Pages

Tuesday, December 30, 2014

Gerakkan Masa Hadapanmu

"Alhamdulillah, ya Allah. Kau berikan nikmat atas segala yang aku usahakan selama ini. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin-Mu, ya Allah," Ahmad mengucapkan syukur seusai solat qiam. Hujan menitis menyelusuri celahan batuan. Ikan-ikan bermain di dasar kolam kecil inspirasi sang pemuda itu. Tenang wajahnya melihat landskap hujung ruang solat itu.

Ahmad. Dahulunya seorang pemuda kampung yang mengembara ke bandar. Beberapa kali ditipu oleh jiwa-jiwa manusia yang dihimpit kegelapan. Namun, dari situ Ahmad belajar. Belajar memperbaiki persepsi terhadap orang sekeliling dan dirinya sendiri. Diri sendiri? Manakan tidak. Dia terus memperbaiki persepsi yang dihambat atas dirinya..

Seperti sukar diterjemah. Bagaimana pula jika kita lihat diri kita dari cermin? Apakah persepsi kita terhadap diri kita sendiri? Cantik? Lawa? Hensem? Alhamdulillah. Kita dikurnikan kecantikan. Tetapi mana kekurangan kita? Sudah kita temui?

Setiap insan pasti ada kekurangan. Tidak boleh tidak jika kita tak dapat jumpa kurangnya kita. Ini masalah ni. Teliti kembali. Pasti kita temui.

Setiap bermulanya tahun baru, hampir setiap manusia ada target tertentu untuk tahun tersebut. Salah kita pada tahun lepas kita buktikan yang kita dapat perbaikinya tahun ini. Mana yang kita tak tercapai tahun lepas, kita bayar pada tahun ini.

Bagunlah. Jangan duduk lagi. Masa tidak menunggu kita. Orang beriman sentiasa peka dengan kekurangan diri. Jika tiada usaha untuk menjadi lebih baik, lama-lama diri kita menjadi kurang peka. Semua perkara dianggap remeh-temeh. Kok bisa begitu dong. Bangunlah...

Menyesal bukan bila suatu masa nanti kita tidak punyai kekuatan untuk bertindak namun keinginan itu ada? Dimanakah masa muda kita? Dimanakah kita sumbangkan tenaga kita? 

Oh, aku telah bazirkannya. Izinkan aku kembali semula. 

Tidak mahu begitu bukan?

Usaha. Bukan hanya tercetus pabila bibir berbicara. Kudrat perlu dikerah. Wah, kerah tu nampak macam berat. Sebenarnya sedikit usaha pun sudah mampu menghasilkan sesuatu yang berbeza. Percayalah, kerana itu kita perlu berusaha. Tak caya. Hah! Cubalah. Cuba..Cuba..

30 Disember 2014. Jam 1.45 pagi. Aku telah mengambil sedikit waktu rehat tubuh badanku. Hanya ada lebih kurang 46 jam untuk aku merancang perjalanan tahun seterusnya. Mungkin agak terlewat kerana perlukan sedikit masa untuk terbiasa. 

"Tidak mengapa, Yang penting engkau gerakkan usaha," Ahmad's soul whispers.

Saturday, December 13, 2014

Membuat Kebaikan Itu Tidak Bersyarat

Kenapa kita ini, selalu me-limit-kan sesuatu kebaikan itu? Kita ambil dari aspek sedekah contohnya. Kerana kita tidak kaya, kita tidak boleh menolong orang miskin. Bukankah banyak cara dan benda lain yang boleh kita gunakan. 


Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekahkan bertanya, "Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang bisa kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?"


Rasulullah SAW bersabda, "Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).


Nampak tak? Banyak cara untuk kita bersedekah. Begitu jua dengan perkara-perkara makruf yang lain. Ianya tidak terhad kepada tempat, bahan, suasana, dan individu. Jika perkara baik itu hanya pada sesuatu tempat, kita akan lihat dunia ini bagai ada tompok-tompok hitam dan tompok-tompok putih yang jelas. Bukan juga hanya terhad kepada benda ini dan benda itu yang boleh kita gunakan sebagai alat untuk melakukan kebaikan. Apatah lagi hanya melihat suasana. Pabila sedang bergembira mungkin tidak perlu dan apabila sedih sangat perlu. Tidak juga terhad kepada individu-individu tertentu ataupun terhad kepada bilangan individu sama ada berkumpulan ataupun berseorangan.

Kita ini, jika terniat untuk melakukan kebaikan perlu kita cari pelbagai jalan untuk melakukannya. Seperti juga kita inginkan hasrat kita tercapai. Kita berusaha separuh mati untuk mencapainya. Jika kita merasai nikmatnya melakukan kebaikan itu pasti kita akan bersungguh-sungguh. Tidak terasakah kita betapa nikmatnya melihat orang lain gembira? Kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa gembira dan positif fikirannya. Itu sungguh mendatangkan kebahagiaan.

Cuba kita ini bila mengetahui masyarakat kita sedang menghadapi masalah, kita tidak menuding jari kepada pemimpin sahaja. Kita bilang mereka tidak menjalankan tugas memakmurkan pemerintahan sebaiknya. Sedangkan tugas memastikan kebaikan sentiasa terlaksana itu terletak di bahu setiap insan. Kerana itu konsep jati diri yang teguh dalam Islam itu bermula daripada individu. Kemudian membawa kepada keluarga, kawasan dan daulah. Lihat, ianya perlu bermula daripada diri setiap individu.

Allah itu Maha Pemurah. Dia tidak meletakkan syarat untuk kebaikan. Jenis kebaikan apa dan bagaimana semuanya tidak terlepas dari perhitungan Allah. Jadi, mengapa kita perlu meletakkan batas dalam melakukan kebaikan. Ini satu sentimen yang rosak.

Bagaimana anda sekarang? Masih lagi ragu dalam bertindak? Ya, benar. Mungkin ada juga yang berkata kita tidak mampu bertidak pada dua tempat dalam satu masa. Jadi, konsep keutamaan kita gunakan di sini. Kita boleh mengutamakan kebaikan di kawasan-kawasan sendiri contohnya. Apa gunanya kita biarkan kawasan yang kita huni ini dalam masalah dan pergi menyelesaikan masalah di tempat lain. Itu juga perlu kita pertimbangkan.

Jadi, tunggu apa lagi. Jangan tunggu orang lain bertindak. Boleh jadi tindakan tidak kunjung tiba jika kita sendiri tidak memulakannya. Mari, sahabat!

Tuesday, December 9, 2014

Istiqamahkah Kita?


Semalam kita bersalaman dengan ibu bapa sebelum ke sekolah. Hari ini kita terus pergi tanpa sepatah bicara. Begitulah lazimnya manusia. Itu hanya satu contoh bagaimana kita menilai kelakuan kita dari hari ke hari. Adakah kita semakin baik, sama atau merosot nilainya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa kita seringkali tidak tetap dalam kelakuan kita. Izin saya sebutkan. Ianya Matlamat!

Ya, Matlamat!

Cukup. Sudah cukup kuat rasanya berteriak. Benar, jika dari awal lagi kita tidak menetapkan matlamat yang perlu kita capai, kita pasti terhenti di tengah jalan. Semuanya menjadi sia-sia apatah lagi apa yang kita lakukan hanya untuk suka-suka.

"Ya, aku ingin mencuba. Macam best je."

Dengan ayat "Aku ingin mencuba," memang bagus sekali. Cubalah dengan tujuan meraih matlamat. Tetapi tatkala ayat itu dilengkapkan dengan "Macam best je" sudah tergambar matlamat yang tidak jelas. Apakah ini akan membawa kepada istiqamah bermula saat langkah pertama dicetuskan?

Memang ada masa-masa kita jatuh. Namun, itu bukan bermakna kita perlu padamkan matlamat kita. Melainkan telah diketahui matlamat itu tidak baik untuk kita. Jarang sekali kita merancang untuk matlamat yang tidak baik bukan? Maka, itu boleh dikatakan tidak akan terjadi.

Ketika saya bekerja dalam jabatan kualiti di sebuah syarikat, semua staff dilatih untuk konsisten dalam tindakan dan bicara. Apa yang dilontarkan pada awalnya akan sentiasa sama hingga selesai satu-satu masalah itu. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pekerja berlainan organisasi. Jika awalnya betul, maka akan sentiasa betul sampai akhir. Tetapi masalahnya bila salah, akan salah sampai tiba satu peluang untuk melakukan pembetulan.

Mungkin terpaksa menipu tetapi yang baiknya semua yang dibicarakan akan konsisten sehingga masalah selesai. Kita ambil yang jernih daripada situ. Jika tidak mahu melakukan perkara yang tidak-tidak jadi perlulah bercakap yang benar tetapi tidak memberikan impak kepada syarikat sejak awal lagi.

Begitulah juga kehidupan kita.

Kita merancang dengan rapi sekali. Sudah pasti apa sahaja yang kita ingin lakukan ada objektifnya. Kemudian, langkah-langkahnya. Seperti mana pelajar aliran Sains sekolah menyediakan report kajiannya:

1) Tajuk
2) Objektif (Matlamat)
3) Pemboleh ubah (Kekangan dan alternatif)
4) Prosedur (Langkah-langkah)
5) Analisis data (Muhasabah semasa)
6) Keputusan (Pencapaian)

Lebih kurang begitulah jika kita kaitkan dengan kehidupan ini. Kerana itulah kita digalakkan memandang seluruh alam dan berfikir. Ilmu yang kita ada walaupun sedikit, kita gunakan sebaiknya bukan kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Jadi, istiqamahkan kita dalam setiap kelakuan kita? Mari kita ukur di mana kita bermula dan di mana kita sekarang. Bagaimana pula dengan matlamat kita? Hah, sudah timbul satu tanda tanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...