Pages

Wednesday, December 15, 2010

Tidak Suka Sikapnya. Hindari Sikap Itu.

Melihat kepada kesalahan seseorang sering membuatkan kita melemparkan tanggapan negatif kepadanya. Malah mungkin juga perasaan benci terhadap pesalah terus timbul. Tidak perlu membenci seseorang disebabkan keburukan dan kesalahannya. Pandanglah secara subjektif ke atas kesalahan tersebut dan bencilah kesalahan tersebut.

“Ish, entah apa-apalah orang itu! Menjengkelkan betul.” 

Ya, sudah menjadi fitrah manusia sebenarnya benci akan kesalahan. Melainkan mereka sendiri yang bertindak menentang fitrah. Saban hari, sedar atau tidak sedar, kita sering menempelak orang lain yang melakukan kesalahan, namun… Namun, pernahkah kita sedar kita juga barangkali sering melakukan kesalahan yang sama?

Muhasabahlah diri kita. Fikirkan kalau-kalau kita juga sering atau pernah melakukan kesalahan tersebut. Kita membencinya tetapi kita biarkan kesalahan itu berada dekat dengan kita. Itu yang perlu kita elakkan. Dengan memperbaiki diri sebegini, paling tidak kita telah mencapai selemah-lemah iman. Kita membenci sesuatu serta bertindak menghindarinya demi diri kita sendiri.

Kesalahan sesama insan 

‘Hari ini hari engkau, esok hari aku’ 

Hidup umpama roda. Sering kali perumpaan ini digunakan oleh masyarakat kita. Memang ada kebenarannya. Cuba kita lihat lazimnya kesalahan yang kita lakukan terhadap orang lain acap kali berlaku kepada kita pula. Ada kalanya kita suka merendah-rendahkan orang lain, kelak kita pula yang direndah-rendahkan oleh rakan-rakan.

Sikap kurang sopan terhadap ibu bapa selalu dikaitkan dengan keadaan timbal balik ini. Apatah lagi memang kita diingatkan bahawa dosa terhadap ibu bapa akan terbalas di dunia lagi. Mungkin semasa hayat kedua ibu bapa dan mungkin selepas hayat mereka. Sebagai contoh, kita tanpa rasa bersalah menengking ibu kita dan suatu saat nanti, tika kita sudah memiliki cahaya mata sendiri, kita pula yang menerima tengkingan. Sekadar contoh ya saudara-saudari sekalian, tiada kena mengena antara yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. :D

Seperti mana kita, seperti itu yang datang 

Kita boleh berkawan dengan semua orang, namun kawan karib kita tetap bayangan bagi diri kita.

Mana-mana kita pergi pun pasti kita akan mencari teman yang sekepala dengan kita. Cuba perhatikan bagaimana sikap rakan-rakan yang sebulu dengan kita; yang sentiasa menghabiskan masa dengan kita. Sebahagian besar sikapnya dikongsi bersama oleh kita. Mat Rock berkawan rapat dengan Mat Skema. Tidak boleh jadi. Yang boleh jadi ialah Mat Skema Hilang Rock berkawan dengan Mat Skema Tulen. Hah?

Dalam soal jodoh pula, kita boleh idamkan apa sahaja ciri-ciri pasangan yang kita berkenan. Namun, cermin diri sendiri terlebih dahulu. Adakah kita sudah memiliki ciri-ciri seperti mana ciri-ciri pasangan yang kita idamkan? Atau seperti mana kita, itulah jua yang datang.

Tegurlah jika yakin mendatangkan kebaikan 

Marah itu tanda sayang. Yeah, betul. Nampak? Marah yang dimaksudkan boleh didefinisikan sebagai teguran sebenarnya. Kita patut menegur jika mampu berbuat demikian. Golongan sasaran yang paling mudah ditegur ialah adik-beradik kita yang lebih muda dan juga anak-anak serta cucu-cucu. (Kepada sesiapa yang ada cucu lah ya. ;p) Sebentar tadi, kita sudah berjaya menghindari sikap jengkel tersebut. Jadi, lebih baik lagi apabila kita cuba membantu orang lain menghindari sikap tersebut.

“Engkau pun sama. Nak cakap orang lain.” 

Oh, tidak. Kita tidak akan pernah mendengar kata-kata itu lagi. Bukankah kita sudah berjaya menghindari sikap buruk tersebut terlebih dahulu? Dan kini, lebih mudah untuk seseorang menerima nasihat dan teguran daripada kita. Selepas golongan sasaran pertama berjaya menerima nasihat yang diberikan, bolehlah kita teruskan dengan golongan sasaran seterusnya seperti rakan-rakan karib yang mengenali kita. Jika ianya berterusan daripada seseorang kepada seseorang , pasti komuniti masyarakat pada masa akan datang dapat terbina atas konsep toleransi dan budaya saling mengambil berat serta nasihat menasihati antara satu sama lain. Natijahnya, makmurlah negeri, damailah negara. ;)

4 comments:

Izyanti said...

kata akhir dari saya peace no war ! haha. :)

Faizal Tauhir said...

Yeah!! so far so good..huh?????hahaha

Unknown said...

bagos penulisan kamu... saya suka.

kena beringat la ek.. jagn duk kata kt org.. t org kata kt kite balik..
diam lebih baik..:)

Faizal Tauhir said...

owh..terima kasih..
terima kasih juga atas peringatan tu..mmg tulis untuk peringatan diri sendriri trlebih dahulu ni..tp klu ada salah silap..pohon maaf awal2 dulu..huhu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...