Pages

Friday, August 13, 2021

Bertahan atau Menyerang?

     Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang disebabkan keadaan pandemik global yang membimbangkan, ramai terkesan dengan bencana yang melanda. Kerajaan melancarkan pelbagai subsidi demi membantu meringankan beban rakyat namun bencana kali ini begitu panjang. Kita masih tidak pasti bila ianya akan berakhir dengan kehadiran varian-varian virus baru Covid19 seperti varian Delta dan Lambda.

    Begitu ramai rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja dan tidak boleh bekerja secara normal. Kita sudah belajar daripada keadaan ini. Mungkin kita boleh mula bersiap menghadapi bencana yang lebih teruk pada masa akan datang.

Sediakan "Financial Sponge"

    Ya, boleh kita panggil ini sebagai dana kecemasan. Paling kurang 3 bulan gaji. Disyorkan setiap orang ada simpanan 6 bulan gaji. Semakin hampir nak pencen, sediakan 12 bulan gaji. Simpanan kecemasan ni jangan pula kita guna untuk beli rumah atau bayar ansuran tahunan kereta. Kecemasan yang dimaksudkan itu ialah hanya apabila kita hilang sumber pendapatan. Sementara mencari sumber pendapatan yang baru, bolehlah kita gunakan dana kecemasan ini. Ini kita letakkan sebagai sistem pertahanan.

Gandakan Duit

    Buat kerja tambahan, dapatkan dividen simpanan, lakukan pelaburan dan simpan aset merupakan beberapa cara supaya duit yang kita ada dapat dikembangkan. Itu semua terbahagi kepada pendapatan aktif dan pasif. Pelbagaikan teknik menggandakan duit supaya setiap satunya dapat berjalan seiring. Jika tersekat salah satu, yang lain masih boleh berjalan. Ini kita letak dalam sistem serangan kita.

Wujudkan "Income Replacement"

    Apa jadi jika sesuatu musibah terjadi dalam masa kita sediakan simpanan kecemasan dan mengekalkan sumber pelaburan kita? Hayat kita mungkin tidak lama. Kesihatan kita mungkin bukan sentiasa baik. Hari yang cerah mungkin tiba-tiba akan datang hujan. Jadi, pastikan kita sediakan takaful sakit kritikal, hilang upaya kekal dan kematian sebanyak 10 tahun gaji. Kalau benar-benar tidak mampu pun, sediakan semampu yang boleh. Boleh tambah lagi bila mampu kemudian.

    Jadi, nak pilih mana satu? Bertahan atau menyerang? Jawapannya dua-dua. Segera menyerang apabila telah wujud sistem pertahanan. Namun apa yang paling perlu disegerakan? Hah ni yang paling penting. Mulakanlah dengan melabur dalam ilmu pelaburan. Itu dia pelaburan yang pasti menguntungkan. Ilmu yang betul pasti membuatkan pengalaman kita lebih indah bak kata orang Perancis.


    

Tuesday, February 16, 2021

Wahai Pencinta Wanita

~Aku memang pencinta wanita~

~Namun ku bukan buaya~

~Yang setiap pada seribu gadis~

~Ku hanya mencintai dia~


Lain macam ni bro..Bukan main ye..Berbunga-bunga nampak. Muka ganas hati jiwang.

Kehadiran cinta sangat membahagiakan setiap orang. Lagi-lagi cinta ketika remaja di mana rata-rata fikiran remaja tidak tertumpu ke banyak arah. Masing-masing berlumba untuk menjadi pasangan paling romantik dan sentiasa memberikan komitmen. Walau komitmen tersebut hanyalah dibuat-buat lantas terhapus apabila sudah hilang nikmat dan kehangatannya.

Hakikatnya, apabila cinta bertandang sama ada sebelum berkahwin atau selepasnya, ia datang bersama ujian. Ujian apakah itu?

Ujian ke atas tanggung jawab kita memelihara kesucian cinta. Andaikata keadaan semasa memerlukan kita menumpukan kepada sesuatu perkara, contohnya belajar, sebaiknya elakkan daripada terjerumus ke dalam cinta yang tidak pasti. Bawa diri kita kepada cinta yang pasti iaitu dengan menuntut ilmu. Allah pasti mencintai orang yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Yang mana ilmu tersebut akan digunapakai dalam mengharungi kehidupan dan menemui cinta sejati nanti. Cinta sejati berupa jodoh di kemudian hari.

Wahai pemuda-pemuda,

Apa benar kita mencintai seseorang wanita andai kita membawa dia khayal dilamun cinta dan membelakangkan tanggungjawab semasa? Sungguh itu tidaklah sikap pencinta wanita. 

Wanita-wanita ini rapuh hatinya. Mudah tersentuh dengan bait-bait cinta. Jika benar pencinta wanita, kelemahan wanita ini jangan kita persenda. Bantu mereka mengenal cinta walau mereka yang datang menyapa.

Sudah pasti pencinta wanita sebaik mungkin menjaga maruah wanita.

Pencinta wanita sudah pasti mendorong wanita menggapai tujuan hidup yang utama.

Pencinta wanita pasti tidak menabur kata-kata dusta dan harapan tidak bertuju hala.

Wahai pemuda-pemuda,

Tidak ada yang rugi jika hilang cinta manusia. Cinta manusia boleh jadi menjauh dari cinta Pencipta. Sedangkan cinta Pencipta pasti datang bersama cinta manusia. Itulah kebenaran cinta.

Pabila nanti kau sudah berkeluarga, pasti wanita yang diamanahkan untuk hidup bersama denganmu itu adalah sebaik-baik anugerah. Walau tidak pernah bercinta, walau tidak pernah duduk berdua, kini bahtera dilayari bersama. Belayar dengan tujuan yang sama lalu menggapai syurga.

Semoga dengan cinta, mudah jalan kita ke syurga bukan mendekatkan kita ke neraka. Mari jadi pencinta yang benar-benar membawa cinta! Ayuh!

Wednesday, January 6, 2021

Wahai Lelaki, Nafkah Kita ke Mana?

 


    Sebagai ketua keluarga, nafkah merupakan satu perkara penting yang perlu dititik beratkan. Benar, ketaatan seorang lelaki tidak berubah selepas berkahwin. Masih perlu mengutamakan ketaatan kepada ibu bapa terlebih dahulu. Namun, dari segi nafkah isteri merupakan yg paling utama selepas diri sendiri.

    Kita kadang-kadang lupa isteri kita bila nak beli sport rim kereta. Kita lupa kasut isteri kita dah rosak. Kasut kereta yang tak rosak kita beli. Beli dua-dua la baru macho. Beli dahulu kasut isteri, baru beli sport rim kereta. Kan macho gitu.

    Rezeki dalam sesebuah keluarga tu insyaAllah pasti akan bertambah jika kita mengutamakan yang utama. Berilah keutamaan kepada yang utama, kerana itu ciri-ciri orang berjaya. Tak caya? Boleh selidik kisah-kisah insan berjaya seperti Ibn Taimiyah, tokoh ekonomi Islam, Ibnu Sina dan Al-Khawarizmi, ilmuan Islam. Moga bermanfaat.

Tuesday, November 24, 2020

Hidup Untuk Memberi, Bukan Untuk Meminta-minta

 Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Amat banyak kurniaan Allah ke atas diri kita ini. Sering kita terlupa saat ditimpa musibah. Saat diri bersedih. Saat perjalanan hidup tidak seperti yang didambakan.

Apabila bersedih, mari kita gembirakan hati orang. InsyaAllah kita bakal gembira dengan membahagiakan orang lain. 

Pernah cuba tidak bila kita beri sesuatu kepada orang lain, dia tersenyum gembira menunjukkan rasa syukur. Itu sangat membahagiakan. Ianya berbeza dengan kita menerima sesuatu dan rasa gembira mendapatkannya.

Dalam banyak perkara, kita perlu membuatkan orang lain bahagia terlebih dahulu sebelum kita benar-benar bahagia. Membuat orang lain berasa selesa dengan kita. Membina kepercayaan terhadap kita. Menyemai kasih-sayang dalam diri setiap ahli keluarga. Natijahnya setiap yang berada di sekeliling kita akan bahagia. Ini yang menimbulkan susasana yang bahagia.

Nah. Apa kita tidak dapat lagi bagaimana menyemai bahagia? Mulakan dengan memberi. Bukan hanya meminta-minta. 

Saturday, September 26, 2015

Teruskan Azammu. Usah Berhenti Pada Kejayaan Kecil.

"Allah..Allah..Allah..Aku bersyukur ya, Allah. Di sebalik kepahitan yang tercalit, membuatkan aku lebih tabah. Tetapkanlah aku atas jalan-Mu ya, Allah."

Dingin suasana pagi menghamburkan rasa kenikmatan. Kita masih lagi kuat berdiri. Matlamat semalam masih digenggam erat. Usah gelincir lagi.

Mehnah-mehnah kehidupan menanam pasak dalam jiwa muslim. Tidakkah kita sedar? Begitu hati berpegang pada takrifan ubudiyyah membawa kepada kejituan rohani.

"Yeeeehaaa!! Aku berjaya. Aku gembira."
Ya, bergembiralah. Namun, usah lalai dengan kejayaan kecil itu. Anggaplah ia motivasi untuk mencapai kejayaan yang hakiki.

Semalam..Jika kelakuanmu batil, perbetulkan..Simpan dalam hati. Itu aibmu kerana kesalahan kamu sendiri.

Semalam..Jika kelakuanmu benar, namun kamu tetap gagal. Usah disesalkan. Mungkin caramu tidak sesuai dengan keadaan. Di sini kita belajar daripada kesilapan.

Teruskan melangkah. Perjalanan masih jauh, namun tidak mustahil untuk digapai..


Wednesday, April 8, 2015

Bila Saatnya Kita Kecapi Bahagia?


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?

Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?

Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?

Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.

Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent  berbanding suka dan duka.

Persoalannya, bilakah kita bahagia?

"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.

Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?

"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."

"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."

Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.

Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?

Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.

Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.

Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.

Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?

Ianya SEKARANG!

Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.

Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.


Monday, February 16, 2015

Kepentingan Membaca di Kalangan Kanak-kanak

Iqra'.

Perkataan pertama yang disampaikan pada detik permulaan Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasulullah. Apakah yang dapat kita belajar dari situ?

Okay, betul. Tapi bukan hanya sejarah dan hukum tajwid sahaja. Fikirkan.

Permulaan al-Quran itu adalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk membaca. Bukan solat, puasa atau zakat yang disampaikan kepada nabi. Baca! Itu yang pertama.

Benar pepatah Melayu mengatakan membaca itu jambatan ilmu. Memang benar ilmu itu boleh dicari dengan menuntut di bawah guru yang ahlinya, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Saya akui keberkesanan membaca ini lebih daripada sekadar dengar. Jika dengar pun kita perlu menulis untuk dibaca di kemudian hari. Kemudian, kita baca lagi. Dan baca lagi dan lagi. Sampailah kita ingat sesuatu ilmu itu.

Kelebihan membaca ini, kita boleh pilih masa kita sendiri tanpa terikat dengan masa orang lain. Feel membaca ni lain. Macam kad raya dan ucapan raya. Lain jugak feel dia. Betul kan? Eleh tak mau mengaku. Kalau tak kenapa la kad raya masih lagi laku sampai sekarang ni.

Di Malaysia ini sebenarnya masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak tahu membaca walaupun sudah berganjak ke sekolah menengah. Dah masuk alam remaja itu. Saya memandang ini sebagai satu kerugian. Rugi pabila mereka kurang upaya mendapatkan ilmu daripada sumber bacaan. Lihatkan di mana-mana pun konsep belajar itu perlu ada kemahiran membaca dan memahami.

Sungguh rugi bukan? Khususnya kepada anak-anak sebangsa dan seagama dengan kita.

Berapa ramai antara mereka yang sudi menghadirkan diri ke majlis ilmu. Ceramah agama? Perdebatan isu semasa?

Tidak ramai...

Mereka ini kadang-kala senyap-senyap membeli sumber bacaan untuk mendapatkan ilmu. Itu bagi yang boleh membaca. Bagaimana mereka...mereka yang tidak pandai membaca? Ini suatu perbincangan yang besar.

Kanak-kanak perlu diajar untuk membaca. Sampai lancar. Sampai faham apa yang mereka baca. Ibu bapa jika tidak tahu menasihatkan anak, tidak pandai berleter, malu menegur takut dilabel tidak sporting sila dengan senyap hadiahkan anak dengan buku-buku keagamaan dan pendidikan.

Itu usaha kita. Biarlah sedikit usaha itu, usaha yang seakan tidak nampak itu dapat membuahkan satu individu yang celik. Bukan individu yang tidak terbimbing oleh kerana kealpaan kita.

Membaca boleh dijadikan sebagai hobi. Jika kita berjaya menjadikan membaca ini hobi di kalangan kanak-kanak, lebih mudah untuk kita menyampaikan maklumat yang berguna. Bila sudah pandai membaca lebih-lebih lagi sumber bacaannya elok-elok dan bermanfaat, saya yakin mereka akan lebih terbuka untuk mendengar pula. Mendengar isu perbincangan yang sama dalam versi suara. Saya yakin!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...