Tersebutlah kisah di suatu kawasan tetangga wujudlah dua buah keluarga yang berjiran. Al-kisah satu keluarga kaya dan satu lagi miskin. Suatu hari Si Kaya membeli sebuah kereta baru. Bukan calang-calang wo0, BMW keluaran terbaru tu. Maka, Si Kaya pun memandulah ke mana sahaja dengan kereta terbarunya. Menghantar anak ke sekolah, pergi kerja, balik kampung dan bersiar-siar.
Si Miskin? Bagaimana dengan Si Miskin? Hah, ni nak cerita ni. Si miskin pula hanya senyap-senyap memerhatikan kereta tersebut. Setiap kali SI Kaya memandu keluar kereta mewahnya, setiap kali itulah Si Miskin memerhati daripada jauh.
Enam bulan berlalu, kereta mewah itu masih terjaga rapi. Namun, kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi secara tiba-tiba, Telah tiba saatnya ceiling garaj rumah Si Kaya runtuh. Remuk habis kereta BMW bagaikan tin kosong dipijak oleh seseorang yang bertubuh montel.(gempal)
Lalu datanglah jirannya melihat keadaan garaj tersebut. Setibanya ke tempat kejadian, dia menangis teresak-esak. Menangis melihat keadaan BMW remuk teruk tadi.
Bertanyalah Si Kaya," Kenapa kamu yang menangis sedangkan saya pemiliknya pun tidak menangis?"
"Mungkin kerana saya terlebih rasa memiliki," jawab Si Miskin dengan esakannya. Terpinga-pinga tampaknya Si Kaya.
"Setiap hari saya melihat kereta kamu daripada jauh. Mengangan-angankan saya yang sedang memandu BMW ini. Saya merasakan saya memandu BMW ini ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan bersiar-siar dengannya. Begitu jua saat ke pasar masih juga saya terbayangkan begitu. Ketika kereta ini kotor saya membayangkan saya membasuhnya hingga berkilat. Masakan saya tidak sedih."
Si Kaya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Begitulah yang terjadi kepada Si Miskin yang terlalu kuat rasa memilikinya. Sehinggakan dia jatuh cinta dengan kemegahan kereta BMW tersebut walaupun ianya bukan miliknya. Terlalu sedih saat kehilangan dan kemusnahannya.
Begitulah yang terjadi dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita terlebih rasa memiliki sesuatu walaupun ianya bukan milik kita. Merasakan kita mesti mendapatkan sesuatu dan tidak mahu ianya jatuh ke tangan orang lain. Lalu, membenci orang yang mendapatkannya padahal kita perlu sedar ianya bukan milik kita.
Walaupun ianya milik kita, ingatlah tiada yang kekal abadi di dunia ini. Semuanya hanyalah pinjaman daripada Allah s.w.t. Pemilik segalanya. Bersyukur dengan nikmat yang diberi dan hindari kufur nikmat. Bila-bila sahaja Dia boleh menarik kembali nikmat pemberian-Nya. Na'uzubillahi min zalik.
2 comments:
smoga dijauhkn rase t'lbey mmiliki itu...^^
yup..semoga dijauhkan hendaknya..
Post a Comment