Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Angkat kepala! Pandang ke hadapan! Kenapa tunduk bersedih sahaja?
Huh, sesak dada memikirkan kehidupan ini. Terasa ada yang tidak kena. Tidak puas. Mana hilangnya kebahagiaan dan ketenangan hati?
Kenapa? Kamu tidak bahagia sekarang?
Pastilah bahagia. Setiap saat saya bahagia. Sedih tadi je. Sekarang dah okay. Hihi.
Begitulah manusia. Ada masa sedih, ada pula masa gembira. Tidak semestinya ketika gembira kita sedang bahagia dan tidak pula apabila sedang sedih kita tidak bahagia. Bahagia ini bersifat lebih permanent berbanding suka dan duka.
Persoalannya, bilakah kita bahagia?
"Saya bahagia apabila saya dapat mengecapi impian saya," beritahu Sifulan bin Sifulan.
Benarkah? Alhamdulillah jika begitu. Namun, sangkaan kita seringkali meleset. Apabila berjaya mencapai impian, kita ada impian lain pula yang perlu dicapai. Jadi, bila mahu bahagia?
"Bahagianya Pak Sudin. Anak-anak bekerja bagus. Tinggal di rumah yang besar. Bahagianya..."
"Bahagianya mereka. Dulu saya kenal Hakim ni seorang yang kebudak-budakan dan sedikit nakal. Kini sudah jadi suami orang."
Maha suci Allah yang memberikan nikmat kepada hamba-hambanya. Mereka mengecapi kebahagian seperti mana terlihat dari kaca mata orang yang melihatnya.
Namun, di sebalik yang terlihat itu adakah benar mereka bahagia?
Bahagia itu bukan terletak pada alat. Kemewahan, pangkat, keluarga dan sebagainya hanyalah alat. Namun kebahagiaan sebenar terletak pada rasa syukur.
Ya. Rasa syukur yang menimbulkan rasa bahagia. Percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita. Itu dia bahagia.
Renung kembali ketika kita kanak-kanak kita tidak sabar mahu jadi remaja.
Ketika remaja kita mahu cepat menamatkan persekolahan dan masuk ke universiti.
Setelah masuk universiti kita tidak sabar mahu bekerja.
Kemudian, pasti rasa bahagia apabila dapat berkahwin.
Berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Tidak sabar pula melihat anak-anak membesar.
Menunggu kehadiran cucu pula apabila anak sudah berkahwin.
Jadi sebenarnya bila saatnya kita bahagia?
Ianya SEKARANG!
Ya, bilamana saat jiwa disuburi rasa syukur. Pastikan rasa syukur ada pada setiap saat. Jika tidak, bahagia tidak akan kita kecapi.
Moga-moga kita sentiasa bersyukur ke atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan. Bahagia itu terletak pada hati kita. Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Allahumma na'uzubika minal kufri wassyirk wannifaqi warriya'.