Pages

Sunday, May 29, 2011

Dulu Aku Berusaha, Kini Kuterima Segalanya


Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. Bagaimana dengan hari anda hari ini? Pasti lebih baik daripada semalam bukan? Tahniah kepada anda kerana berjaya memperbaiki diri masing-masing.

Pernah tengok cerita Kiamat Sudah Dekat tak? Cerita tu mengisahkan seorang pemuda yang berusaha memenuhi syarat Pak Kiai untuk memperisterikan anaknya. Namun, akhirnya Pak Kiai menjodohkan anak gadisnya dengan pemuda lain yang dirasakan lebih memenuhi kriteria. Lalu, Si Pemuda tadi berserah dan menerima jika benar Si Gadis bukan jodohnya. Namun, akhirnya Pak Kiai menikahkan pemuda tersebut dengan anak gadisnya juga kerana beliau mendapati bahawa Si Pemuda tadi sudah menguasai ilmu ikhlas.

Baiklah, tu hanya salah satu contoh untuk memudahkan kita memahami isi bual bicara kita ini. Bagaimana? Kita nampak bukan betapa Si Pemuda telah berusaha sepenuh hatinya namun akhirnya dia merasakan natijahnya tidak seperti yang diharapkan. Walaupun begitu dia mengikhlaskan dirinya dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan.

Begitulah juga apa yang berlaku kepada kita sama ada perkara yang lalu ataupun akan datang. Selalu fikiran ini tertanya-tanya ,”Kenapa aku tidak dapat apa yang aku usahakan? Pagi hari aku berusaha sepenuh tenaga, malamnya pula aku memohon kepada Allah.” Kita harus tahu bahawa tidak semua yang kita rasakan baik untuk kita, baik juga di sisi Allah. Allah Maha Mengetahui sedangkan kita hanya mengetahui apa yang diberi pengetahuan tentangnya. Ketahuilah juga masa hadapan bukan dalam pengetahuan kita.

Jadi, kawan-kawan apa kata kita belajar menerima. Salah satu daripada asas ilmu ikhlas tu. Saya suka memanggilnya seni menerima. Yalah, setelah kita berusaha untuk mencapai matlamat, kadang-kadang matlamat kita tidak tercapai sedikit pun. Maka, lebih baik hendaknya kita menerima dan yakin Allah tidak akan menzalimi kita. Pasti ada hikmahnya. Ingat bahawa jika Allah tidak memperkenankan doa kita, ada 3 perkara perlu kita sematkan dalam hati kita.
1) Doa kita ditangguhkan untuk dikabulkan
2) Doa kita digantikan dengan yang lebih baik
3) Dijadikan kifarat kepada dosa-dosa

Apa macam? Tenang bukan? Cantek bukan macam tu? Jangan terlalu bersedih jika apa yang kita harapkan tidak kita gapai. Kita manusia yang lemah. Berusaha adalah satu keperluan dan natijahnya adalah suatu ketentuan. Ketentuan yang boleh diubah dengan doa. Namun jika tiada usaha, peratusan untuk mencapai matlamat adalah sangat sedikit. Kerana itu kita digalakkan berusaha dan bukan hanya menunggu ‘duit jatuh daripada langit.’

Oleh itu, berusahalah seperti kita akan hidup seribu tahun lagi dan beribadahlah seperti kita akan mati esok hari. Semuanya bukan dalam pengetahuan kita. Ya, kita berusaha kerana kita tidak mengetahui. Berusaha dalam lingkungan keredhaan Allah s.w.t. semoga kita sentiasa dipayungi rahmat-Nya. Akhirnya kita sendiri akan menyedari tiada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan-Nya. ‘Alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.

Sunday, May 22, 2011

Baiknya Laman Sosial


Laman sosial tidak hanya mendatangkan keburukan. Ada juga baiknya cuma kita sendiri yang perlu memilih mempergunakannya ke arah kebaikan atau sebaliknya. Banyak perkara yang dapat dilakukan melalui laman sosial. Susah juga masa sekarang ni kalau takde bende ni.

Melalui laman sosial kita boleh terus berhubung dengan keluarga yang jauh di mata dekat di hati tu. Bolehlah kita update keadaan latest keluarga di rumah walaupun kita berada jauh dari keluarga. Kan mudah tu boleh chit chat dengan family citer panjang lebar pun takpe.

Laman sosial juga membuka peluang perniagaan. Kan ramai sekarang ni orang niaga guna facebook la ape la tu. Jual baju, jual jam, jual accessory, kasut, dan macam-macam lagi la. Bolehla buat pendapatan sampingan. Hanya perlu terima order dan post je takpun COD (cash on delivery/terima tangan ke tangan).

Berita dapat disebarkan dengan pantas, cepat dan laju. Ceh macam slogan polis yang lama tu je; mesra, cepat dan betul. Bukan berita semasa je, kadang-kadang pengumuman ke apa ke kan mudah disampaikan melalui laman sosial. Tapi kalau orang lain pun rajin buka laman sosial tu cam kamu la. Tapi yang pasti still boleh dijadikan satu alternatif.

Juga, melalui laman sosial kita boleh berbincang dengan rakan-rakan dalam satu group sekaligus dalam satu masa. Buatlah group sekolah ke, coursemate ke, family terdekat ke, group usroh pun bleh buat tuk bincang hal-hal agama. Kalau yang group sekolah atau coursemate tu bolehla bincang pasal assignment. Kan elok tu.

Jemputan juga boleh dilakukan di laman sosial. Majlis kahwin, aktiviti santai, majlis doa selamat dan macam-macam lagi boleh juga dilakukan melalui laman sosial. Tapi sebagai satu alternatifla ye. Yang dah memang patut guna kad jemputan tu terpaksalah guna juga. Kad kad juga, facebook facebook juga. Eh! Ni dah macam promote facebook dah ni.

Banyak lagi sebenarnya, apa kata sama-sama kita fikirkan. Duduk betul-betul lalu mari kita sama-sama fikir kebaikan-kebaikannya, jangan lupa juga keburukannya seperti yang telah kita bincangkan sebelum ni. Okay selamat menempuh hari-hari anda dengan penuh ceria.

Sunday, May 15, 2011

Bahaya Laman Sosial

Baru sahaja tadi peti ajaib dalam rumah saya menyiarkan tentang keburukan laman sosial. Banyak sudah berita sebegini digemparkan melalui akhbar-akhbar, media cetak, media elektronik dan yang sewaktu dengannya. Segala berita dapat disalurkan dengan cepat dan pantas tatkala media massa yang ada menjalankan peranan yang sewajarnya. Itulah baiknya media massa ni bila kena pada tempatnya.

Melalui media massa banyak berita-berita yang boleh membuka mata rakyat terhadap isu-isu yang diutarakan. Namun, masih ramai jua yang sengaja memejamkan mata. Harap kita semua taklah macam tu. Sentiasa celik mata malah minda juga hendaknya. InsyaAllah.

Kita kupas mengenai keburukan laman sosial jom. Ala..yang gitu-gitu tu. Yang korang dok klik-klik, tekan-tekan hantar komen kat member tula. Buat-buat tak tau pulak.

Pertama sekali, laman sosial ni kadang-kadang boleh buat kita leka. Eh bukan kadang-kadang lagi, selalu sangat dah. Jangan tak mengaku. Leka punya pasal lah kita tak siap kerja sekolah, lupa basuh baju, lupa tutup api nasi (hah makan nasi rentung la kau.) dan macam-macam lagi. Jangan sampai solat lima waktu dijamakkan dalam satu waktu dah la ye. Sepatutnya kita utamakan yang perlu dahulu. Selalu orang cakap hobinya bermain komputer tapi kalau dah sepanjang hari menghadap komputer bukan hobi lagi dah tu. Hobi kan buat masa terluang je. Tak gitu?

Ramai orang tak sedar yang laman sosial ni boleh jadi punca penyebaran fitnah. Tak caya? Kadang-kadang kita gaduh main-main pun orang ingat betul-betul. Yang duk tayang gambar berkepit-kepit dengan bukan muhrim tu, kat tempat yang meragukan pulak tu apatah lagi orang duk mengata. Janganla duk tayang-tayang dan lagi janganlah duk berkepit-kepit tu, kawan.

Statistik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan bahawa berlaku satu kes penceraian bagi setiap 15 minit. Wow! Salah satunya berpunca daripada kecurangan yang bermula daripada laman sosial. Macam mana tu? Pertama, cari-cari nama kekasih lama lepas tu hantar mesej bertanya khabar, makin lama makin rapat semula, buka kisah-kisah lama, pastu sendiri mau ingatla. Usahlah gatal tangan nak tanya-tanya khabar. Lainlah kalau terjumpa kat luar lalu tegur sebagai tanda hormat. Jangan dipanjangkan lagi pula. Ingat anak bini, bang. Kesian kat isteri/suami yang setia bersama dan juga anak-anak tu. Ada pulak tu, mat bangla, mat pet, mat togak semua dia layan. Camne tak runtuh institusi kekeluargaan. Dunia...dunia...

Selain itu, laman sosial pun boleh dijadikan tempat menyebarkan dakyah-dakyah yang menyesatkan, berita yang tidak benar dan sebagainya. Fanpage la apa la kan ada macam-macam sekarang ni. Pastu ramai pula yang sokong kalau rasa sesuatu tu macam betul je. Baru macam, bukan betul-betul sahih lagi. Biasala orang kita, mudah sangat termakan kata-kata. Tak hairanlah kaum Melayu jugalah paling ramai tertipu dan ditipu. Patutlah Tipah tertipu, tak pernah pulak dengan Teresha tertipu ke, Talia tertipu ke. Hati lembutla katakan. Kelembuatan bukan kelemahan ye, tapi dah sendiri yang menonjolkan kelembutan tu sebagai kelemahan apa boleh buat. Orang lain tak boleh tolong, ah long lagilah tak boleh tolong, jadi polong bolehla.

Jaga-jaga pula yang terlebih mempersembahkan gambar masing-masing kat laman sosial tu. Orang sekarang ni macam-macam perangai lagi-lagi dengan kecanggihan teknologi. Tak pasal-pasal muka kita kena copy paste dan disalahgunakan. Nak letak gambar tak salah untuk orang kenal kita cukupla. Ni sampai 300 pictures, 300 300 pictures tu pulak semua muka gambar passport je. Cuma mimik muka je lain apekehenyo. Dan seelok-eloknya letaklah gambar yang tidak mendatangkan dosa kepada diri kita sendiri, tertutup auratnya, tidak mendedahkan aib orang dan sebagainya. Jangan suka-suka lalu dapat dosa pula.

“Page gua, gua punya hal la. Lu sebok buat apa.”

Terserah kepada kita sendiri bagaimana sikap keprihatinan dan hati-hati kita terhadap diri kita. Mungkin  juga melibatkan orang lain. Ya, pasti ada penglibatannya jangan pula kita yang buat-buat macam tak ada. Perkara yang kecil jua boleh menjadi besar jika dibiarkan berterusan. Sama-sama kita beringat ya.

Kura-kura labi-labi, buat-buat buta meranalah diri.

Monday, May 2, 2011

Kelebihan Solat: Sedikitnya Mereka yang Sedar



أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة من عمله الصلاة فإن صلحت فقد أفلح و أنجح و إن نقضت فقد خاب و خسر


Rasulullah SAW bersabda : perkara pertama yang akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak adalah solat, oleh itu, jika seseorang hamba itu baik solatnya maka dia akan mendapat kejayaan dan sebaliknya pula jika dia tidak menyempurnakannya, dia akan mendapat kekecewaan dan kerugian.
[ Diriwayatkan oleh At-Tabrani ]

Solat itu tiang agama. Jika tiada solat, goyang dan runtuhlah agama. Begitulah gambaran pentingnya solat. Namun, dunia kini lebih disibukkan dengan perkara-perkara yang menyingkirkan solat dalam jadual harian manusia. Kadang-kala bukan tiada masa, malah sengaja tidak diendahkan masa terluang untuk bersolat itu. Bayangkanlah yang bershopping di shopping complex ada saja yang sengaja menganggap surau tidak wujud di complex tersebut. Ada pula yang sudah berada di depan mata tetapi mungkin mata hatinya tidak terlihat akan indahnya suasana solat itu. Hanya menunggu sahabat selesai sembahyang di dalam, dia berzikir menekan butang handphone di luar. Satu ilustrasi yang berlaku di shopping complex.

Semasa saya menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2007, jurulatih program amat menitik beratkan solat. Siapa saja yang lewat ke surau untuk solat berjemaah akan didenda. Kelakar rasanya ketika itu kerana ada denda tu, kena berlari angkat tilam sebab bangun lewat Subuh. Selalu orang yang berada di atas, sekarang hah rasa pula tilam yang berada di atas. 

Pada beberapa hari di awal program itu jurulatih ada bertanya siapa yang tidak tahu bacaan dalam solat. Semua nampak malu-malu nak angkat tangan. Adalah dalam 20 orang yang mengaku. Tetapi selepas ditanya semula, ditapis, rupanya kira-kira 60 orang lelaki dan 50 orang perempuan daripada 400 pelatih tidak hafal beberapa bacaan dalam solat. Saya terkejut pada masa itu, yalah usia sudah menjangkau 18 tahun. Jadi boleh dianggarkan kira kira 25% -30% daipada jumlah keseluruhan pelatih. Ramai tak?

Okey tu cerita semasa PLKN, sumber daripada akhbar Metro Harian pula mengatakan seramai 70% rakyat Malaysia tidak mengutamakan solat 5 waktu sehari semalam.70% tuuuuu..WOW! Maknanya hanya 30% sahaja yang benar-benar menjaga solat. Jadi, saya tidak hairanlah kenapa semasa PLKN tu ramai yang tak tahu bacaan dan tak tahu membaca jawi. Mungkin kerana lupa kerana tidak mempraktikkan solat dan mungkin juga tidak dibesarkan dengan suasana Islam. Malah untuk sesetengah pelatih, semua bacaan yang diajar terpaksa ditukar dalam sebutan rumi. 

Solat ini mempunyai banyak kelebihan. Allah Maha Bijaksana pasti menetapkan sesuatu itu ada hikmah yang tersembunyi supaya kita berfikir lalu sedar akan kekuasaan-Nya.

1) Mencegah perkara keji dan mungkar

"Sesungguhnya solat (yang sebenarnya) itu dapat menghindari diri kamu daripada perkara-perkara keji dan mungkar." (Surah Al-'Ankabut ayat 45)

InsyaAllah dengan solat kita selalu berjaga-jaga untuk melakukan perkara yang mungkar. 5 kali kita diingatkan dalam sehari.

2) Regangan otot

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh.”
-Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya

3) Memberi ketenangan

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang.”
-Ng Siew Chok

EEG (Electroencephalography) sejenis alat yang digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. Beliau dapati, tamakninah ketika berdiri seketika sebelum sujud itu merupakan keadaan yang paling tenang di mana gelombang alfa meningkat dengan mendadak. Selain itu, beliau berkata solat dapat meningkatkan fungsi otak untuk bersedia menghadapi sesuatu cabaran.

4) Melatih disiplin masa

Solat 5 waktu tu bukan boleh dilakukan bila-bila masa. Tak boleh juga sekali gus menunaikan kelima-lima solat tersebut. Namun, ianya sudah ditetapkan masa-masa tertentu untuk menunaikannya. Jadi, kita akan terlatih melakukan sesuatu perkara dalam masa yang ditetapkan. Be punctual bak kate orang putih.

5) Mengalirkan cas positif

Ketika solat berjemaah, bahu-bahu yang bersentuhan akan menyebabkan cas-cas positif mengalir. Orang yang bertenaga mengalirkan cas postitif kepada orang yang keletihan. Itu pasallah kita tengok orang yang selalu solat berjemaah ni nampak bertenaga je selalu. Dah lah dapat pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian, kebaikan kepada tubuh pun 27 macam yang kita dapat, mungkin.

6) Melegakan sakit pinggang

Postur yang sesuai ketika solat dapat merawat sakit pinggang lagi-lagi ketika solat tarawih. Laa yang kita lakukan tiap-tiap malam bulan puasa tu. Hasil kajian Dr. Fatimah Ibrahim membuktikan perkara tersebut.

7) Menurunkan tekanan jantung

Apa yang menarik, hasil kajian pakar pesakit jantung menyatakan denyutan jantung berada pada tahap yang paling rendah ketika bersujud. Jadi, terapi solat telah diperkenalkan kepada pesakit-pesakit jantung pada masa kini.

Hah nampak kan berapa banyak kelebihannya? Itu baru beberapa dan mungkin banyak lagi. Jadi, marilah kita  ceriakan hidup dengan solat. Jangan lupa solat yee..

Alhamdulillah Masjid Dibina




Assalamualaikum wbt.

Semoga sihat dan ceria selalu saudara saudari, semakin ceria dan yang paling penting, sentiasa di bawah redha Ilahi. Segala sesuatu yang kita lakukan semalam, hari ini, dan  esok moga-moga sentiasa diberkati. InsyaAllah.

Membina masjid pasti memerlukan bajet yang besar. Tahniah kepada yang bermurah hati mewakafkan masjid untuk kegunaan masyarakat setempat. Anda telah melabur saham akhirat selagi masjid tersebut digunakan. Untung tak? Manakan tak untung kalau masjid tu digunakan untuk 5 generasi akan datang. Itu kalau 5 generasi, kalau lebih? Berapa ramai pula yang mengimarahkan masjid itu? Tahniah lagi sekali.

Sekarang kita beralih pula kepada perkahwinan. Orang kata berkahwin ni umpama bina masjid juga kan?

"Hah kenapa pulak? Pandai-pendai je kau ni."

Yela bila berkahwin kita akan menambah bilangan umat nabi Muhammad. Dengan generasi baru itulah kita akan terapkan nilai-nilai murni berasaskan Islam atau dengan kata lain membentuk umat gemilang. Samalah dengan fungsi masjid iaitu tempat menyebarkan ilmu pengetahuan untuk membentuk insan kamil dan gemilang.

Tanggal 1 Mei 2011, sepupu lelaki saya selamat diijab kabulkan di masjid bertempat di Batang Kali, Selangor. Cucu ke 5 bagi nenek dan datuk saya berumur genap 20 tahun pada bulan Oktober nanti. Majlis dijalankan secara sederhana tetapi cukup memuaskan. Tiada kekurangan yang nyata dalam majlis tersebut.

Tahniah kepada sepupu saya ini kerana berjaya memulakan langkah awal. Semoga perkahwinannya diberkati Allah dan berkekalan kasih sayang antara keduanya.

Saya menghormati keputusannya untuk berkahwin awal. Sudah bekerja dan rasanya tiada sebarang halangan baginya untuk menjalani hidup berpasangan. InsyaAllah hikmah berkahwin awal ini menyebabkan dia lebih cepat matang dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini. Bolehlah berkongsi pengalaman baik dengan sepupu-sepupu lain selepas ini.

Mari sama-sama kita panjatkan doa kepada pengantin baru ini, semoga sepupu saya dan isterinya sentiasa dicucuri rahmat dan sentiasa mendapat keberkatan Allah s.w.t. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...