Pages

Monday, February 16, 2015

Kepentingan Membaca di Kalangan Kanak-kanak

Iqra'.

Perkataan pertama yang disampaikan pada detik permulaan Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasulullah. Apakah yang dapat kita belajar dari situ?

Okay, betul. Tapi bukan hanya sejarah dan hukum tajwid sahaja. Fikirkan.

Permulaan al-Quran itu adalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad untuk membaca. Bukan solat, puasa atau zakat yang disampaikan kepada nabi. Baca! Itu yang pertama.

Benar pepatah Melayu mengatakan membaca itu jambatan ilmu. Memang benar ilmu itu boleh dicari dengan menuntut di bawah guru yang ahlinya, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Saya akui keberkesanan membaca ini lebih daripada sekadar dengar. Jika dengar pun kita perlu menulis untuk dibaca di kemudian hari. Kemudian, kita baca lagi. Dan baca lagi dan lagi. Sampailah kita ingat sesuatu ilmu itu.

Kelebihan membaca ini, kita boleh pilih masa kita sendiri tanpa terikat dengan masa orang lain. Feel membaca ni lain. Macam kad raya dan ucapan raya. Lain jugak feel dia. Betul kan? Eleh tak mau mengaku. Kalau tak kenapa la kad raya masih lagi laku sampai sekarang ni.

Di Malaysia ini sebenarnya masih ramai lagi kanak-kanak yang tidak tahu membaca walaupun sudah berganjak ke sekolah menengah. Dah masuk alam remaja itu. Saya memandang ini sebagai satu kerugian. Rugi pabila mereka kurang upaya mendapatkan ilmu daripada sumber bacaan. Lihatkan di mana-mana pun konsep belajar itu perlu ada kemahiran membaca dan memahami.

Sungguh rugi bukan? Khususnya kepada anak-anak sebangsa dan seagama dengan kita.

Berapa ramai antara mereka yang sudi menghadirkan diri ke majlis ilmu. Ceramah agama? Perdebatan isu semasa?

Tidak ramai...

Mereka ini kadang-kala senyap-senyap membeli sumber bacaan untuk mendapatkan ilmu. Itu bagi yang boleh membaca. Bagaimana mereka...mereka yang tidak pandai membaca? Ini suatu perbincangan yang besar.

Kanak-kanak perlu diajar untuk membaca. Sampai lancar. Sampai faham apa yang mereka baca. Ibu bapa jika tidak tahu menasihatkan anak, tidak pandai berleter, malu menegur takut dilabel tidak sporting sila dengan senyap hadiahkan anak dengan buku-buku keagamaan dan pendidikan.

Itu usaha kita. Biarlah sedikit usaha itu, usaha yang seakan tidak nampak itu dapat membuahkan satu individu yang celik. Bukan individu yang tidak terbimbing oleh kerana kealpaan kita.

Membaca boleh dijadikan sebagai hobi. Jika kita berjaya menjadikan membaca ini hobi di kalangan kanak-kanak, lebih mudah untuk kita menyampaikan maklumat yang berguna. Bila sudah pandai membaca lebih-lebih lagi sumber bacaannya elok-elok dan bermanfaat, saya yakin mereka akan lebih terbuka untuk mendengar pula. Mendengar isu perbincangan yang sama dalam versi suara. Saya yakin!

Tuesday, February 10, 2015

Berikan Aku Masa Lalu

Masa lalu. 

Sesuatu yang selalu manusia sesali akannya. Kalau boleh, mereka akan meminta kembali ke masa lalu dan membetulkan kesilapan. Begitulah keadaannya manusia di akhirat nanti. Mereka memohon kembali ke dunia setelah mereka yakin dengan azab Allah.

Sedari di dunia lagi, manusia yang menghabiskan waktunya dengan sia-sia berasa sesal atas usianya. Mereka menyesal kudrat dah tenaga ketika muda dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak bermanfaat.

Namun, itu masa lalu.

Kita tidak mungkin kembali ke masa lalu. Jadi bagi pemuda yang sedar, rancanglah setiap tingkah-lakumu. Usah gagal merancang kerana gagal dalam merancang sudah tentu gagal sejak dari awal lagi.

Menyesali masa lalu bukan bermakna kita sudah tiada harapan lagi. Yang sudah itu biarkan ia berlalu. Tiada lagi daya yang mampu kita lakukan untuk mengubahnya. Fokus kepada masa hadapan, sesuatu yang dapat kita ubah dan berusaha jadikan ia terbaik.

Jangan bilang tidak mampu.

Haih. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Jika kita benar-benar mahu yang terbaik, mengapa tidak kita berusaha sebaik mungkin. Jika dahulu kita gagal, dengan usaha maka masa hadapan pasti ada peratusan untuk lebih berjaya. Tidakkah begitu?

Lihat pada diri sendiri. Insan lain mempunyai kudrat yang sama dengan kita malah ada yang boleh dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya. Dia masih mampu berusaha. Dia boleh pula capai yang lebih baik daripada kita. Masih lagi mahu berkata tidak?

Duduklah sebentar seusai solat. Renungi tajam tempat sujud. Fikir sedalamnya menghembus nafas berselang istighfar. Kemudian, tanyakan pada diri ",Bagaimana aku sekarang ini?"

"Bertindak!!," gema hati berteriak.



Jangan terlalu memikirkan
masa lalu, tak ada apa yang mampu dilakukan untuk mengubahnya. Berikan yang terbaik saat ini, kecapi masa depan yang lebih baik.
 

Friday, February 6, 2015

Mengejar Sempurna

"Ayah mahu anak ayah semuanya pandai kemudian sihat, baik dan sopan-santun. Jangan ada sorang pun yang gagal ketika periksa hujung tahun ini."
Anak-anak mendengar dengan penuh hemat. Risau kalanya jika mereka tidak memenuhi piawaian bapa mereka.

Sungguh tegas En. Kamil mendidik anak-anaknya. Tidak hairanlah anak-anaknya turut sahaja segala arahannya. Sesuai dengan namanya, memang En. Kamil mementingkan kesempurnaan.

Hakikatnya, kesempurnaan tidak mungkin dicapai oleh manusia. Kerana hanya Allah bersifat dengan sifat sempurna. Bagaimanapun, menjadi lebih baik dari sehari ke sehari sudah merupakan tanggungjawab manusia itu sendiri. Bukan mengejar kesempurnaan, namun keutuhan diri dalam sentiasa beramal soleh itu matlamat kita.

Tegas yang ada pada diri pendidik memang patut ada. Namun, adakalanya sifat penyayang juga perlu diserlahkan. Natijahnya, insan-insan didikan akan berasa selesa untuk meluahkan masalah. Mereka lebih mudah membuka bicara. Penyayang. Jangan sekali ia diabaikan.

Memang kita kiranya mahukan semuanya terbaik. Namun, manusia ini selalu khilaf. Berhikmah dalam mendidik adalah satu timbangan berat dalam sesebuah neraca kehidupan. Hikmah bukan bermakna hanya berlemah-lembut. Hikmah itu di mana kita menyesuaikan cara didikan kita mengikut keadaan. Tegas, agresif dan keras pada waktunya. Lembut, sabar dan dingin pada waktu lainnya.

Diri kita ini, mungkinkan kita tidak pernah melakukan kesilapan? Jangan bohong kepada diri sendiri. Kita boleh berbohong kepada keadaan tetapi kita tidak dapat berbohong kepada hati kita. Kerana hati adalah pusat segala tindak-tanduk kita. Maka, bukan sempurna yang kita cari. Keutuhan hati mengejar kebaikan yang kita perlu selami.

Mari sematkan ke dasar. Dasar Hati!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...