Salam barakah saudara saudari sekalian.
Berapa umur saudara saudari ketika ini? Oh, 20 tahun. Bukan? 24 tahun? Saya berumur 23 tahun pada tahun ini. Terasa tua jika dibandingkan dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang berusia 22 tahun dan 23 tahun ketika memimpin tenteranya menawan Konstantinopel. Usamah bin Zaid r.a menjadi jeneral ketika berumur 18 tahun dan menumbangkan Rom ketika berusia 19 tahun. Memang banyak masa yang telah dibazirkan sedangkan saya belum lagi mencapai apa-apa pencapaian besar dalam hidup.
Mustahil jika saya bercita-cita untuk menawan negara seperti mana yang telah tokoh-tokoh tersebut lakukan. Setidak-tidaknya sepatutnya saya berusaha menjadi muslim yang berperibadian tinggi. Oh, saya terasa sangat tua. Tua untuk tidak serius, tua untuk bermain-main secara berlebihan.
Rasulullah ada berpesan yang dimulakan dengan, "Kejarlah lima perkara sebelum lima. Masa mudamu sebelum masa tuamu..." Kalimah kejar itu menunjukkan ianya sangat penting. Ketika mudalah kita mempunyai tenaga yang paling optimum, kecerdasan yang paling tinggi dan segala jenis kekuatan berada di tahap maksimum.
"Alah, relakslah aku muda lagi."
Masalahnya sampai bila kita mengukur diri kita masih muda. Tambahan pula, mendidik diri bukan satu proses yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Ia memakan masa bertahun-tahun. Jika tidak kita mulai sekarang, bila agaknya kita akan dapat hasilnya. Sehingga kini saya masih belum lagi mampu menjadi anak yang taat dan berlemah lembut kepada ibu bapa sepenuhnya walaupun sudah berusaha bertahun-tahun. Begitu juga perkara-perkara lain, masih banyak yang perlu diperbaiki.
3 tahun lagi saya berusia 26 tahun, 4 tahun lagi 27 tahun dan seterusnya. Pada ketika itu cukup matangkah saya untuk menjadi insan yang berumur 26 atau 27 tahun? Sudah bersediakah saya untuk menjadi seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab, pemimpin masa hadapan yang berkomitmen, dan memimpin sebuah keluarga Islam? Mari fikirkan apakah peningkatan yang dapat kita lakukan pada setiap tahun yang akan datang. Masa yang lepas telah kita jalani, masa hadapan perlu kita jalani dengan sebaiknya pula.
Mungkin kita selama ini alpa.
Menjadi khalifah di muka bumi ini bukan suatu yang sambil lewa.
Ingatlah akan tujuan hidup di dunia.
Masa masih ada, jangan disia-sia.
Semoga sama-sama kita bangkitkan semangat yang sedang lena. Mari berusaha.
Sunday, January 29, 2012
Wednesday, January 25, 2012
Hanya Sekadar Mimpi
Mari baca kisah ini. Mari mari mari.
Suatu hari, seekor nyamuk bermimpi sesuatu yang amat mengasyikkan. Dia memberitahu rakannya, Belalang.
"Belalang, semalam aku mimpi indah sangat. Aku menikmati darah segar sehingga kekenyangan,"beritahu Nyamuk.
Belalang melihat perut Nyamuk yang kempis seraya berkata,"Wah, indah betul mimpi engkau tu."
Nyamuk tersenyum riang.
Pada keesokan harinya, bercerita lagi Nyamuk akan mimpi pada malam berikutnya.
Kata Nyamuk,"Belalang, engkau tahu semalam aku mimpi kerajaan manusia mengharamkan penggunaan segala jenis ubat dan racun nyamuk kerana mencemarkan alam. Itu sudah sangat bagus. Tak perlulah aku lari lintang pukang ketika manusia menggunakan ubat nyamuk. Wah, seronoknya!"
Belalang seronok melihat gelagat rakannya itu.
Pada hari seterusnya, Belalang sengaja bertanya kepada Nyamuk,"Engkau bermimpi lagi malam tadi, Nyamuk?"
Jawab Nyamuk dengan nada gembira,"Ya, Belalang. Kali ini lebih indah. Seronoknya aku. Kali ini pula, manusia dilarang membunuh nyamuk kerana nyamuk diiktiraf sebagai haiwan peliharaan. Suka banget aku. Kihkihkih."
Belalang hanya mengangguk. Berpusing-pusing biji matanya melihat setiap gerak tari Nyamuk. Tetapi, dilihatnya perut Nyamuk semakin kempis. Nyata rakannya itu masih lagi kelaparan. Nyamuk, nyamuk.
Hah, bagaimana? Apa yang kita dapat daripada kisah ini?
Manusia kadang-kadang hanya mampu berangan, bermimpi dan sebagainya. Lebih baik daripada itu sangat ramai yang mampu merancang. Namun, berapa ramaikah antara kita yang melaksanakan apa yang diimpikan mahupun yang dirancang. Sama-sama kita koreksi diri. Jangan biarkan mimpi hanya sekadar mimpi.
Wallahu a'lam.
Labels:
kehidupan,
motivasi diri,
perkongsian
Subscribe to:
Posts (Atom)