Pages

Tuesday, December 9, 2014

Istiqamahkah Kita?


Semalam kita bersalaman dengan ibu bapa sebelum ke sekolah. Hari ini kita terus pergi tanpa sepatah bicara. Begitulah lazimnya manusia. Itu hanya satu contoh bagaimana kita menilai kelakuan kita dari hari ke hari. Adakah kita semakin baik, sama atau merosot nilainya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa kita seringkali tidak tetap dalam kelakuan kita. Izin saya sebutkan. Ianya Matlamat!

Ya, Matlamat!

Cukup. Sudah cukup kuat rasanya berteriak. Benar, jika dari awal lagi kita tidak menetapkan matlamat yang perlu kita capai, kita pasti terhenti di tengah jalan. Semuanya menjadi sia-sia apatah lagi apa yang kita lakukan hanya untuk suka-suka.

"Ya, aku ingin mencuba. Macam best je."

Dengan ayat "Aku ingin mencuba," memang bagus sekali. Cubalah dengan tujuan meraih matlamat. Tetapi tatkala ayat itu dilengkapkan dengan "Macam best je" sudah tergambar matlamat yang tidak jelas. Apakah ini akan membawa kepada istiqamah bermula saat langkah pertama dicetuskan?

Memang ada masa-masa kita jatuh. Namun, itu bukan bermakna kita perlu padamkan matlamat kita. Melainkan telah diketahui matlamat itu tidak baik untuk kita. Jarang sekali kita merancang untuk matlamat yang tidak baik bukan? Maka, itu boleh dikatakan tidak akan terjadi.

Ketika saya bekerja dalam jabatan kualiti di sebuah syarikat, semua staff dilatih untuk konsisten dalam tindakan dan bicara. Apa yang dilontarkan pada awalnya akan sentiasa sama hingga selesai satu-satu masalah itu. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pekerja berlainan organisasi. Jika awalnya betul, maka akan sentiasa betul sampai akhir. Tetapi masalahnya bila salah, akan salah sampai tiba satu peluang untuk melakukan pembetulan.

Mungkin terpaksa menipu tetapi yang baiknya semua yang dibicarakan akan konsisten sehingga masalah selesai. Kita ambil yang jernih daripada situ. Jika tidak mahu melakukan perkara yang tidak-tidak jadi perlulah bercakap yang benar tetapi tidak memberikan impak kepada syarikat sejak awal lagi.

Begitulah juga kehidupan kita.

Kita merancang dengan rapi sekali. Sudah pasti apa sahaja yang kita ingin lakukan ada objektifnya. Kemudian, langkah-langkahnya. Seperti mana pelajar aliran Sains sekolah menyediakan report kajiannya:

1) Tajuk
2) Objektif (Matlamat)
3) Pemboleh ubah (Kekangan dan alternatif)
4) Prosedur (Langkah-langkah)
5) Analisis data (Muhasabah semasa)
6) Keputusan (Pencapaian)

Lebih kurang begitulah jika kita kaitkan dengan kehidupan ini. Kerana itulah kita digalakkan memandang seluruh alam dan berfikir. Ilmu yang kita ada walaupun sedikit, kita gunakan sebaiknya bukan kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Jadi, istiqamahkan kita dalam setiap kelakuan kita? Mari kita ukur di mana kita bermula dan di mana kita sekarang. Bagaimana pula dengan matlamat kita? Hah, sudah timbul satu tanda tanya.


Tuesday, October 7, 2014

Antara Membina Rasa dan Membina Jiwa

Di sana di sini kita melihat anak-anak muda berpacaran, bergurau-senda malah bertepuk tampar umpama tiada batasan dan etika. Ya, mereka bukan bersamaan jantina. Inilah yang melemahkan. Benar-benar melemahkan remaja kita. Mereka leka dibuai cinta.

Jarang sekali kita membualkan isu cinta manusia di ruangan ini. Tetapi sedar atau tidak perkara ini amat penting dalam membentuk jiwa remaja yang mampan dan tampan. Tampan bukan sekadar di mata, malah terasa gah di jiwa. Semoga nanti remaja-remaja ini mampu mengemudi insan-insan lain demi membentuk insan perkasa. Itulah insan-insan yang mereka dakwa sebagai keluarga.

Kini mereka lupa. Lupa membina jiwa kerana asyik membina rasa. 

Remaja kita gundah pabila rindu tidak bersahut, terasa cinta semakin pudar. Jadi, setiap saat dihabiskan dengan membina rasa. Adakah rasa itu akan diterjemah kepada ikatan suci bernama keluarga? Mungkin tidak dan mungkin ya itulah jawapannya.

Biasanya remaja ini lebih sibuk membina rasa. Sesaat tidak berhubung umpama 1000 tahun terpisah jua. Ada juga yang bergerak dengan kedua-dua jiwa dan rasa. Juga ada yang lebih sibuk membina jiwa. Pada saya ianya mempunyai turutannya. Silapnya remaja kita terus menerjah pada membina rasa.

Bina jiwa, kemudian begitu juga rasa.

Remaja perlu sedar saat mereka teruji dengan cinta manusia, mereka perlu segera membina jiwa. Kerana kita tidak tahu saat bila benar-benar tersedia untuk memikul tugasan berkeluarga. Perkara pertama yang perlu disematkan dalam remaja kini ialah cinta perlu menjurus kepada pembentukan keluarga. Jika tidak punyai matlamat itu, sila berlari dengan sejauh-jauhnya. Datang kembali apabila tiba masanya.

Bersyukur kerana kita diberikan rasa cinta. Namun, rasa cinta itu perlu dikawal dengan kekuatan jiwa. Perlu sedar siapa yang menganugerahkannya. Jiwa perlu kuat mengawalnya. Hingga nanti tiba saatnya cinta dapat diterjemah kepada rasa. Itulah aturannya. Jangan sesekali rasa melangkawi jiwa sebelum tiba saatnya.

Jiwa dan rasa. Suatu yang perlu difahami dalam skop yang sedikit berbeza tetapi mempunyai pertalian di antaranya. Semoga remaja kita hari ini gah dengan jiwa-jiwa yang penuh rasa cinta beretika.



Saturday, September 27, 2014

Kesenangan Itu Melalaikan, Ujian Membersih Jiwa

Seringkali kita manusia ini bila dikelilingi kesenangan, kita jadi alpa. Kita menjauh daripada Yang Maha Pemberi. Lihatlah bila kita berada dalam keadaan selesa. Kita sentiasa lalai dalam dunia kita sendiri. Kita mensia-siakan masa. Lagi-lagi jarang sekali kita bermuhasabah diri dan merasakan kita sudah memiliki kejayaan yang lebih tinggi daripada insan lain.

Jangan begitu. Kesenangan itu bukan kita penciptanya. Ada juga orang yang berusaha tetapi tidak dapat mencapai kesenangan. Seperti pahlawan-pahlawan Islam dahulu yang gugur di medan perang. Tidak sempat merasa kemenangan di dunia, tetapi kesenangan di akhirat sudah menanti.

Kita juga pernah jatuh bukan?

Cuba kenang kembali saat ketika ujian melanda diri. Tanpa dipaksa terus sahaja kita menyebut, "Allah." Kita berharap pertolongan Allah segera sampai kepada kita. Kita tidak sedar ketika senang sukar sekali kita mengadu kepada Allah dan bersyukur pada setiap detik. Detik-detik selagi mana rezeki tersebut dilimpahkan.

Itulah manusia. Hakikat kesenangan itu memang tidak dapat diukur di dunia ini. Setiap ujian itu juga merupakan satu peluang untuk kita menjadi lebih senang dan tenang pada masa akan datang. Kita menjadi semakin kuat serta tabah. Lalu, ujian yang sama terasa kecil.

Bukan kesenangan itu perlu dielakkan. Tetapi, kita perlu sentiasa ingat kepada Pemberi kesenangan tersebut. Tidak lalai dan kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Itu yang perlu kita didik.

Benar. Ujian itu seringkali membersihkan jiwa.

Apabila kita lalai dengan kesenangan, tiba-tiba terjerumus jatuh ke dalam lubang yang dalam. Kita mencari-cari jalan keluar. Pada masa itu, Allah sahaja tempat kita mengadu. Kita kembali kepada fitrah iaitu rasa hidup bertuhan. Kerdil pula rasa ketika itu. Begitulah jiwa kita dibersihkan dengan hidayah Allah.

Hidup ini perlu banyak belajar daripada kesilapan insan sekeliling dan kita sendiri. Ujian yang ditimpa membawa pengajaran. Jangan dirintih kekurangan yang ada, perbaiki selagi mampu dan fokus kepada kelebihan. Semoga kita lebih bersyukur. Jelas, tiada manusia yang sempurna mengikut acuan kita dan tiada manusia yang selamanya ditimpa kesukaran. Make life easy but life wisely. Itu macam baru bagusssss.

Tuesday, September 16, 2014

Penat

Sudah penat? Penat bekerja? Penat belajar? Penat memikul tanggungjawab? Penat mengharungi luka duka dunia? Sabarlah wahai akak-akak, abang-abang. Dunia ni memang tempat berpenat-penat. Supaya di akhirat nanti kita merasa nikmat. Lagipun, selepas berpenat-penat, selalunya hasil baiknya kita dapat sejak di dunia lagi. Dengan itu kita dapat menghargai usaha sebelumnya.

Memang asam garam hidup di dunia. Bukan semua yang kita rancang, kita dapat. Sebaik-baik mana pun kita rancang, jika tidak Allah izinkan kita takkan mampu mermperolehinya. Tapi, kita masih lagi dapat. Dapat belajar bersyukur dan menerima. Malah, perancangan kita diganti dengan perancangan Allah yang lebih baik lagi.

Biasalah. Tidak semua orang di dunia ini sependapat dengan kita. Kadang-kala kita memandang orang lain dengan pandangan kita. Kita rasa orang lain juga sama pemikiran dengan kita. Itu tidak mungkin terjadi dalam semua kes. Relaks brader. Relaksss. Kita kona sikit je. Syukur jika pendapat kita pendapat yang baik. Syukur juga jika pemikiran orang lain berarah kepada kebaikan. Apa mau gaduh. Sama-sama baik kan...

Dalam dunia ini, apa yang paling susah dicapai ialah rasa senang hati semua orang terhadap kita. Buat perkara yang baik pun ada yang membenci, apatah lagi perkara jahat. Move on.  Pada masa ini, pandangan manusia tak perlu lagi diambil kira jika baik pun salah bagi mereka. Hanya teruskan dengan apa yang Allah suka. Pandangan Allah itu lebih utama.

Letakkan apa sahaja pandangan terhadap kita. Usah goyah dek mereka. Kita bukan hidup kerana manusia. Banyak perkara yang tidak perlu kita jelaskan kepada manusia. Namun, jika diberi peluang memang perlu kita jelaskan. Menghadapi manusia, makhluk yang mempunyai akal dan emosi memang memenatkan. Yakinlah suatu hari Allah akan buka hati mereka mungkin dengan penjelasan kita atau pun mungkin tidak.

Mari berpesan kepada diri sendiri. Hidup ini bukan kerana manusia, hanya redha Ilahi yang kita cari. Tepuk dada, biar hati tunduk memahami.

Monday, September 1, 2014

Disiplin Itu Tunjang Kejayaan

Salam keberkatan kepada seluruh muslimin dan muslimat, sama ada yang bersama-sama di ruangan ini mahu pun di mana kalian berada. Di mana pun anda berada, dalam situasi apa anda berada dan kerana apa anda berada di situ, semoga sentiasa memenuhi syariat. Saya pasti anda sedang lakukan sesuatu perkara dan anda inginkan ianya berjaya. Ya atau tidak. Tidak mengapa, biar saya jawab. YA!!

Seperti mana maksud Islam; satu cara kehidupan yang membawa kesejahteraan, begitu juga apa yang perlu kita amalkan dalam meniti langkah untuk berjaya. Setiap kejayaan dimulakan dengan langkah-langkah tertentu. Langkah-langkah yang telah kita atur. Langkah-langkah yang telah kita atur itu akan kita turuti satu per satu. Dari situ lahirnya disiplin. Nampak tak? Di mana-mana pun kita perlu berdisiplin. Buat apa kita atur langkah tetapi tidak berdisiplin dalam melaksanakannya.

Disiplin. Bukan sekadar coretan dalam buku disiplin sekolah.

Di mana disiplin orang muslim? Al-Quran itu disiplinnya. Ingat, akhlak Rasullullah itu al-Quran dan contoh terbaik kita Rasulullah. Ya, akhlak itu merupakan disiplin bagi seorang muslim. Kerana itu disiplin itu tidak memilih saat dan ketika, ruang dan tempat, juga masyarakat dan individu. Kerana apa kita seringkali gagal dalam mencapai impian? Kerana diri kita lemah. Lemah dalam berdisiplin. Diri culas saat keadaan sekeliling menjentik sisi hati.

Sabar, jangan mudah mengalah. Kita perlu akur tiada yang boleh kita lakukan dengan sewenang-wenangnya. Bekerja dengan disiplin kerjanya, bersahabat dengan disiplin ukhwahnya, berkata-kata dengan disiplin bicaranya. Pokoknya...ya pokoknya semuanya perlu diiringi dengan disiplin-disiplin tertentu.

Disiplin. Bukan sekadar patuh.

Jika mahu berdisiplin, bukan hanya patuh pada sesuatu yang kita rasa betul. Kita perlu belajar mana yang betul dan laksanakan yang betul. Saat itu baru kita tahu langkah yang direncana ada sedikit cela. Bagaimana kita boleh patuh jika kita tidak pasti sama ada ianya menepati syariat? Setiap satu itu ada peraturannya (syariat) dan peraturan itu perlu ditunjangkan pada setiap langkahan kita.

Maka dengan ini, mari sama-sama kita tingkatkan disiplin diri. Semoga bertemu lagi di lain masa. Akhir kata, mari sama-sama kita lakukan lonjakan semangat "Saya mahu berjaya!! Dunia dan akhirat sana!!!" 
Mengapa tidak? Kita mampu lakukannya.

Tuesday, July 1, 2014

Kita Bersahabat Malah Bersaudara



Assalamualaikum w.b.t. 
Macam mana rasa bila bulan puasa ni? Ada rasa tenang tak? Untung kita tinggal di Malaysia yang agama rasminya Islam. Sebab apa, bila bulan puasa ni selalunya waktu bekerja disingkatkan. Kerja pula berkurang. Jadi, bolehlah kita berehat-rehat dan menumpukan diri terhadap ibadah yang berlipat kali ganda ganjarannya di bulan puasa ni. Apa macam? Ada rasa syukur tak?

Malam hari kita pergi ke surau solat tarawih, kita berpeluang berjumpa penduduk setempat. Mengeratkan silaturrahim. Yang mana sebelum ni tak kenal jadi kenal. Kan molek tu. Ramai kenalan boleh jadi ramai pula sahabat. Mereka tu kan semua saudara kita. Yela apa tidaknya, mereka kan saudara Islam kita. Sesungguhnya setiap muslim itu bersaudara. Malu nak tegur bagi salam dan senyum je. Sebarkan kasih-sayang sebagai saudara Islam. Orang yang jiwa dia penuh dengan kasih sayang kerana Allah, jiwa dia akan sentiasa tenteram. Orang lain bahagia, kita pun turut bahagia. Tak nak ke?

Selain di surau atau masjid, kita boleh saja terserempak di tempat-tempat lain. Mereka berada di sekitar kita. Kita ni hidup kat dunia berkongsi tempat dengan makhluk-makhluk lain terutamanya manusia. Siapa yang hidup ni nak hidup sorang-sorang je. Tak ada punya hatta orang yang menyendiri pun inginkan keluarga bersama dia.

Kita masing-masing ada kawan bukan? Sahabat? Teman? Kenalan? Semua istilah tu lain maksudnya. Kita sendiri yang boleh meletakkan mereka dalam kategori yang mana satu. Tapi kadang kita ni tersilap. Tersilap menilai meletakkan musuh dalam selimut sebagai sahabat. Akhirnya kita juga yang kena tikam dari belakang.

Perbezaan istilah-istilah tu bukanlah untuk kita membeza-bezakan taraf mereka dalam kehidupan kita. Tetapi, kita boleh tentukan sama ada perkenalan itu membawa kepada kebaikan atau sebaliknya. Kita kenal ramai orang tetapi belum tentu semuanya membawa kita kepada kebaikan. Kita kadang pilih kawan yang berharta sebagai sahabat. Namun belum tentu dia akan menolong kita tatkala kita memerlukan. Pertolongan pula macam-macam boleh jadi. Tolong bagi semangat tu sudah sangat baik. Manusia ni memang tak boleh hidup bersendirian. Itulah sifat manusia.

Yang kita namakan sahabat tu selalunya kita akan selalu melakukan aktiviti bersama juga bersusah senang bersama selagi ianya membawa kepada kebaikan. Jangan abaikan prinsip membawa kepada kebaikan tu. Selalunya orang pilih kawan yang sekepala walaupun selalu buat benda yang sia-sia. Jadi, elakkan perkara sia-sia tu. Kawan tetap kawan. Ini bermakna kita hindarkan perkara sia-sia tu bukan dari diri kita sahaja, malah bebas daripada kawan kita tu.

Jadi macam mana sekarang? Berkawanlah dengan sesiapa sahaja, bersahabatlah kepada yang menunjukkan jalan ke syurga, dan bersaudaralah dengan mereka yang bersama menegakkan agama Allah. Saya tidak pandai berbahasa, semoga yang baik kita kongsi bersama. Yang buruk, syuhhh!! Campak jauh-jauh sana!

Sunday, June 29, 2014

Insurans Ni Boleh Pakai Ke?

Salam Ramadhan kepada semua muslimin muslimat di seluruh pelosok dunia. Betul ke eja tu? Pelosok ke pelusuk. Hmmm..

Sambung cerita pula pasal insurans. Insurans ni boleh pakai ke? Ke nak makan duit orang je? Bayar tiap-tiap bulan tapi nak claim punya payah. Saya tak tahu la sekuat mane kebenarannya. Tapi memang pernah dengar. Saya fikir biasala takut orang ambil kesempatan tu pasal banyak prosess kena buat. Lagi-lagi yang claim berpuluh-puluh ribu.

Tapi, sekarang ni kan ade yang medical card tu. Lebih-lebih lagi yang Cover kesihatan, simpanan dan keluarga. Medical card tu bawa je mana-mana klinik panel yang berdaftar dengan insurans tu, dah boleh terus gunakan perkhidmatan dia. Kan macam VIP tu. Lagipun mungkin tak perlu bayar bila mengikut pakej yang disediakan. 

Cuba bayangkan kalaulah terjadi kejadian tak diingini macam hilang upaya ke, memangla duit tu tak setanding dengan anggota badan. Tapi sekurang-kurangnya ada. Dah nak jadi apa boleh buat, takkan nak biar macam tu je. Bila dengan adanya insurans ni, bolehla kita tampung kos rawatan yang tinggi tu. Keluarga pun takdelah terbeban sangat nak menampung kos yang kita pun tak mampu nak tampung. Nak keluar semua simpanan nanti tak ada back up  dah untuk masa hadapan. Penat je kita kumpul macam yang telah kita bincang sebelum ni.

Kalau kematian pula apa jadi kat keluarga kita? At least, mereka ada sedikit sumbangan untuk meneruskan hidup. Kalau mereka kutip kat pejabat berapa sangatlah yang kita dapat. Sorang letaklah RM10. Tu kalau RM10. Entah-entah kurang. Kalau lebih tu jarang-jarang sekali kecuali satu dua je. Berapa orang pula staff  dalam pejabat? Kalau guna insurans ni bolehla dapat puluh-puluh ribu. Makan tahun juga nak abes kalau sekadar perbelanjaan harian. Tenang sikit rasa bila tiba masanya kita berhijrah ke alam sana.

Insurans ni selalunya sebulan tak sampai RM200, malah yang harga macam topup  kredit handphone pun banyak. Cuba la langgan. Kalau interest kereta tu setahun dalam RM700, kalau sebulan sebenarnya kita bayar lebih kurang RM60 untuk interest sahaja. RM60 tu buat beli insurans kan okay. Ada faedahnya ye tak.

Baiklah. Sama-sama kita fikir mana baik buruknya. Pasti ada baiknya kalau kita agihkan bahagian daripada perkara-perkara yang tidak perlu kepada insurans ni. Mesti ada bagussssss. Salam satu Ramadhan!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...