Pages

Friday, August 13, 2021

Bertahan atau Menyerang?

     Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang disebabkan keadaan pandemik global yang membimbangkan, ramai terkesan dengan bencana yang melanda. Kerajaan melancarkan pelbagai subsidi demi membantu meringankan beban rakyat namun bencana kali ini begitu panjang. Kita masih tidak pasti bila ianya akan berakhir dengan kehadiran varian-varian virus baru Covid19 seperti varian Delta dan Lambda.

    Begitu ramai rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja dan tidak boleh bekerja secara normal. Kita sudah belajar daripada keadaan ini. Mungkin kita boleh mula bersiap menghadapi bencana yang lebih teruk pada masa akan datang.

Sediakan "Financial Sponge"

    Ya, boleh kita panggil ini sebagai dana kecemasan. Paling kurang 3 bulan gaji. Disyorkan setiap orang ada simpanan 6 bulan gaji. Semakin hampir nak pencen, sediakan 12 bulan gaji. Simpanan kecemasan ni jangan pula kita guna untuk beli rumah atau bayar ansuran tahunan kereta. Kecemasan yang dimaksudkan itu ialah hanya apabila kita hilang sumber pendapatan. Sementara mencari sumber pendapatan yang baru, bolehlah kita gunakan dana kecemasan ini. Ini kita letakkan sebagai sistem pertahanan.

Gandakan Duit

    Buat kerja tambahan, dapatkan dividen simpanan, lakukan pelaburan dan simpan aset merupakan beberapa cara supaya duit yang kita ada dapat dikembangkan. Itu semua terbahagi kepada pendapatan aktif dan pasif. Pelbagaikan teknik menggandakan duit supaya setiap satunya dapat berjalan seiring. Jika tersekat salah satu, yang lain masih boleh berjalan. Ini kita letak dalam sistem serangan kita.

Wujudkan "Income Replacement"

    Apa jadi jika sesuatu musibah terjadi dalam masa kita sediakan simpanan kecemasan dan mengekalkan sumber pelaburan kita? Hayat kita mungkin tidak lama. Kesihatan kita mungkin bukan sentiasa baik. Hari yang cerah mungkin tiba-tiba akan datang hujan. Jadi, pastikan kita sediakan takaful sakit kritikal, hilang upaya kekal dan kematian sebanyak 10 tahun gaji. Kalau benar-benar tidak mampu pun, sediakan semampu yang boleh. Boleh tambah lagi bila mampu kemudian.

    Jadi, nak pilih mana satu? Bertahan atau menyerang? Jawapannya dua-dua. Segera menyerang apabila telah wujud sistem pertahanan. Namun apa yang paling perlu disegerakan? Hah ni yang paling penting. Mulakanlah dengan melabur dalam ilmu pelaburan. Itu dia pelaburan yang pasti menguntungkan. Ilmu yang betul pasti membuatkan pengalaman kita lebih indah bak kata orang Perancis.


    

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...