Pages

Friday, March 11, 2011

Gapailah Cita-citamu


Cita-cita? Kenapa dibangkitkan mengenai cita-cita? Bukankah dari kecil lagi kita sudah mempunyai cita-cita?

Ya, benar. Semenjak kecil lagi kita telah menanam cita-cita. Mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, mungkin juga masih berpegang pada cita-cita lama. Cita-cita ini tidak semestinya hanya ada satu sahaja dalam hidup. Kita boleh mempunyai banyak cita-cita. Sama ada cita-cita jangka panjang atau jangka pendek. Malah, yang menggerakkan menuju cita-cita jangka panjang ialah cita-cita jangka pendek itu sendiri. Mana mungkin cita-cita jangka panjang tidak disertai dengan pencapaian cita-cita kecil sebelumnya.

Apa pula yang menggerakkan cita-cita?

Sudah pasti usahalah yang menggerakkannya. Apakah yang diusahakan? Yang kita usahakan ialah perancangan yang telah ditetapkan demi mencapai cita-cita.

Usia yang semakin meningkat dan transaksi zaman mebuatkan kehidupan ini lebih mencabar. Zaman kanak-kanak yang kita tahu hanya untuk berseronok, zaman remaja mempersiapkan diri untuk menempuh segala ranjau duri alam dewasa dan seterusnya zaman tua nanti. Sudahkah kita bersedia atau sekadar menunggu masa berlalu tanpa cukup persediaan? Ini bukan perkara kecil. Inilah proses yang akan mencorakkan masyarakat pada masa akan datang.

Kita lihat akan diri kita ini. Sudah cukup sediakah kita untuk menghadapi selok-belok kehidupan pada masa akan datang? Jadi, ambil masa untuk berfikir sejenak dan merancang langkah-langkah menghadapi hari mendatang. Demi mencapai cita-cita. Demi mendapat keredhaan Allah. Mukmin yang kenal apa itu qada’ dan qadar pasti mempunyai cita-cita.

Pada usia meningkat dewasa sebegini, seringkali ramai yang berkata mahu mendapatkan kejayaan dalam bidang akademik, mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan mempunyai keluarga yang bahagia dalam masa beberapa tahun lagi. Justeru itu, perancangan dan usaha menggapai cita-cita tersebut patut dimulakan sejak awal lagi. Bagaimana hendak berjaya dalam akademik jika masih lena dibuai angan-angan yang tidak berkesudahan? Bagaimana hendak mempunyai kewangan yang kukuh jika tidak mempelajari ilmu-ilmu berkenaan kerjaya impian pada masa akan datang? Malah membazirkan wang untuk perkara yang sia-sia. Bagaimana pula hendak mempunyai keluarga yang bahagia jika diri sendiri belum cukup asas yang kukuh dalam bidang tersebut?

Angan-angan Menuju Kejayaan

Angan-angan tidak salah jika disertai dengan tindakan. Bukan angan-angan kosong yang merasakan anganan itu sudah menjadi realiti. Angan-angan itu perlu untuk mencetuskan cita-cita. Daripada angan-anganlah kita dapat mengesan apakah impian kita pada masa akan datang. Bukan hanya seperti kisah Mat Jenin yang kuat berangan-angan tanpa sebarang tindakan. Hanya merugikan diri sendiri dan membazirkan masa terbiar tanpa sebarang usaha.

Kewangan yang Kukuh Itu Satu Keperluan

Kenapa kewangan merupakan satu keperluan? Fikirkan mengapa. Dalam membangunkan suatu projek atau melancarkan suatu program, kita memerlukan kewangan yang kukuh. Jika tidak, projek atau program tersebut akn terbengkalai. Samalah juga jika kita hendak menguruskan kehidupan, kita perlu ada kewangan yang kukuh untuk memudahkan pembinaan keluarga serta keperluan-keperluan hidup yang lainnya. Seterusnya, memudahkan kita mencapai cita-cita yang lebih besar selepas itu.

Nabi Muhammad s. a.w. pernah bersabda,”Hampir-hampir kefakiran itu membawa keada kekufuran.”

Ditakuti dengan ujian kefakiran itu, seseorang yang belum terbuka akalnya akan bergerak menuju larangan Allah.

Keluarga Bahagia Idaman Setiap Manusia

Siapa yang tidak mengimpikan keluarga yang bahagia? Senyum. Tak perlu kata apa-apa. Pasti semua tersenyum apabila berfikir mengenai keluarga bahagia. Senyum sahaja belum cukup. Persediaan itu penting. Ini bukanlah perkara kecil yang boleh dibuat main. Bukan senda gurauan semata-mata.

Melatih diri menjadi insan yang penyabar, bertanggungjawab, penyayang, berkepimpinan dan bertaqwa merupakan intipati persediaan ke arah itu. InsyaAllah dengan latihan yang dijalani akan mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia pada masa akan datang. Keluarga bahagia bersandarkan aturan Allah s.w.t.

Jadi, mari sama-sama kita merancang langkah mencapai cita-cita. Mari merancang dan terus merancang. Semoga kita dapat merealisasikannya demi kebaikan bersama. Diharapkan hari mendatang lebih baik daripada hari yang kita lalui kini.

Mahukah kita hidup tanpa perancangan dan cita-cita? Katakan tidak dan mari bergegas.

Rujukan: Langit Illahi 3 : Fanzuru (Maka Lihatlah), Hilal Asyraf

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...