Pages

Wednesday, March 9, 2011

Hidup Ini Terlalu Pendek Untuk Bersedih



“Kenapalah hidup aku begini,”bisik hati berbicara.


Asyik mengenang kesedihan. Jangan begitu. Di sekeliling kita banyak perkara yang menggembirakan. Menyesakkan diri dangan fikiran sebegini tidak mendatangkan apa-apa hasil. Jika hidup kita tidak menggembirakan ketika ini, suatu saat nanti pasti datang detik menggembirakan. Namun, ketika gembira pula, beringat-ingatlah bahawa akan datang pula ujian kesedihan pada masa akan datang. Walaupun begitu, kita perlu positif. Menikmati kehidupan yang pendek ini dengan gembira. Apa yang kita mahu? Bahagia dunia dan akhirat. Ya, fid dunia wal akhirah.

Dalam pada itu, ada antara manusia yang ( berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan kami. Berilah kami (kebaikan) di dunia.” (Orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata, “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.” Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.” (Al-Baqarah 2: 200-202)

Daripada ayat tersebut, kita telah ambil sebagai doa harian kita. Apabila berdoa, perlu ada usaha. Kita berdoa untuk mendapat kebaikan di dunia, kita perlu berusaha mencari kebaikan itu. Juga kita berdoa untuk mendapat kebaikan di akhirat, kita perlu juga berusaha mendapatkannya.

Come on, geng. Hidup ini sementara. Berbahagialah kita dengan nikmat hidup yang diberikan ini. Positifkan minda, kita akan menarik perkara-perkara positif. Negatifkan minda, perkara negatif jua yang akan kita sua. Tak percaya? Okey mari bersama-sama. Apabila kita berfikiran positif, secara umumnya mood seharian kita akan menjadi ceria. Apabila mood berada dalam keadaan baik sebegini, kita dapat menjalani aktiviti harian kita dengan cemerlang. Sebaliknya, jika mood kita tidak menentu, semua yang kita lakukan menjadi serba-serbi tidak menentu.

Hidup Ini Terlalu Pendek Untuk Kita Bersedih

Mengapa perlu bersedih sedangkan bergembira itu adalah satu pilihan yang lebih baik. Memang ada suatu ketika, perkara yang tidak kita duga, tidak pernah terfikir dalam hidup kita datang menjengah memukul kita dan membuatkan kita umpama si lumpuh. Benar memang akan berlaku. Tiada manusia yang gembira sepanjang hidupnya dan tiada pula yang sedih berpanjangan. Seperti lirik lagu Opick – Tiada Duka yang Abadi:

Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam ‘kan berakhir, hari ‘kan berganti
Takdir hidup ‘kan dijalani



Boleh saja kita bermain di padang setiap petang, bercuti-cuti bersama keluarga, menonton televisyen bersama rakan. Mungkin juga boleh bermain konda kondi. Tiada masalah. Yang penting dapat menguruskan kesedihan kita. Lebih baik lagi jika menghadiri aktiviti ilmiah seperti kem dan ceramah-ceramah. Banyak ilmu boleh didapati. Di samping itu dapat menambahkan kenalan. Ramai kenalan, hidup lebih bererti. Dapat juga menambah soft skill dalam perhubungan.

Hidup perlu dipenuhi dengan perkara-perkara yang memberangsangkan, membawa kita terus ke hadapan. Jangan kita terlalu bersedih walaupun ada ketikanya kita perlu bersedih. Bersedihlah selagi kesedihan itu masih dalam redha Ilahi. Jangan pula kesedihan kita yang memanjang itu akan membantutkan pembangunan insaniah dalam diri kita. Sehingga nanti masyarakat lain akan menganggap masyarakat Islam itu mundur, kolot dan sebagainya.

“Tidak mengapa. Itu semua duniawi semata-mata.”

Kata-kata seperti inilah yang perlu disimpul rapi daripada dilontarkan oleh orang-orang Islam. Takut-takut nanti masyarakat lain akan menganggap Islam ini agama yang kolot. Tidak! Bukan begitu. Tidak mahu bukan kita dianggap kolot? Jadi, ini semua bukan duniawi semata-mata. Yang kita perjuangkan ialah maruah bangsa, agama dan keluarga.

Jangan biarkan kesedihan merantai diri kita. Ayuh, bangkit!

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...