatif tersebut yang sering membangkitkan kemarahan dan kesedihan apabila membacanya semula pada tempat-tempat yang kekal. Dikhuatiri kita akan mengimbas kembali masalah tersebut pada suatu ketika akan datang. Tidak berguna memikirkan kenapa masalah itu terjadi. Lebih baik memikirkan bagaimana masalah itu dapat ditangani.

Ubah pandangan terhadap suatu masalah

“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”(Ayat 2 , Surah al-Ankabut)

Ketahuilah setiap masalah itu ada hikmahnya. Mungkin itu adalah mehnah yang diberikan dalam hidup kita. Itulah ujian dan dalan ujian itu tersirat satu pengajaran yang tidak terzahir daripada pandangan mata. Allah mahu menguji sama ada bagaimanakah tindakan kita apabila diberikan ujian. Adakah kita akan bertindak semakin melupakanNya ataupun segera kembali mengingatiNya.

Psikologi manusia sebenarnya boleh ditala mengikut kehendak masing-masing. Jika talaan mengaruh kepada keburukan, maka keburukanlah yang kita dapat. Jadi, mari sama-sama kita tala ke arah kebaikan.

Bagaimana?

Lazimnya, manusia akan melihat sesuatu masalah dengan masalah sahaja. Mereka tidak melihat akan kebaikan yang terselindung. Hayati sebentar kisah ini.

                Karim sangat minat terhadap rama-rama. Dia seriang memerhatikan aktiviti rama-rama termasuklah kitaran hidupnya. Karim menyedari rama-rama sangat sukar apabila ingin melepaskan diri daripada kepompongnya. Lalu, dengan sifat kasih kepada haiwan yang menebal dalam dirinya dia mengambil gunting dan memotong hujung semua kepompong lain yang ada. Maka, keluarlah rama-rama lain dengan mudahnya. Pada masa yang sama juga, rama-rama yang bersusah payah tadi pun akhirnya dpat keluar juga. Tetapi, ada sesuatu yang pelik berlaku.
Rama-rama yang bersusah payah tadi keluar dan terus terbang jauh namun semua rama-rama yang keluar dengan mudah tadi sukar untuk terbang. Ketika itu barulah Karim sedar yang susah payah rama-rama untuk keluar daripada kepomponglah merupakan latihan untuk menguatkan sayap rama-rama itu. Kasihan rama-rama yang tidak diberi cukup latihan itu.

Jadi, apa yang kita dapat? Kita sepatutnya bersyukur kerana diberikan ujian lantas mengambil kesempatan itu untuk memajukan diri. Biasanya orang yang seringkali melepasi ujian akan menjadi insan yang lebih tabah. Bak kata pepatah, "alah bisa, tegal biasa." Sebaliknya, yang tidak terbuka mata hati untuk menyedari hakikat tersebut tidak mustahil akan mengulangi kesilapan yang sama malah tidak mendapat apa-apa pengajaran daripada peristiwa berkenaan.

Cari jalan penyelesaian terbaik

Setelah minda dan psikologi kita ditala sebaiknya. Keadaan sebeginilah yang terbaik untuk merangka penyelesaian. Ambil sehelai kertas. Hah! Yang ini boleh disimpan. Tuliskan seberapa banyak penyelesaian yang dapat difikirkan. Dalam merangka penyelesaian kita perlu ingat bahawa semua jalan penyelesaian hendaklah berada dalam landasan yang betul. Lakukan dengan cara yang betul untuk tujuan yang betul kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Jadi sekarang, tiada lagi jalan yang salah. Pilihlah mana-mana pun jalan penyelesaian. Impaknya mungkin berbeza namun selagi kita melakukan dengan cara yang betul pilihan kita tak pernah salah. Kita yang perlu berusaha lantaran kita sendiri tidak tahu apakah hasilnya. InsyaAllah dengan usaha kita dapat melakukan yang tebaik. Maka jangan terlalu risau bahawa jalan yang kita pilih adalah salah. Tidak pernah salah selagi berada dalam landasan yang benar. Noktah.

Sebaiknya, pilihlah jalan penyelesaian yang jelas menunjukkan paling banyak kelebihan. Bolehlah kita catitkan sebagai rangkaian di bawah setiap penyelesaian yang telah kita senaraikan tadi. Saya berkata yang tidak kisah memilih mana sahaja jalan penyelesaian sebelum ini kerana kita tidak dapat melihat kelebihan-kelebihan yang ada pada setiap jalan penyelesaian dengan menyeluruh. Justeru, kita sendirilah yang layak memilih mana yang terbaik. Solat istikharah juga sangat digalakkan untuk membantu diri membuat pilihan.

Begitulah yang boleh saya huraikan. Mungkin anda juga mempunyai pandangan anda sendiri malah pasti lebih banyak dan bagus lagi. Konklusinya di sini, apabila kita sudah tidak dapat mengubah sesuatu keadaan, pandanglah dengan sudut yang menawan; pandang merentasi halangan, mencari hikmah dan teladan.

Senyum please..Meow2!

-Sangat membimbangkan dewasa ini media massa banyak mengkhabarkan semakin ramai individu mengambil jalan pintas untuk lari daripada masalah; bunuh diri dan sebagainya.

Tuesday, March 29, 2011

It's about "Be Yourself"


Apa ye maksud ‘be yourself’ ini? Ramai orang mengatakan ‘be yourself’ ni ialah tidak terikut-ikut dengan cara orang lain. Secara umumnya, tidak terikut-ikut dengan personality orang lain. Banyak pandangan yang meletakkan makna ‘be yourself’ ni mengikut tanggapan mereka. Maka, banyaklah orang keliru dengan makna sebenar ‘be yourself’ ini.

‘Be yourself’ ialah tidak mengikut secara bulat-bulat apa yang mencorakkan personaliti orang lain. Setiap daripada kita mempunyai personaliti tersendiri. Personaliti tiada yang baik dan yang buruk. Tetapi, kelakuan yang dinilai dengan baik dan buruk. Kawan-kawan bolehlah baca dalam buku-buku yang mebincangkan mengenai personaliti jika kurang faham. Mengikut apa yang saya faham begitulah.

Mengambil sesuatu unsur yang lebih baik daripada personaliti orang lain tiada salahnya. Itu adalah peningkatan dan penambahbaikan personaliti diri kita. Hatta, mana yang lemah dalam diri kita perlu diperbaiki. Saya bimbang jika ada individu salah faham dengan kegunaan kata-kata ‘be yourself’ ini iaitu kita perlu meneruskan apa sahaja yang telah mencorakkan diri kita walaupun ianya tampak kurang elok. Bagaimana maksudnya ya?

Individu A merupakan seorang yang bersikap terus terang. Orang ramai memang maklum dengan sikap Si A ini. Kadang kala, sikap terlalu berterus terang A membuatkan individu lain terguris dengan kata-katanya. Jadi, Si A selesa dengan sikapnya walaupun sedar orang lain semakin menjauhinya. Namun dia tetap tidak peduli. Baginya, itu merupakan dirinya. Jika mahu bersahabat dengannya, fahami sikap terus terangnya. Tetapi, Si A perlu tahu bukan semua perkara tepat letaknya untuk kita berterus terang walaupun kadangkala ia memang perlu.

Daripada cerita Si A ini, kita patut tahu apa sebenarnya ‘be yourself’ itu. Jika kefahaman kita sama sahaja dengan Si A, maknanya kita akan sentiasa bersikap dengan sikap yang kurang disenangi. Bersikap dengan sikap yang kurang disenangi maknanya kita kurang jati diri yang disegani.

Justeru, kita perlu ‘be urself’ dengan memperbaiki diri. Dengan sendirinya, kita membentuk personaliti yang terbilang lagi gemilang. Mari memupuk personaliti mampan dan yang buruk perlu ditampan.


Wednesday, March 23, 2011

Azamku Penemanku


Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah masih lagi dipanjangkan umur untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dan masih diberi kesempatan untuk menabur bakti. Cewwah. Kalau ada bakti yang hendak ditaburlah. Kalau tiada (mana boleh tiada), pastikan sekurang-kurangnya berbakti kepada kedua ibu bapa malahan kepada diri sendiri juga.

Usia semakin melanjut, tinggi dah stop tak melanjut-lanjut lagi. Hah! Satu peringatan bahawasanya diri ini sudah mula memasuki alam dewasa. Orang kata, dah masuk sempadan dah ni. Hmm..Bagaimana ye perancangan kita untuk alam dewasa? Adakah sama dengan alam remaja dan kanak-kanak? Kalau tiada perancangan tu maknanya kita belum lagi mencapai tahap fikiran yang setara dengan umur kita. Mungkin masih berfikiran seperti kanak-kanak. Tapi saya tahu kawan-kawan saya tak macam tu.

Selalunya setiap kali tahun baru dan hari ulang tahun kelahiran rata-rata manusia pasti mempunyai azam baru. Harap-harap azam yang baik-baik jela ye. Jangan azam tahun ni nak target pecah rumah 7 kali seminggu pula. Itu azam jembalang pecah rumah je tu. Sepatutnya azamnya nak berhenti daripada pecah rumah ke apa ke..Kan elok. Sejuk perut ibu mengandung. Bukan apa cerita pasal pecah rumah ni, dewasa ini banyak betul berita dan khabar yang melaporkan remaja sekarang ni banyak terlibat dengan aktiviti tidak bermoral tersebut. Haiii...takde keje atau takde cara lain ke nak dapatkan rezeki. Kan susah nak berhati-hati masa menyelinap masuk rumah orang, cari alat segala bagai untuk menjayakan usahanya tu. Itulah pasal nak buat jahat dan baik ni sama-sama susah. Malah berbuat jahat lebih susah lagi. Akibatnya pun teruk.

Baiklah berbalik kepada azam. Setiap manusia berakal pasti mempunyai azam masing-masing. Cuma yang paling nyata dinyatakan ketika tahun baru dan hari lahir.

"Kenapa perlu tunggu tahun baru, baru nak ada azam. Sepatutnya setiap hari kita ada azam."

Betul. Memang betullah setiap hari kita ada azam. Tapi mengapa bercakap seperti orang lain yang buat azam baru itu pula tiada azam untuk setiap hari mereka. Fikirkan yang mereka juga ada azam harian mereka. Pernah saya terbaca komen seseorang di ruangan sosial berkata, "Tidak perlulah bertanya apakah azam baru seseorang ketika tahun baru. Bukankah setiap hari kita patut ada azam baru?"

Saya tidak menyalahkan mereka. Tujuan mereka benar mengingatkan kita supaya setiap hari kita ada azam. Terima kasih kerana mengingatkan.Tapi membuat azam setiap tahun baru juga tidak salah. Jangan memandang terlalu sempit dan pesimis. Kasihan kawan-kawan yang ada azam baru tu. Takut-takut luntur semangat mereka bila di'kondem' begitu.

Azam jangka panjang dan jangka pendek


Azam ni bolehlah juga kita panggil sebagai cita-cita atau tujuan. Orang yang berazam ketika tahun baru atau hari lahir biasanya membuat azam jangka panjang. Bukan mereka hanya berazam sekali setahun. Setiap hari sebenarnya mereka berazam untuk merealisasikan impian mereka. Harap-harap begitulah melainkan azam yang tidak cuba direalisasikan. Orang panggil azam terkuburlah jadinya.

Berazam setiap tahun baru tak salah. Berazam setiap hari lagi tak salah. Azam ni sebagai turning point untuk kita mengubah atau meningkatkan lagi performance diri kita. Ingat, daripada buruk kepada baik sahaja.

Jadi sekarang, apa azam kita untuk hari ini? Orang lain ada azam mereka sendiri dan anda pun ada azam anda sendiri. Mungkin azam jangka panjang bermula hari ini dan mungkin azam jangka pendek harian seperti biasa, anda sendiri tetapkan.

Eh! Orang lain dah ada azam baru, pagi sudah menjelma, tarikh keramat mereka juga mungkin telah tiba. Saya pun nak buat azam barulah. Mari kita sama-sama berazam.

Friday, March 11, 2011

Gapailah Cita-citamu


Cita-cita? Kenapa dibangkitkan mengenai cita-cita? Bukankah dari kecil lagi kita sudah mempunyai cita-cita?

Ya, benar. Semenjak kecil lagi kita telah menanam cita-cita. Mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, mungkin juga masih berpegang pada cita-cita lama. Cita-cita ini tidak semestinya hanya ada satu sahaja dalam hidup. Kita boleh mempunyai banyak cita-cita. Sama ada cita-cita jangka panjang atau jangka pendek. Malah, yang menggerakkan menuju cita-cita jangka panjang ialah cita-cita jangka pendek itu sendiri. Mana mungkin cita-cita jangka panjang tidak disertai dengan pencapaian cita-cita kecil sebelumnya.

Apa pula yang menggerakkan cita-cita?

Sudah pasti usahalah yang menggerakkannya. Apakah yang diusahakan? Yang kita usahakan ialah perancangan yang telah ditetapkan demi mencapai cita-cita.

Usia yang semakin meningkat dan transaksi zaman mebuatkan kehidupan ini lebih mencabar. Zaman kanak-kanak yang kita tahu hanya untuk berseronok, zaman remaja mempersiapkan diri untuk menempuh segala ranjau duri alam dewasa dan seterusnya zaman tua nanti. Sudahkah kita bersedia atau sekadar menunggu masa berlalu tanpa cukup persediaan? Ini bukan perkara kecil. Inilah proses yang akan mencorakkan masyarakat pada masa akan datang.

Kita lihat akan diri kita ini. Sudah cukup sediakah kita untuk menghadapi selok-belok kehidupan pada masa akan datang? Jadi, ambil masa untuk berfikir sejenak dan merancang langkah-langkah menghadapi hari mendatang. Demi mencapai cita-cita. Demi mendapat keredhaan Allah. Mukmin yang kenal apa itu qada’ dan qadar pasti mempunyai cita-cita.

Pada usia meningkat dewasa sebegini, seringkali ramai yang berkata mahu mendapatkan kejayaan dalam bidang akademik, mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan mempunyai keluarga yang bahagia dalam masa beberapa tahun lagi. Justeru itu, perancangan dan usaha menggapai cita-cita tersebut patut dimulakan sejak awal lagi. Bagaimana hendak berjaya dalam akademik jika masih lena dibuai angan-angan yang tidak berkesudahan? Bagaimana hendak mempunyai kewangan yang kukuh jika tidak mempelajari ilmu-ilmu berkenaan kerjaya impian pada masa akan datang? Malah membazirkan wang untuk perkara yang sia-sia. Bagaimana pula hendak mempunyai keluarga yang bahagia jika diri sendiri belum cukup asas yang kukuh dalam bidang tersebut?

Angan-angan Menuju Kejayaan

Angan-angan tidak salah jika disertai dengan tindakan. Bukan angan-angan kosong yang merasakan anganan itu sudah menjadi realiti. Angan-angan itu perlu untuk mencetuskan cita-cita. Daripada angan-anganlah kita dapat mengesan apakah impian kita pada masa akan datang. Bukan hanya seperti kisah Mat Jenin yang kuat berangan-angan tanpa sebarang tindakan. Hanya merugikan diri sendiri dan membazirkan masa terbiar tanpa sebarang usaha.

Kewangan yang Kukuh Itu Satu Keperluan

Kenapa kewangan merupakan satu keperluan? Fikirkan mengapa. Dalam membangunkan suatu projek atau melancarkan suatu program, kita memerlukan kewangan yang kukuh. Jika tidak, projek atau program tersebut akn terbengkalai. Samalah juga jika kita hendak menguruskan kehidupan, kita perlu ada kewangan yang kukuh untuk memudahkan pembinaan keluarga serta keperluan-keperluan hidup yang lainnya. Seterusnya, memudahkan kita mencapai cita-cita yang lebih besar selepas itu.

Nabi Muhammad s. a.w. pernah bersabda,”Hampir-hampir kefakiran itu membawa keada kekufuran.”

Ditakuti dengan ujian kefakiran itu, seseorang yang belum terbuka akalnya akan bergerak menuju larangan Allah.

Keluarga Bahagia Idaman Setiap Manusia

Siapa yang tidak mengimpikan keluarga yang bahagia? Senyum. Tak perlu kata apa-apa. Pasti semua tersenyum apabila berfikir mengenai keluarga bahagia. Senyum sahaja belum cukup. Persediaan itu penting. Ini bukanlah perkara kecil yang boleh dibuat main. Bukan senda gurauan semata-mata.

Melatih diri menjadi insan yang penyabar, bertanggungjawab, penyayang, berkepimpinan dan bertaqwa merupakan intipati persediaan ke arah itu. InsyaAllah dengan latihan yang dijalani akan mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia pada masa akan datang. Keluarga bahagia bersandarkan aturan Allah s.w.t.

Jadi, mari sama-sama kita merancang langkah mencapai cita-cita. Mari merancang dan terus merancang. Semoga kita dapat merealisasikannya demi kebaikan bersama. Diharapkan hari mendatang lebih baik daripada hari yang kita lalui kini.

Mahukah kita hidup tanpa perancangan dan cita-cita? Katakan tidak dan mari bergegas.

Rujukan: Langit Illahi 3 : Fanzuru (Maka Lihatlah), Hilal Asyraf

IQ dan EQ

Dalam suasana kerjaya, temuduga untuk pekerja-pekerja baru seringkali memfokuskan mengenai soft skill. Saya mengetahui daripada seorang pensyarah, "Taraf akademik umpama tiket untuk menghadiri temuduga sahaja. Apabila ditemuduga, ia akan jatuh kepada belasan dari segi priority-nya. Soft skill pula merupakan perkara terpenting dititik beratkan."

IQ (Intelligence Quotient) secara umumnya merujuk kepada bio kapasiti otak manusia. Tahap IQ seseorang dipengaruhi oleh:
a) Keturunan
b) Anugerah semulajadi Pencipta

IQ yang tinggi membantu dalam aspek pemahaman, penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kemampuan belajar. Seseorang yang memiliki IQ yang tinggi seringkali digelar genius.

IQ juga boleh dikira dengan menggunakan formula IQ=100 MA/CA
· MA ialah usia mental
· CA ialah usia semasa

80-90     : (Rendah daripada sederhana)
90-110   : (Sederhana)
111-121 : (Tinggi daripada sederhana)
122-130 : (IQ tinggi)
31-141   : (Genius sejak lahir)
142+      : (Genius)

Bagaimana pula dengan EQ?

EQ (Emotional Quotient) berhubung kait dengan daya tahan emosi seseorang atau kepintaran mengawal emosi. Individu yang mempunyai EQ yang teguh secara amnya memiliki kelebihan-kelebihan berikut:
a) Daya ketahanan emosi
b) Kewajaran tindakan
c) Motivasi diri

EQ meningkat seiring dengan pertumbuhan seseorang sejak lahir hingga akhir hayatnya. Pengaruh-pengaruh luar seperti keluarga, masyarakat dan persekitaran sangat mengubah nilai tokok tambah emosi seseorang. Kita dapat menilai tahap EQ seseorang melalui ciri-ciri tersebut:
a) Memahami orang lain secara mendalam
b) Mengendalikan sifat marah
c) Kemampuan menyesuaikan diri
d) Keramahan
e) Sikap hormat

Individu yang mempunyai tahap EQ yang tinggi dapat menjalinkan hubungan yang lebih bersifat kemanusiaan, wujudkan kepercayaan, hasilkan kreativiti dan boleh mempengaruhi orang lain.
-Cooper (1997)


Saya ada membaca kisah seorang mahasiswa luar negara. Mahasiswa tersebut merupakan seorang pelajar pintar. Selalu mendapat markah penuh dalam semua subjek. Pada suatu ketika, tiba-tiba dalam satu ujian, markah pelajar tersebut jatuh. Nak kata banyak, mungkin bagi dia agak banyak tetapi masih lagi tinggi. Pelajar tersebut mendapat markah 90% dalam ujian ketika itu. Lantas dia berjumpa dengan pensyarah subjek tersebut yang ketika itu berada di makmal. Pada hari tersebut, dia mempersoalkan kenapa dia tidak mendapat markah penuh sepeti biasa. Saya tidak ingat apakah jawapan pensyarah tersebut. Namun, kerana tidak berpuas hati dengan jawapan dan pemarkahan pensyarah tersebut, pelajar itu tanpa disangka-sangka telah bertindak di luar kawalan dengan membunuh pensyarah tadi.

Hah! Daripada kisah tersebut, saya dapati kepintaran IQ belum menjamin seseorang bertindak wajar dalam segala tindakannya. Tidak hairanlah jika seringkali kita dengar di luar sana ramai mahasiswa-mahasiswa dan graduan-graduan yang berada pada tahap yang tinggi turut banyak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah.

Mengikut statistik pula, kebanyakan individu yang berjaya ialah individu yang sederhana latar belakang akademiknya dan benyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Jadi, jelaslah betapa pentingnya EQ bagi seseorang itu. Bukan saya hendak kata IQ itu tidak penting, penting juga. Tetapi yang lebih penting ialah kita telah menggunakan IQ kita untuk belajar dan belajar. Tidak kira tahap mana akademik kita, yang penting usaha kita. Berusaha dengan bersungguh-sungguh hendaknya. Jika kurang pandai pun, kita telah laksanakan tanggungjawab kita untuk belajar.

EQ pula memang penting. Jika tidak, bagaimana kita ingin meneruskan kehidupan dengan tahap motivasi diri dan sahsiah yang lemah. Jangan bimbang kerana EQ dengan mudah boleh dipertingkatkan dengan meningkatkan nilai-nilai kendiri. IQ pula banyak bergantung kepada faktor biologi.

Namun, IQ juga boleh dipertingkatkan dengan latihan berfikir dan penjagaan kesihatan. Apa-apa pun, "Dimana ada kemahuan, di situ ada highway."

Rujukan: Oi! Bangunlah Oi!, Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Wednesday, March 9, 2011

Hidup Ini Terlalu Pendek Untuk Bersedih



“Kenapalah hidup aku begini,”bisik hati berbicara.


Asyik mengenang kesedihan. Jangan begitu. Di sekeliling kita banyak perkara yang menggembirakan. Menyesakkan diri dangan fikiran sebegini tidak mendatangkan apa-apa hasil. Jika hidup kita tidak menggembirakan ketika ini, suatu saat nanti pasti datang detik menggembirakan. Namun, ketika gembira pula, beringat-ingatlah bahawa akan datang pula ujian kesedihan pada masa akan datang. Walaupun begitu, kita perlu positif. Menikmati kehidupan yang pendek ini dengan gembira. Apa yang kita mahu? Bahagia dunia dan akhirat. Ya, fid dunia wal akhirah.

…Dalam pada itu, ada antara manusia yang ( berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan kami. Berilah kami (kebaikan) di dunia.” (Orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.” Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.” (Al-Baqarah 2: 200-202)

Daripada ayat tersebut, kita telah ambil sebagai doa harian kita. Apabila berdoa, perlu ada usaha. Kita berdoa untuk mendapat kebaikan di dunia, kita perlu berusaha mencari kebaikan itu. Juga kita berdoa untuk mendapat kebaikan di akhirat, kita perlu juga berusaha mendapatkannya.

Come on, geng. Hidup ini sementara. Berbahagialah kita dengan nikmat hidup yang diberikan ini. Positifkan minda, kita akan menarik perkara-perkara positif. Negatifkan minda, perkara negatif jua yang akan kita sua. Tak percaya? Okey mari bersama-sama. Apabila kita berfikiran positif, secara umumnya mood seharian kita akan menjadi ceria. Apabila mood berada dalam keadaan baik sebegini, kita dapat menjalani aktiviti harian kita dengan cemerlang. Sebaliknya, jika mood kita tidak menentu, semua yang kita lakukan menjadi serba-serbi tidak menentu.

Hidup Ini Terlalu Pendek Untuk Kita Bersedih

Mengapa perlu bersedih sedangkan bergembira itu adalah satu pilihan yang lebih baik. Memang ada suatu ketika, perkara yang tidak kita duga, tidak pernah terfikir dalam hidup kita datang menjengah memukul kita dan membuatkan kita umpama si lumpuh. Benar memang akan berlaku. Tiada manusia yang gembira sepanjang hidupnya dan tiada pula yang sedih berpanjangan. Seperti lirik lagu Opick – Tiada Duka yang Abadi:

Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani



Boleh saja kita bermain di padang setiap petang, bercuti-cuti bersama keluarga, menonton televisyen bersama rakan. Mungkin juga boleh bermain konda kondi. Tiada masalah. Yang penting dapat menguruskan kesedihan kita. Lebih baik lagi jika menghadiri aktiviti ilmiah seperti kem dan ceramah-ceramah. Banyak ilmu boleh didapati. Di samping itu dapat menambahkan kenalan. Ramai kenalan, hidup lebih bererti. Dapat juga menambah soft skill dalam perhubungan.

Hidup perlu dipenuhi dengan perkara-perkara yang memberangsangkan, membawa kita terus ke hadapan. Jangan kita terlalu bersedih walaupun ada ketikanya kita perlu bersedih. Bersedihlah selagi kesedihan itu masih dalam redha Ilahi. Jangan pula kesedihan kita yang memanjang itu akan membantutkan pembangunan insaniah dalam diri kita. Sehingga nanti masyarakat lain akan menganggap masyarakat Islam itu mundur, kolot dan sebagainya.

“Tidak mengapa. Itu semua duniawi semata-mata.”

Kata-kata seperti inilah yang perlu disimpul rapi daripada dilontarkan oleh orang-orang Islam. Takut-takut nanti masyarakat lain akan menganggap Islam ini agama yang kolot. Tidak! Bukan begitu. Tidak mahu bukan kita dianggap kolot? Jadi, ini semua bukan duniawi semata-mata. Yang kita perjuangkan ialah maruah bangsa, agama dan keluarga.

Jangan biarkan kesedihan merantai diri kita. Ayuh, bangkit!

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...