Pages

Saturday, September 27, 2014

Kesenangan Itu Melalaikan, Ujian Membersih Jiwa

Seringkali kita manusia ini bila dikelilingi kesenangan, kita jadi alpa. Kita menjauh daripada Yang Maha Pemberi. Lihatlah bila kita berada dalam keadaan selesa. Kita sentiasa lalai dalam dunia kita sendiri. Kita mensia-siakan masa. Lagi-lagi jarang sekali kita bermuhasabah diri dan merasakan kita sudah memiliki kejayaan yang lebih tinggi daripada insan lain.

Jangan begitu. Kesenangan itu bukan kita penciptanya. Ada juga orang yang berusaha tetapi tidak dapat mencapai kesenangan. Seperti pahlawan-pahlawan Islam dahulu yang gugur di medan perang. Tidak sempat merasa kemenangan di dunia, tetapi kesenangan di akhirat sudah menanti.

Kita juga pernah jatuh bukan?

Cuba kenang kembali saat ketika ujian melanda diri. Tanpa dipaksa terus sahaja kita menyebut, "Allah." Kita berharap pertolongan Allah segera sampai kepada kita. Kita tidak sedar ketika senang sukar sekali kita mengadu kepada Allah dan bersyukur pada setiap detik. Detik-detik selagi mana rezeki tersebut dilimpahkan.

Itulah manusia. Hakikat kesenangan itu memang tidak dapat diukur di dunia ini. Setiap ujian itu juga merupakan satu peluang untuk kita menjadi lebih senang dan tenang pada masa akan datang. Kita menjadi semakin kuat serta tabah. Lalu, ujian yang sama terasa kecil.

Bukan kesenangan itu perlu dielakkan. Tetapi, kita perlu sentiasa ingat kepada Pemberi kesenangan tersebut. Tidak lalai dan kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Itu yang perlu kita didik.

Benar. Ujian itu seringkali membersihkan jiwa.

Apabila kita lalai dengan kesenangan, tiba-tiba terjerumus jatuh ke dalam lubang yang dalam. Kita mencari-cari jalan keluar. Pada masa itu, Allah sahaja tempat kita mengadu. Kita kembali kepada fitrah iaitu rasa hidup bertuhan. Kerdil pula rasa ketika itu. Begitulah jiwa kita dibersihkan dengan hidayah Allah.

Hidup ini perlu banyak belajar daripada kesilapan insan sekeliling dan kita sendiri. Ujian yang ditimpa membawa pengajaran. Jangan dirintih kekurangan yang ada, perbaiki selagi mampu dan fokus kepada kelebihan. Semoga kita lebih bersyukur. Jelas, tiada manusia yang sempurna mengikut acuan kita dan tiada manusia yang selamanya ditimpa kesukaran. Make life easy but life wisely. Itu macam baru bagusssss.

Tuesday, September 16, 2014

Penat

Sudah penat? Penat bekerja? Penat belajar? Penat memikul tanggungjawab? Penat mengharungi luka duka dunia? Sabarlah wahai akak-akak, abang-abang. Dunia ni memang tempat berpenat-penat. Supaya di akhirat nanti kita merasa nikmat. Lagipun, selepas berpenat-penat, selalunya hasil baiknya kita dapat sejak di dunia lagi. Dengan itu kita dapat menghargai usaha sebelumnya.

Memang asam garam hidup di dunia. Bukan semua yang kita rancang, kita dapat. Sebaik-baik mana pun kita rancang, jika tidak Allah izinkan kita takkan mampu mermperolehinya. Tapi, kita masih lagi dapat. Dapat belajar bersyukur dan menerima. Malah, perancangan kita diganti dengan perancangan Allah yang lebih baik lagi.

Biasalah. Tidak semua orang di dunia ini sependapat dengan kita. Kadang-kala kita memandang orang lain dengan pandangan kita. Kita rasa orang lain juga sama pemikiran dengan kita. Itu tidak mungkin terjadi dalam semua kes. Relaks brader. Relaksss. Kita kona sikit je. Syukur jika pendapat kita pendapat yang baik. Syukur juga jika pemikiran orang lain berarah kepada kebaikan. Apa mau gaduh. Sama-sama baik kan...

Dalam dunia ini, apa yang paling susah dicapai ialah rasa senang hati semua orang terhadap kita. Buat perkara yang baik pun ada yang membenci, apatah lagi perkara jahat. Move on.  Pada masa ini, pandangan manusia tak perlu lagi diambil kira jika baik pun salah bagi mereka. Hanya teruskan dengan apa yang Allah suka. Pandangan Allah itu lebih utama.

Letakkan apa sahaja pandangan terhadap kita. Usah goyah dek mereka. Kita bukan hidup kerana manusia. Banyak perkara yang tidak perlu kita jelaskan kepada manusia. Namun, jika diberi peluang memang perlu kita jelaskan. Menghadapi manusia, makhluk yang mempunyai akal dan emosi memang memenatkan. Yakinlah suatu hari Allah akan buka hati mereka mungkin dengan penjelasan kita atau pun mungkin tidak.

Mari berpesan kepada diri sendiri. Hidup ini bukan kerana manusia, hanya redha Ilahi yang kita cari. Tepuk dada, biar hati tunduk memahami.

Monday, September 1, 2014

Disiplin Itu Tunjang Kejayaan

Salam keberkatan kepada seluruh muslimin dan muslimat, sama ada yang bersama-sama di ruangan ini mahu pun di mana kalian berada. Di mana pun anda berada, dalam situasi apa anda berada dan kerana apa anda berada di situ, semoga sentiasa memenuhi syariat. Saya pasti anda sedang lakukan sesuatu perkara dan anda inginkan ianya berjaya. Ya atau tidak. Tidak mengapa, biar saya jawab. YA!!

Seperti mana maksud Islam; satu cara kehidupan yang membawa kesejahteraan, begitu juga apa yang perlu kita amalkan dalam meniti langkah untuk berjaya. Setiap kejayaan dimulakan dengan langkah-langkah tertentu. Langkah-langkah yang telah kita atur. Langkah-langkah yang telah kita atur itu akan kita turuti satu per satu. Dari situ lahirnya disiplin. Nampak tak? Di mana-mana pun kita perlu berdisiplin. Buat apa kita atur langkah tetapi tidak berdisiplin dalam melaksanakannya.

Disiplin. Bukan sekadar coretan dalam buku disiplin sekolah.

Di mana disiplin orang muslim? Al-Quran itu disiplinnya. Ingat, akhlak Rasullullah itu al-Quran dan contoh terbaik kita Rasulullah. Ya, akhlak itu merupakan disiplin bagi seorang muslim. Kerana itu disiplin itu tidak memilih saat dan ketika, ruang dan tempat, juga masyarakat dan individu. Kerana apa kita seringkali gagal dalam mencapai impian? Kerana diri kita lemah. Lemah dalam berdisiplin. Diri culas saat keadaan sekeliling menjentik sisi hati.

Sabar, jangan mudah mengalah. Kita perlu akur tiada yang boleh kita lakukan dengan sewenang-wenangnya. Bekerja dengan disiplin kerjanya, bersahabat dengan disiplin ukhwahnya, berkata-kata dengan disiplin bicaranya. Pokoknya...ya pokoknya semuanya perlu diiringi dengan disiplin-disiplin tertentu.

Disiplin. Bukan sekadar patuh.

Jika mahu berdisiplin, bukan hanya patuh pada sesuatu yang kita rasa betul. Kita perlu belajar mana yang betul dan laksanakan yang betul. Saat itu baru kita tahu langkah yang direncana ada sedikit cela. Bagaimana kita boleh patuh jika kita tidak pasti sama ada ianya menepati syariat? Setiap satu itu ada peraturannya (syariat) dan peraturan itu perlu ditunjangkan pada setiap langkahan kita.

Maka dengan ini, mari sama-sama kita tingkatkan disiplin diri. Semoga bertemu lagi di lain masa. Akhir kata, mari sama-sama kita lakukan lonjakan semangat "Saya mahu berjaya!! Dunia dan akhirat sana!!!" 
Mengapa tidak? Kita mampu lakukannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...