Pages

Tuesday, October 7, 2014

Antara Membina Rasa dan Membina Jiwa

Di sana di sini kita melihat anak-anak muda berpacaran, bergurau-senda malah bertepuk tampar umpama tiada batasan dan etika. Ya, mereka bukan bersamaan jantina. Inilah yang melemahkan. Benar-benar melemahkan remaja kita. Mereka leka dibuai cinta.

Jarang sekali kita membualkan isu cinta manusia di ruangan ini. Tetapi sedar atau tidak perkara ini amat penting dalam membentuk jiwa remaja yang mampan dan tampan. Tampan bukan sekadar di mata, malah terasa gah di jiwa. Semoga nanti remaja-remaja ini mampu mengemudi insan-insan lain demi membentuk insan perkasa. Itulah insan-insan yang mereka dakwa sebagai keluarga.

Kini mereka lupa. Lupa membina jiwa kerana asyik membina rasa. 

Remaja kita gundah pabila rindu tidak bersahut, terasa cinta semakin pudar. Jadi, setiap saat dihabiskan dengan membina rasa. Adakah rasa itu akan diterjemah kepada ikatan suci bernama keluarga? Mungkin tidak dan mungkin ya itulah jawapannya.

Biasanya remaja ini lebih sibuk membina rasa. Sesaat tidak berhubung umpama 1000 tahun terpisah jua. Ada juga yang bergerak dengan kedua-dua jiwa dan rasa. Juga ada yang lebih sibuk membina jiwa. Pada saya ianya mempunyai turutannya. Silapnya remaja kita terus menerjah pada membina rasa.

Bina jiwa, kemudian begitu juga rasa.

Remaja perlu sedar saat mereka teruji dengan cinta manusia, mereka perlu segera membina jiwa. Kerana kita tidak tahu saat bila benar-benar tersedia untuk memikul tugasan berkeluarga. Perkara pertama yang perlu disematkan dalam remaja kini ialah cinta perlu menjurus kepada pembentukan keluarga. Jika tidak punyai matlamat itu, sila berlari dengan sejauh-jauhnya. Datang kembali apabila tiba masanya.

Bersyukur kerana kita diberikan rasa cinta. Namun, rasa cinta itu perlu dikawal dengan kekuatan jiwa. Perlu sedar siapa yang menganugerahkannya. Jiwa perlu kuat mengawalnya. Hingga nanti tiba saatnya cinta dapat diterjemah kepada rasa. Itulah aturannya. Jangan sesekali rasa melangkawi jiwa sebelum tiba saatnya.

Jiwa dan rasa. Suatu yang perlu difahami dalam skop yang sedikit berbeza tetapi mempunyai pertalian di antaranya. Semoga remaja kita hari ini gah dengan jiwa-jiwa yang penuh rasa cinta beretika.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...